My Master Journey | Eps 5: Abah Back To Allah
“Bukannya diri
ini tak menerima kenyataan,
Hati ini hanya rindu.”
November 2021
Alhamdulillah,
selesai juga kajian aku. Sekarang, aku hanya perlu menghantar tesis penuh dan
dokumen-dokumen yang berkenaan untuk urusan viva voce. Setelah beberapa
kali patah semangat untuk siapkan master ini, akhirnya selangkah saja
lagi yang aku perlu untuk menggenggam segulung ijazah sarjana dalam sains
pembelajaran.
Eh, tunggu sekejap.
Kalau aku dah habis belajar, apa yang patut aku lakukan? Cari kerja! Tetapi,
kerja apa yang sesuai? Dalam benak fikiranku hanyalah untuk menjadi pendidik.
Cikgu? Tak boleh sebab aku bukannya lepasan IPG atau ijazah pendidikan. Kalau
tidak pun, aku perlu mengambil kursus KPLI macam mak. Tetapi, dari awal lagi
mak tak bagi aku menjadi guru. Mungkin kerana beban guru yang bertimbun-timbun
dan tidak berkaitan dengan sesi ‘PnP’ kini membuatkan mak tak mahu anak-anaknya
merasakan keperitan yang sama.
Aku pun bertanya
kepada Abah.
“Abah, lepas habis master
nanti, Haziq nak buat apa eh?”
“Jadi penulis.”
Jawapan Abah agak
memeranjatkan aku. Jadi penulis? Tak terfikir pun nak jadi penulis selepas
tamat belajar. Oh, aku tahu kenapa abah menyuruh aku menjadi penulis. Abahlah
antara pembaca setia posting aku di Facebook.
Menarik juga.
Disember 2021
Aku join perlawanan
persahabatan sambil reunion dengan kawan-kawan SUPERB. Ingat lagi hari
tersebut. Di sebelah pagi, aku menghadiri walimatul urus Mun dan pasangannya di
Georgetown. Tak sempat nak berjumpa dengan pengantin. Aku terus pulang ke rumah
dan pergi ke kampung bersama-sama keluarga. Aku singgah di Tol Juru untuk
mengambil Mamu yang ingin menumpang ke program reunion itu. Separuh
perjalanan ke kampung dipandu oleh Abah. Seterusnya, aku pula yang bawa. Kami
singgah di kampung dan mengisi perut yang kosong. Keluargaku yang lain tinggal
di kampung manakala aku dan Mamu meneruskan perjalanan ke Shah Alam untuk
program itu.
Kami menempah bilik
di satu hotel bajet berdekatan dengan tempat program. Sekadar untuk tempat
tidur saja. Sepanjang malam, kami berada di luar. Berjumpalah kami dengan
kawan-kawan yang dah sekian lama tak berjumpa. Masing-masing sudah mempunyai
komitmen sendiri. Ramai yang dah berkerjaya. Kami berkumpul dahulu di sebuah
kafe dan makan-makan ringan sementara menunggu waktu perlawanan pada pukul 11
malam.
Kami berlawan dengan
sebuah pasukan yang tak kami kenali. Yang menariknya, walaupun dalam kalangan
kami, ramai yang dah pancit tetapi kami berjaya mengikat perlawanan dengan
jaringan tiga sama. Gembira tak kepalang dibuatnya.
Usai perlawanan, kami
bersembang-sembang di tepi padang sehinggalah lampu limpah ditutup satu per
satu. “Ai, macam nak menghalau ja,” getus hatiku.
Bersama Dr Maszlee |
Selepas solat, aku
memimpin tangan Abah untuk pergi ke medan selera.
“Abah, kita ni kena
jaga kesihatan. Kan tahun depan nak pergi buat umrah. Kalau tak sihat, susah
nak buat umrah nanti,” pesanku kepada Abah. Abah hanya mendiamkan diri.
Keesokan harinya,
selepas solat Subuh, Abah dah bersiap dengan pakaian sukan dan bersenam
menggunakan treadmill. Berhasil juga nasihat aku kali ni. Selalunya Abah
buat tak endah sahaja. Bukan hari tu sahaja, hari-hari berikutnya pun Abah
memulakan paginya dengan bersenam menggunakan treadmill.
