Langkau ke kandungan utama

MY MASTER JOURNEY | Eps 4: Give Up...but it's not me

MY MASTER JOURNEY | Eps 4: Give Up...but it's not me


“Bosannya dengar ucapan VIP ni,” menologku sendiri.

Di hadapanku adalah mahasiswa pasca siswazah yang sedang duduk sambil menanti sesi mereka untuk pengambilan ijazah sarjana dan doktor falsafah. Hanya aku dan tiga orang penerima anugerah saja yang berjubah biru gelap dalam dewan ini. Kami semua terpaksa mendengar ucapan-ucapan daripada VIP-VIP sebelum tibanya giliran kami untuk naik ke pentas. Mengikut tentatif, sesi yang terakhir untuk sidang pertama adalah penyampaian anugerah-anugerah. Ini bermakna aku perlu menunggu beberapa jam lagi untuk naik ke pentas.

Tangan kananku meraba-raba ke pipi. Aku perasan ada satu jerawat pasir yang baru tumbuh. Tanpa berfikir panjang, aku pun memicit-micit jerawat itu. Dalam keadaan bosan seperti ini, memicit jerawat merupakan salah satu cara untuk kill the time. Asyik aku memicit, aku perasan terdapat cecair yang keluar dari pipiku. Aku mengalih pandangan ke arah tangan kanan.

Alamak, berdarahlah pula! Aku kaget. Aku mengelap darah itu menggunakan jubah. Ingin saja aku menampar dahiku kerana jelas kesan darah di jubah itu. Aku terus berdiri dan melangkah ke pintu keluar dewan. Aku mempercepatkan langkah menuju ke tandas kerana aku dapat merasakan VIP itu akan menamatkan ucapannya tidak lama lagi. Di tandas, aku terlihat beberapa orang yang memakai jubah merah jambu sedang mengelap muka. Mata mereka yang bengkak jelas menunjukkan mereka sedang menangis. Rata-rata umur mereka 30-an. Aku hairan. Hari ini sepatutnya menjadi hari yang menyeronokkan buat mereka tetapi kenapa perlu menangis?

***

            Usai berhari raya PKP 2.0, aku meneruskan perjuangan untuk menyiapkan kajian ini. Seperti yang telah aku ceritakan di episod ketiga, aku masih menanti untuk mendapatkan data keputusan SPM 2020 daripada pihak-pihak sekolah. Oleh itu, aku mengambil inisiatif lain dengan menyiapkan jurnal yang tergendala. Menerbitkan jurnal merupakan salah satu syarat untuk bergraduasi bagi pelajar sarjana. Jurnal yang penyeliaku, Prof Chen suruh buat ialah systematic literature review (SLR). SLR ini memanglah nampak mudah kerana tidak perlu untuk mengumpul data tetapi aku perlu meluangkan banyak masa untuk meneliti beratus-ratus jurnal yang terdahulu. Sehari demi sehari. Bulan demi bulan. Masih tak siap-siap juga jurnalku ini. Memandangkan keputusan SPM 2020 akan keluar pada bulan hadapan iaitu Jun, maka tidak dapat tidak, aku perlu siapkan juga jurnal ini. Apabila keputusan SPM 2020 keluar, aku akan sibuk untuk menyiapkan kajian pula. Sebenarnya, aku masih tidak tahu cara untuk menggunakan software RapidMiner yang akan digunakan untuk proses menganalisis data nanti. Aku masih mencuba-cuba menggunakan software itu tetapi masih belum timbul idea untuk cara menganalisis yang betul. Jurnal-jurnal dan tesis-tesis kajian terdahulu pun tidak membantu.

            Aku mengetepikan sebentar masalah ini dan membuat SLR. Jurnal ini tergendala sebelum ini kerana aku pun tidak tahu cara yang betul untuk membuat SLR. Setelah menyertai beberapa siri seminar dan kebanyakannya berbayar, barulah aku faham cara untuk membuat jurnal ini. Itu pun setelah mendapat bimbingan daripada pensyarah UNIMAS yang lain. Beliau mengajar aku cara yang mudah untuk menyiapkan jurnal SLR ini. Sekiranya aku mempunyai apa-apa masalah, terus aku merujuknya. Alhamdulillah. Beliau sedia membantuku.

            Bulan Jun menjelang. Jurnal SLR aku masih belum sempat disiapkan. Aku menguatkan usaha sehingga terpaksa bersengkang mata sehingga tengah malam. Cukup jarang aku melakukan hal sebegitu. Mujurlah ketika itu pertandingan bola sepak, Euro 2020 sedang berlangsung. Alang-alang membuat jurnal, aku menonton perlawanan-perlawanan bola sepak sambil ditemani abah dan adik perempuanku.