Aku tidak tahu kenapa
tiga malam berturut-turut aku bermimpi buruk. Tidak baik untuk aku kongsikan di
sini kerana mimpi kita sebaik-baiknya tidak dikongsikan dengan sesiapa pun
melainkan dengan orang yang kita percaya. Tiba-tiba, seorang kawanku menghantar
mesej melalui WhatsApp. “Haziq, hati-hati tau. Aku mimpi benda buruk akan jadi
dekat kau.”
Ah, sudah! Kenapa kau
takwilkan mimpi kau tu?
Aku menjadi lebih
berhati-hati. Lebih khusyuk aku membaca wirid-wirid yang diijazahkan oleh
guru-guruku semasa belajar daurah di Pondok Baitul Qura dulu. Badan aku dah
terasa tak sihat. Adikku dah batuk-batuk tetapi dia telah membuat pemeriksaan
Covid-19 di kilangnya dan hasilnya negatif.
Pada hari Ahad, hujan
renyai-renyai membasahi bumi. Aku teringat Mamu akan bergraduasi hari ini. Aku
pun menghantar mesej kepada Mamu.
“Mamu, hang nak aku
mai dak? Sebab dok hujan ni.”
“Ikut hanglah. Aku
tak kesah.”
Aku teringat lagi
hari konvokesyen dulu. Keluar sahaja dari DETAR, semuanya dah buat hal
masing-masing. Alahai. Ingatkan bolehlah nak bergambar dengan kawan-kawan
seperjuangan. Aku seorang-seorang saja lagi yang tinggal rupanya. Hmm.
Disebabkan itulah, aku meredah juga hujan dan mengetepikan rasa tak sedap badan
untuk meraikan Mamu. Aku menelefon Umair, mengajaknya untuk turut serta. Dia
sebenarnya mempunyai urusan lain tetapi dia menangguh urusannya dan pergi ke
USM.
Kami berjumpa di USM.
Bergambar sebagai kenang-kenangan. “Haziq, tolong tangkap gambaq aku dengan parents
aku sat,” kata Mamu.
“Eh, dari tadi hang
tak tangkap gambaq ka?”
“Dah, cuma gambaq
kami bertiga takda lagi.”
“Oh, boleh-boleh.”
Aku pun mengeluarkan
telefon dan mengambil gambar mereka. Usai bergambar, kami makan petang di
Restoran Subaidah. Selepas hampir setengah jam makan sambil bersembang-sembang,
kami pun bersurai.
Isnin 20 Disember
2021
Abah mengambil dos
penggalak di Seberang Perai dan terus pergi ke tempat kerja. Sepatutnya, Abah
perlu pulang ke rumah untuk berehat kerana imunisasi badan akan rendah selepas
menerima dos penggalak tetapi disebabkan urusan kerjanya yang banyak, dia tetap
pergi ke pejabat.
Di sebelah malam, aku
memberitahu Abah untuk tidur awal. Abah kelihatan penat pada malam itu.
Kemungkinan disebabkan oleh dos penggalak tersebut. Abah menyuruhku untuk tidur
dahulu. Dia tetap mahu menonton televisyen. Aku malas untuk melawan kata lalu
masuk ke bilik.
Selasa 21 Disember
2021
Selalunya, Abah akan
mengejut semua ahli keluarganya pada pukul 5.30 pagi untuk bangun tahajud.
Tetapi, pada hari tersebut, Abah tidak pun berbuat demikian. Aku dan
adik-beradikku pergi ke masjid untuk solat Subuh. Aku kehairanan kerana Abah
tidak pergi ke masjid. Pulang sahaja dari masjid, aku bertanya kepada emak,
“Eh, Abah tak pergi masjid, mak?”
“Demam.”
Aku pun pergi ke
bilik belakang dan mendapati Abah sedang menyelimuti seluruh badannya. Aku
menyentuh dahi Abah. Panas. Mungkin disebabkan efek boosterlah ni.
Biasalah badan akan menjadi lemah dan demam selepas divaksin. Aku pun tidak
mengambil serius dan membiarkan Abah berehat sahaja di bilik.
Rabu 22 Disember 2021
Kak Nurul dan
suaminya, Abang Shah datang ke Pulau Pinang untuk menziarahi ahli keluarganya.
Di sebelah petang, aku mengajak Umair untuk makan petang bersama-sama Emak di
astaka belakang stadium. Semasa makan, Kak Nurul dan Abang Shah datang ke
astaka itu dan Emak membelanja cucur udang kepada mereka. Abah tidak turut
serta kerana masih demam.