Selain Euro 2020, aku ‘terjebak’ menonton drama Korea, Mouse yang cukup menarik jalan ceritanya sehinggakan menyebabkan aku tidak sabar-sabar untuk menonton drama itu sehingga habis. Drama yang berkisarkan tentang ‘psychopath’ yang membunuh orang-orang awam yang tidak berdosa sesuka hati tetapi pembunuhnya cukup licik dan sukar untuk ditangkap. Lebih menarik, dia akan meninggalkan klu kepada pihak polis setelah membunuh. Akhirnya, langsung tidak kuduga, rupa-rupanya yang kusangkakan kawan rupanya dialah lawan. Apa-apa pun, drama inilah yang menemaniku daripada kebosanan membuat jurnal.

Di penghujung Jun, dengan izin-Allah, aku berjaya menyiapkan jurnal SLR aku yang pertama.  Tetapi, cabaran yang lebih besar sedang menanti. Aku perlu menghubungi pihak-pihak sekolah yang terlibat untuk mengumpul data keputusan SPM 2020 untuk subjek Bahasa Inggeris dan Matematik. Hanya dua subjek ini yang aku perlukan kerana kajian aku melibatkan kedua-dua subjek ini sahaja. Seorang demi seorang guru aku hubungi. Alhamdulillah, kesemuanya memberi kerjasama yang baik.

Sekarang, aku perlu ‘bersilat’ dengan software yang aku sendiri tak pernah guna dan tidak diajar langsung sebelum ini. Prof Chen yang mencadangkan aku untuk menggunakan software  ini dan lebih menariknya, beliau sendiri memberitahu yang beliau tidak begitu arif dengannya. Ingat lagi awal-awal dulu sebelum PKP 1.0. Aku sempat melawat pensyarah-pensyarah kesayangan seperti Sir Sofian, Dr Razak, dan Sir Alif (Asasi) untuk bertanyakan pandangan mereka tentang kajianku dan mendengar pengalaman mereka menyiapkan kajian sarjana. Kata-kata Sir Sofian yang tidak dapat aku lupa, “Haziq, kamu bukan otak programming. Kamu tak boleh buat kajian ni. Prof Chen pun bukannya expert in data mining.” Aku setuju dengan pendapat Sir Sofian itu. Aku memang tak suka dengan perkara yang melibatkan software ni. Disebabkan Prof Chen ingin menggunakan kaedah perlombongan data kerana mengikut arus perdana I.R 4.0, aku tidak mempunyai pilihan lain melainkan memaksa diri untuk belajar software ini sendiri. Youtubelah saluran aku belajar menggunakan software ini.

Bulan Julai. Aku dihubungi Laoshi Aisyah secara tiba-tiba. Rupa-rupanya, beliau ingin mengajak aku untuk menyertai kelas Mandarin barunya. Lebih mengujakan aku ialah aku tidak perlu untuk membayar apa-apa pun tetapi hanya perlu mempersiapkan dua buah video setiap bulan. Kelas itu akan berlangsung sehingga bulan 12. Wah! Bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Aku memang teringin nak belajar Mandarin lagi. Manalah tahu mak abah nak dapat menantu amoi. Ehek! Kelas bahasa Mandarin hanya seminggu sekali iaitu pada hari selasa malam. Ia tidak menjejaskan proses aku menyiapkan kajian. Buat sementara waktu. 

Setelah berbulan-bulan menggunakan RapidMiner, aku dah arif menggunakannya tetapi keputusan yang aku idamkan daripada penganalisisan data masih belum dapat. Bayangkan aku hanya dapat accuracy sebanyak 50-60% sahaja sedangkan Prof Chen mahukan aku untuk mendapatkan accuracy sebanyak 70-80%. Tiap-tiap hari aku mencuba tetapi masih tidak kutemu jalannya. Semangat makin hari makin luntur. Ditambah lagi jurnal SLR aku yang ditolak oleh beberapa penerbit atas sebab-sebab tertentu. Aku menjadi tertekan. Sangat tertekan. Untunglah adanya punching bag yang aku beli bulan tiga dulu. Bolehlah aku melampiaskan sedikit tekananku dengan menyepak, menumbuk punching bag itu. Timbul dalam benak fikiranku untuk give up.