Jumaat 24 Disember
2021
Abah masih tak sihat.
Dah mula batuk-batuk. Tetapi, selera makan masih baik. Walaupun begitu, Abah
tetap pergi ke tempat kerjanya. Aku, Emak dan Aqila makan petang di Restoran
Kapitan bersama-sama Kak Nurul dan Abang Shah. Sebelum solat Maghrib, Abang
Shah dan Kak Nurul datang ke rumah menziarahi Abah yang baru pulang dari
kerjanya. Lebih ‘menarik’, Abang Shah siap bersalam dengan Abah lagi.
Di sebelah malam,
Abah mula mengadu bahawa dia sudah mula berasa sesak nafas. Aku mula risau.
Sudah empat hari. Kesihatan Abah makin buruk. Aku sudah mula berfikir yang Abah
demam bukan disebabkan booster tetapi atas faktor lain atau lebih tepat,
Abah positif. Aku terus menyuruh Abah untuk pergi ke klinik untuk membuat
pemeriksaan kesihatan. Abah tidak mahu dan memberi alasan yang dia sakit
disebabkan booster.
Sabtu 25 Disember
2021
Di sebelah pagi, kami
dijemput untuk pergi ke kenduri Tok Teh. Abah masih belum sihat dan demam dan
batuknya semakin teruk. Terpaksalah kami membatalkan hasrat untuk pergi ke
kenduri itu. Pada waktu petang, Emak menyuruhku untuk belikan roti Gardenia dan
air 100 Plus. Apabila aku pulang dari kedai, Emak menyuruhku untuk membantu
Abah berkebun. Baru sahaja aku ingin bersiap sedia untuk membedah buku Rich Dad
Poor Dad pada malam itu, tetapi arahan ibu kita itu wajib. Hatta jika kita
sedang solat sunat pun, wajib berhenti jika ibu memanggil kita.
Aku menuruti arahan
Emak dan membantu Abah. Dengan nafas tersesak-sesak, Abah memotong
ranting-ranting pokok. Tidak lama kemudian, Abah menyuruhku untuk meneruskan
memotong ranting-ranting pokok itu. Sedang aku memegang parang, Abah tidak
keseimbangan badan lalu terjatuh ke belakang. Aku tak sempat berbuat apa-apa
kerana parang masih di tangan. Aku membantu Abah bangun dan menuntunnya masuk
ke rumah.
Ahad 26 Disember 2021
Tahap kesihatan Abah
makin teruk. Setiap kali aku suruh Abah melakukan ujian RTK, Abah tidak
mengendahkan dan masih berkeras bahawa dia sakit disebabkan kesan sampingan booster
sahaja. Bukannya jangkitan Covid-19.
Isnin 27 Disember
2021
Abah bersiap untuk
bekerja. Dengan t-shirt kosong dan seluar slack hitam. Dari ruang makan,
Abah berjalan termengah-mengah hingga ke ruang tamu. Emak melarang Abah
daripada pergi bekerja kerana dia masih belum sihat dan membahayakan diri jika
dia tetap pergi ke pejabat. Akhirnya, Abah akur dan memberitahu kawannya bahawa
dia tidak pergi bekerja. Abah terbaring di atas sofa dan berehat. Nafasnya
tercungap-cungap.
“Rose, tolong buat
moi sat.”
Emak pun menuruti
permintaan Abah. Aku meminta Abah untuk melakukan ujian RTK sekali lagi tetapi
tidak berjaya. Abah tetap berdegil. Abah terbatuk-batuk semakin kuat. Aku
berasa risau.
“Abah, kita tengok
Netflix lah.”
Aku pun membuka
televisyen dan menonton sebuah filem. Aku perasan apabila Abah menonton filem,
fikirannya ralat dengan jalan cerita filem itu dan membuatkan dia tidak
terbatuk-batuk.
Selepas solat Zohor,
Mak memaksa Abah untuk membuat ujian RTK sambil berleter. Akhirnya, Abah mengikuti
permintaan Emak. Keputusannya tidak jelas. Kemungkinan disebabkan tidak
menunggu selama 15 minit. Seterusnya, Abah dan Emak pun pergi ke Klinik Syifa
untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan. Selepas itu, aku sengaja ingin
melakukan ujian RTK dengan dibantu oleh Aqila. DUA GARIS BIRU. Positif. Aku
kehairanan. Jika aku positif, adakah disebabkan berjangkit semasa main bola
sepak? Atau pesta buku? Atau konvo Mamu? Kalaulah berjangkit semasa main bola
sepak atau pesta buku, mesti kawan-kawan aku yang lain pun positif. Saudara-mara
aku juga positif. Okay. Aku rasa bukan dari situ. Hmm.
Aku mengambil semula ujian RTK Abah yang telah dibuang. Aku terkejut. Rupanya, muncul dua garis biru juga. Abah dan Emak pulang dari klinik dan aku memberitahu mereka tentang keputusan ujian itu. Disebabkan hanya ada dua RTK saja di rumah, maka ahli-ahli keluarga aku yang lain tidak melakukan ujian RTK itu. Mesti satu keluargaku positif, anggapanku. Mana tidaknya. Kami selalu makan bersama. Menonton televisyen bersama. Tadarus Al-Quran setiap pagi. Kadang-kadang solat berjemaah di rumah. Siap bersalam-salaman. Cium pipi Emak dan Abah.
Waktu solat Asar
telah pun masuk. Aku solat berjemaah bersama-sama keluarga di rumah. Aku
mengimami solat itu. Usai solat, aku bersalaman dengan Abah dan mencium pipi
Abah. Abah pula akan mengucup dahi dan membaca ayat kelima, surah Al-Alaq. Sudah
menjadi kebiasaan keluargaku. Aku membisik di telinga Abah bahawa aku meminta
maaf seandainya ada membuat salah. Abah mengangguk. Aku bersalaman pula dengan
Emak.
Aku menyuruh Abah
untuk pergi ke hospital. Abah tidak mahu. Kata Abah, “Kalau hang hantaq Abah pi
hospital, nanti bawa balik mayat Abah ja.” Kata-kata Abah itu menyebabkan kami
berasa berat hati untuk menghantarnya ke hospital.
Abang yang baru saja
pulang dari tempat kerjanya menyuruh Abah untuk bersiap dan menghantarnya ke
hospital. Pada mulanya, Abah enggan. Tetapi, akhirnya Abah mengalah.
Berpeluh-peluh dahi Abah. Mungkin disebabkan risau. Aku membawa Emak dan Aqila
pergi ke pasar raya untuk membeli barang keperluan kerana kami bakal
dikuarantin. Aku hanya tunggu di dalam kereta.
Pada hari itu, aku
sedang berpuasa sunat hari Isnin. Kami singgah di sebuah kedai mamak dan
membeli roti canai sebagai juadah berbuka. Emak dan Aqila siap berkongsi air
milo ais dengan aku walaupun mereka tahu yang aku positif. Di sebelah malam,
Emak dan Abang menghantar barang-barang keperluan dan pakaian kepada Abah. Kami
semua berasa yang jangkitan kepada Abah tidak serius. “Abah dah tiga dos kot,”
getus hatiku.
Gambar terakhir Abah |
Selasa 28 Disember
2021
Aku dan ahli
keluargaku yang lain melakukan swab test di kilang Abang. Kami tidak
pergi ke CAC kerana tidak mahu menunggu lama. Seorang demi seorang terpaksa
merelakan hidung dan mulut dirodok sebatang plastik yang sebesar putik kapas
tetapi lebih panjang. Alangkah terkejutnya, hanya aku seorang yang positif.
Haish. Hairan sungguh. Bukankah semalam kami minum air milo yang sama,
menggunakan straw yang sama?
Aku melaporkan
statusku di aplikasi MySejahtera. Di rumah, aku mengasingkan diri di bilik
tetapi tidaklah begitu ketat. Setiap kali masuk waktu solat, aku solat
berjemaah dengan ahli keluargaku. Cuma aku memakai penutup muka semasa solat.
Kami tidak dapat
menghubungi Abah sejak pagi lagi. Mungkin bateri telefon Abah tak cas, fikirku.
Emak dah mula risau. Dicarinya nombor telefon hospital di internet dan menelefon
pihak hospital sampai dapat. Rupa-rupanya, Abah telah dimasukkan ke ICU kerana
dia berada di stage 5. Kami terus mengadakan solat hajat dan bacaan
yassin dengan saudara-mara sebelah Emak. Itulah kali pertama aku membaca yassin
dengan linangan air mata. Usai bacaan yassin, aku masuk ke bilik belakang.