            Ingat lagi, Prof Chen cuba membantu. Kami buat bersama-sama dengan menggunakan Webex tetapi masih belum menampakkan hasil. Aku menjadi geram dengan Prof Chen kerana beliaulah yang menyuruh aku menggunakan software ini. Betullah kata Sir Sofian dulu. Aku tak boleh dengan programming. Aku dah tak mampu lagi. Aku dah mati akal. Give up. Itulah jalan yang terbaik buat aku. Prof Chen menghantar pesanan melalui WhatsApp. Beliau memberitahuku bahawa beliau telah berjaya mendapatkan accuracy 70%. Aku hanya bluetick. Aku dah tiada semangat untuk meneruskan perjuangan ini. Aku gagal. Tak mungkin aku dapat siapkan kajian dengan hasil analisis sebegini. Bukan setakat ‘memalau’ penyelia sendiri, aku left banyak grup dan delete hampir semua chat.

            Aku teringat bahawa bulan lepas aku telah mendaftar untuk sebuah bengkel penulisan, ‘bengkel tulis buku sampai terbit’ anjuran Hamare Group. Disebabkan telah membayar yuran, aku pun menyertai bengkel itu walaupun fikiran sedang berkecamuk. Program itu hanya sehari. Bermula dari sebelah pagi sehinggalah malam. Setelah itu, semua peserta dimasukkan ke grup-grup masing-masing mengikut tema. Aku dimasukkan ke grup Legasi 17 dan diberikan tema azam.

            Aku membuat status WhatsApp untuk berhenti belajar. Secara tiba-tiba, Dr Zaiton, pensyarah yang menguruskan pelajar pasca siswazah membalas status itu. Kata Dr Zaiton, “Haziq bukannya seorang yang mudah putus asa. Haziq bukan camni...” 

Inilah status WhatsApp yang aku letak dengan caption, 'Nak give up ke tak?'


Panjang lagi pesanan daripadanya yang menyemarakkan semangatku. Aku berlapang dada dan mengumpul semangat untuk meneruskan sisa-sisa perjuangan. Oh, aku teringat bahawa aku perlu menulis sebuah penulisan bertemakan azam. Aku pun menggunakan penulisan itu untuk memotivasikan diri. Aku melupakan sebentar tentang analisis data dan menggunakan beberapa hari untuk menyiapkan penulisan itu.

“Siap!” lafaz yang terpacul daripada mulutku setelah lima muka surat aku menulis. Tajuk yang aku letakkan adalah ‘Buat Kau Sang Pejuang’.

Aku meneruskan analisis data yang tertangguh. Hidup tidak selalunya indah, langit tidak selalu cerah. Aku masih belum berjaya mendapat hasil analisis yang aku mahu. Prof Chen mencadangkan untuk menggunakan software lain iaitu Orange. Nak pecah otak aku dibuatnya. Setelah berbulan-bulan ‘berperang’ dengan  RapidMiner, senang-senang saja aku diminta untuk gunakan Orange. Sebenarnya, aku dah cuba beberapa data mining software sebelum ni termasuklah Orange. Aku dah tengok banyak video berkenaan software ni. Aku tak faham cara nak gunakannya. Sebab itulah aku tetap menggunakan RapidMiner walaupun keputusan analisis tidak menepati cita rasa aku. Tiap-tiap kali aku rasa nak give up, aku membaca kembali penulisan aku, ‘Buat Kau Sang Pejuang’. Penulisan itulah menguatkan kembali semangat aku untuk meneruskan perjuangan. “Selesaikan apa yang telah kau mulakan,” kataku sendirian.

Prof Chen memberikan satu link yang berkaitan cara untuk menganalisis data menggunakan Orange. Link tersebut adalah merupakan kajian lepas yang lebih kurang seperti kajian aku tetapi tujuan kajian berbeza. Dengan berat hati, aku tetap membuka dan merujuk link itu untuk kajian aku. Aku rujuk satu demi satu. Dari permulaan sehinggalah ke bahagian akhir.

Masya Allah!

            Aku dapat keputusan yang aku nak. Sebelum ini, aku dah cuba cara yang lebih kurang sama tetapi tidak berhasil. Tetapi kali ini, aku berjaya! Betul-betul satu keajaiban. Aku tersedar. Selama ini, Allah ingin menguji tahap kesabaranku. Seandainya aku berhenti, aku tak mungkin dapat menyiapkan kajian ini. Walaupun telah berjaya mendapatkan keputusan analisis yang aku idamkan, tetapi perjalanan seterusnya tidaklah semudah yang disangka. Dengan bantuan Allah, aku tetap cekal dan ampuh mengharungi dugaan. Setelah beberapa kali membuat pembetulan, akhirnya aku berjaya menyiapkan keseluruhan tesis.