Walaupun badanku penat, tetapi mataku tidak boleh ditutup. Otak aku ligat
berfikir. Risau dengan keadaan Abah. Aku terus mencapai tasbih dan membaca
selawat tafrijiyah. Aku melihat jam tangan. Pukul 2 pagi. Aku menutup lampu dan
berbaring di katil. Sedar-sedar, aku telah pun tertidur.
Rabu 29 Disember 2021
Doktor memberitahu
Emak semalam yang Abah akan ditidurkan pada hari ini, pukul 9.30 pagi. Sebelum
ditidurkan, kami dibenarkan untuk membuat panggilan video dengan Abah. Kami
sekeluarga berasa risau tak kepalang. Aku melakukan solat Dhuha dan berzikir
sementara menanti pukul 9.30. Emak meminta aku untuk menelefon pihak hospital
kerana dia tidak kuat. Aku akur. Seorang doktor lelaki menjawab panggilanku. Dia
memberitahu status kesihatan Abah kepadaku. Aku bertanya bolehkah kami membuat
panggilan video seperti yang dikatakan oleh doktor semalam. Doktor itu tidak
tahu tentang berkenaan panggilan video tersebut lalu dia memanggil rakan
sekerjanya. Rupanya, kawan sekerjanya yang menelefon Emak semalam. Aku pun
memberikan nombor telefonku dan meminta izin doktor untuk memasukkan Pak Cik,
abang kandung Abah, dalam panggilan video itu.
Aku mengejut
adik-beradikku yang sedang tidur. Masing-masing berasa terkejut dan risau. Aku
menelefon semula doktor itu dan memasukkan Pak Cik. Keluarlah tiga paparan di
skrin telefon. Satu paparan Pak Cik dan Mak Cik. Satu paparan aku dan keluarga.
Satu lagi ialah Abah dengan tiub dimasukkan ke dalam hidungnya. Sepanjang
panggilan video, kami memberikan kata-kata semangat untuk Abah dan meminta maaf
kepada Abah. Abah tidak mampu bercakap banyak. Rasanya disebabkan dia berasa
sebak. Dia hanya memberi pesanan kepada Aqila untuk belajar rajin-rajin dan
kirimkan salam kepada ayah-ayah dan ibu-ibu saudaranya. Lebih kurang setengah
jam kami membuat panggilan video. Kami tidak mahu mengganggu doktor-doktor yang
sedang bertugas dan menutup panggilan video itu.
Aku mendapat
panggilan daripada pihak KKM untuk melakukan ujian PCR. Aku pun pergi ke Pusat
Pemeriksaan Covid di Balai Rakyat Jalan Petani. Di situ, aku dipakaikan gelang pink
dan diarahkan untuk kuarantin kendiri di rumah. Di rumah, aku mengasingkan diri
di bilik belakang. Selepas solat Maghrib, kami mengadakan bacaan yassin
bersama-sama keluarga sebelah Abah dan selepas solat Isyak, kami membaca yassin
bersama-sama keluarga sebelah Emak pula. Aku ditegur oleh saudara-saudaraku di
sebelah Abah kerana keluar dari bilik dan tidak kuarantin betul-betul. Aku
mengambil enteng kerana aku tidak mempunyai simptom kecuali sakit tekak dan
batuk-batuk sikit sahaja. Memandangkan mereka bekerja sebagai jururawat dan
doktor, aku terima teguran mereka dengan berlapang dada. Aku langsung tidak
keluar ke bilik kecuali mengisi air minuman. Itupun apabila semua orang tidak
berada berdekatan bilikku. Makan, minum, solat, basuh dan sidai baju, boleh
dikatakan segalanya aku lakukan di dalam bilik seorang diri. Aku tidak mahu
ahli keluarga yang lain terutamanya Emak berjangkit denganku.
Khamis-Jumaat 30
Disember 2020 – 7 Januari 2021
Setiap pagi, aku akan
ditelefon oleh KKM untuk mengetahui keadaan kesihatan. Aku juga perlu
melaporkan tahap kesihatan dalam aplikasi MySejahtera. Dua kali sehari. Sebelah
pagi sebelum pukul 9 dan sebelah petang sebelum pukul 2. Setiap malam kami membuat
bacaan yassin untuk memohon kesembuhan kepada Abah. Hanya doa saja kami mampu
lakukan, lagi-lagi tengah kuarantin. Tapi, jangan pandang rendah dengan doa
kerana doa itu senjata mukmin. Ada pihak luar seperti ABIM, sekolah lamaku (Al-Mashoor
L), sekolah Emak (MBS), sekolah Aqila (Abdullah Fahim), dan kawan-kawan Abah
yang turut membuat majlis bacaan untuk Abah.