            Bulan November. Aku menghantar tesis penuh berserta dokumen-dokumen untuk proses viva voce. Aku juga menghantar SLR kepada satu penerbit SCOPUS Q2 dan alhamdulillah diterima akhirnya setelah ditolak oleh dua penerbit SCOPUS Q1. Sejujurnya, perjalanan master ini penuh dengan onak duri dan sentiasa menguji tahap kesabaranku. Setiap fasa daripada permulaan sehinggalah penamat, ada saja dugaannya. Boleh pecah kepala kalau nak diikutkan. Sekarang, baru aku tahu kenapa orang boleh menangis teresak-esak di dalam tandas pada hari konvokesyen sidang pertama dulu. Bulan Disember iaitu bulan kelahiranku. Disebabkan aku telah pun menghantar tesis penuh, dokumen dan jurnal aku diterima, aku hanya perlu menanti tarikh untuk viva. Aku perlu menghadiri kolokium untuk membentangkan kajianku sebelum viva voce. Sepatutnya, aku perlu menghadiri kolokium itu pada bulan November tetapi Dr Zaiton menangguh kolokium itu sehingga bulan Januari. 

            Malang tidak berbau. Pada penghujung bulan Disember, secara tiba-tiba, Abah jatuh sakit. Demam panas. Aku dan ahli keluarga yang lain tidak mengambil serius kerana Abah baru sahaja mengambil dos ketiga. Kemungkinan kesan sampingan dos ketiga, anggapan kami. Setelah seminggu, tahap kesihatan Abah makin membimbangkan. Kami pun menyuruh Abah untuk membuat ujian RTK. Dua garis. Abah positif Kobis-19. Oleh kerana ujian RTK itu ada lagi satu, aku pun mencuba ujian itu. Dua garis juga. Setelah solat asar, abang menghantar Abah ke hospital dan Abah terus ditahan. Aku membawa mak dan adikku ke pasaraya berdekatan untuk membeli barang makanan kerana nanti kami akan dikuarantinkan.

            Keesokan harinya, aku dan ahli keluargaku membuat ujian antigen di kilang abang kerana kilangnya menyediakan perkhidmatan itu. Dalam satu keluarga, aku seorang saja yang positif. Aku mengasingkan diri di bilik belakang. Keesokan harinya, pihak KKM menelefonku dan meminta aku untuk pergi ke pusat pemeriksaan Kobis-19. Seperti yang dijangka, aku tetap positif setelah membuat ujian PCR. Aku dipakaikan gelang pink dan bermulalah kuarantin 10 hari di rumah. Yang peliknya, emak dan adik-beradikku yang lain tetap negatif walaupun tinggal serumah.

            Tahap kesihatan abah pada permulaan dikesan positif Kobis-19 ini sangatlah membimbangkan. Deraian air mata emak dan adik-beradikku menyebabkan aku rasa lemah. Ada seorang doktor yang mengatakan kepada kami agar bersedia saja kerana dia beranggapan Abah sudah tiada harapan. Kami reda dengan apa yang berlaku. Setelah habis tempoh kuarantin, kami pun memotong gelang pink. Dua minggu berlalu, Abah berjaya melepasi tempoh jangkitan Kobis-19 dan dipindahkan ke wad ICU pasca kobis.

            Walaupun telah dipindahkan ke wad lain, paru-paru dan buah pinggang Abah telah terjejas. Abah masih perlukan rawatan rapi untuk menyembuhkannya. Abah telah pun sedar. Sekurang-kurangnya, dapatlah kami bercakap dengan Abah walaupun Abah hanya mampu mengangguk dan menunjukkan reaksi muka. Setiap hari kami melawat Abah walaupun tidak dibenarkan oleh pihak hospital. Ada hari kami mendapat berita gembira mengenai tahap kesihatan Abah tetapi ada hari yang sebaliknya.

            Aku membentangkan kajianku untuk kolokium dengan tanpa persediaan rapi. Ingat lagi. Pembentangan itu pada hari Rabu. Pada hari Isnin, aku mendapat berita kurang memuaskan hati tentang kesihatan Abah. Pada keesokan harinya, Umair, kawan sekolahku mengajak untuk hiking dan aku bercadang untuk hiking di Taman Negara Teluk Bahang. Aku sengaja mencadangkan tempat itu kerana ingin menenangkan fikiran. Pada hari kolokium, di sebelah pagi, laptopku membuat masalah. Mikrofon tidak berfungsi. Terpaksalah aku menggunakan laptop adikku. Aku pun membentangkan kajian aku walaupun tiada mood.

            Itulah serba ringkas perjalananku untuk episod keempat ini. Sekarang, aku sedang menanti tarikh untuk viva dan kemungkinan sebelum bulan Ramadan atau pada bulan Ramadan. Seperti keajaiban yang berlaku untuk menyiapkan master ini, aku mengharapkan keajaiban juga berlaku kepada Abah. Semoga Abah diberi kesembuhan sepenuhnya dengan segera mungkin. Amin. Bulan ini juga buku yang akan diterbitkan oleh Hamare Group ialah buku antalogi Legasi 17. Jika kalian ingin membaca penulisanku, ‘Buat Kau Sang Pejuang’, dapatkanlah buku itu nanti. Semoga penulisan itu juga dapat membangkitkan semangat kalian untuk berjuang di medan masing-masing. 


            Kepada kalian yang sudi membaca sehingga sini, terima kasih banyak saya ucapkan. Tolong doakan Abah segera pulih hendaknya. Tolong juga doakan aku dipermudahkan untuk pembentangan viva nanti. Insya Allah. Keajaiban akan berlaku. Amin. 

  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

"HAA ? AKU DAPAT SAINS KOGNITIF !"

Alhamdulillah , wa syukurillah . Masih diberi umur untuk hidup di muka bumi Allah ni . Aku nak cerita tentang SK (sains kognitif @ cognitif science) sepanjang sem 1 ni . Sorry guys . Cerita tentang asasi dulu tak dapat nak sambung . Susah la nak remind balik . But this time , insya Allah . If Allah will .Boleh kot .. Moreover aku pun tengah mereput . cuti sem 1 dah . sebulan weyh cuti ! Decaying jugak la ... Let's begin ..Bismillahhirrahmanirrahim ... erh jap-jap . Nak cerita dulu camna aku dapat kos ni . Cerita dia camni . Masa asasi unimas , aku dah memang pasrah sebab cita-cita dari kecil dah terkubur ...Nak jadi doktor . Tapi pointer tak berapa comei . It's okay . Kita merancang , Allah juga merancang ,Perancangan Allah yang TERBAIK ! SERIOUS ! Kami diberi pilihan nak kos ape untuk sambung degree nanti . Budak asasi tak boleh sambung U lain kecuali dia pergi U swasta , atau pergi oversea ,atau pergi IPG atau pergi SPA . Nak masuk U lain boleh . Kena ada orang da...

PHD 1.0 : Done

PHD 1.0: Done!             Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberikan kesempatan untuk menulis entri ni. Untuk post kali ni, aku nak kongsikan tentang perjalanan aku siapkan PHD 1.0. Eh, bukan ijazah PhD. Tapi PHD. Pinang Hafsah Dulu. Sebenarnya, aku masih rasa macam bermimpi. Tapi dream comes true . Walaupun selang masa antara mula perkenalan sampai bernikah hampir setahun tetapi pelbagai liku-liku kehidupan yang aku tempuhi. Tapi dengan izin Allah, aku dapat hadapi semua tu dengan baik. Alhamdulillah. Perkongsian ini dibahagikan kepada tiga bahagian: berkenalan, bertunang, bernikah. Berkenalan @ Taaruf Penghujung tahun 2023. Aku terjumpa satu iklan tentang Sijil Pengajian Islam USM selepas solat di Masjid USM. Memang teringin untuk belajar agama secara formal. Bukan setakat pergi kuliah-kuliah maghrib atau ceramah perdana. Nak belajar step-by-step. Satu demi satu sampai ha...

Kamek Miak Penang Rah Sarawak ! [ Travelog Budak 'Malaya' di Bumi Kenyalang' ]

fuhhhh , fuhhh,,,,banyak nya habuk ! bismillahhirrahmanirahim , alhamdulillah , Allah beri peluang untuk aku lagi meng'update' blog ini selepas 2-3 bulan . Nasib baik tak bersawang lagi blog ni . okay , asasi dah habis bro ! so , apa kata aku share pengalaman aku kat sarawak selama dua igek semester ni . Pengalaman mendidik kita untuk jadi lebih dewasa . Apa salahnya kalau aku share dengan hampa semuakan ? Bukannya semua pernah pergi sarawak pon . So , yang mana tak pernah pergi . Hampa baca entry aku kali ni bolehlah bayang sikit camna sarawak tu . Orang semenanjung ni dah streotype dengan sarawak dengan keadaan yang serba mundur . Orang tinggai dalam hutan , orang masih pakai cawat , orang tinggai kat rumah panjang , orang pi mana-mana bawak sumpit , haishhh , banyak lagi lah ,... TAPI SEMUA TU BOHONG BELAKA ! tak menarik la kalau aku tak cerita dari awai-awai camna aku boleh tercampak pi Sarawak dan berlajaq kat UNIMAS kan . hmmmm,,, okay cerita dia camni...