Hari berganti hari.
Kami setia menelefon pihak ICU untuk bertanyakan tentang Abah. Ada hari kami
menerima berita positif dan ada juga hari kami berita sebaliknya. Ingat lagi
ada seorang doktor yang memberitahu Abang supaya kami bersiap sedia untuk menerima
apa-apa saja yang bakal berlaku kerana Abah sudah tiada harapan untuk sembuh.
Walaupun doktor itu bercakap dengan penuh ‘jujur’, tetapi kami berasa
penjelasannya itu agak kurang sopan. Emak dan adik-beradikku pasrah mendengar
perkhabaran itu. Aku berlapang dada dan menerima takdir seadanya. Sebenarnya, sejak
awal lagi aku telah tahu yang Abah hanya ada harapan 50-50. Abang Hafiz, sepupuku
sebelah Abah, telah memecah rahsia yang paru-paru Abah paling teruk di ICU. Dia
mendapat tahu tentang perkara ini daripada isterinya yang merupakan seorang
doktor. Isterinya selalu bertanya tentang Abah kepada kawannya yang bekerja
sebagai doktor di Hospital Pulau Pinang. Abang Hafiz menyuruhku untuk
merahsiakan perkara ini kerana takut ahli keluargaku tidak kuat mendengarnya.
Emak dan adik-beradikku
kuarantin sehingga 6 Januari. Aku sahaja yang perlu kuarantin sehingga 7 Januari.
Mungkin disebabkan aku seorang saja yang positif. Setelah memotong gelang,
mereka pergi ke hospital untuk mengambil barang-barang Abah. Hanya barang yang penting
sahaja dibenarkan untuk ambil. Selebihnya pihak hospital tidak membenarkan.
Keesokan harinya, giliran aku pula untuk memotong gelang. Akhirnya, aku bebas
setelah 10 hari berkurung di dalam bilik. Petang itu juga aku memberi hadiah
kahwin Mun yang berupa bingkai khat ditemani Emak. Memandangkan tempat kerja
Mun berhampiran dengan kedai BubbleBee, aku pun membeli satu ais krim madu itu.
Selasa 11 Januari 2022
Abah dah dipindahkan
dari ICU ke ICU Post-covid. Kami dah dibenarkan melawat tetapi hanya dua orang
dibenarkan dalam sehari. Sebenarnya, tiada pun waktu melawat tetapi atas ihsan
doktor dan untuk memberi sokongan moral kepada Abah, kami dibenarkan melawat selepas
pukul 5. Aku orang pertama yang melawat Abah. Aku melangkah masuk ke wad dan
mendapati banyak salur yang dimasukkan ke tubuh Abah. Mulut Abah ternganga
kerana satu tiub sebesar straw dimasukkan ke dalam mulut. Putih mata
Abah kekuningan. Kepala Abah terangguk-angguk dan tergeleng-geleng. Aku berdiri
di sebelah kiri Abah dan memanggilnya. Tetapi, dia tidak sedar. Selang beberapa
minit, datang seorang doktor di depan katil Abah. Aku pun bertanya tentang keadaan
Abah. Seperti kami tahu, dia telah bebas daripada jangkitan covid. Cuma, kesan
jangkitan itu agak kronik. Paru-paru dan buah pinggangnya ‘tidak baik’. Indikasi
kuman dalam darah pun tinggi.
Aku bertanya kepada
doktor, “Kenapa Abah saya asyik terngangguk-angguk tu?”
“Dia pernah mengalami
kekurangan oksigen. Otak kita perlukan oksigen. Kemungkinan dia mengalami
strok. Kami pantau dahulu dua tiga hari. Kalau masih berpanjangan, kami akan
lakukan CT scan.”
Ah, sudah! Tak akan
strok pula? Aku rahsiakan perkara ini daripada pengetahuan orang lain termasuk
ahli keluargaku sendiri. Sehabis saja aku berbual dengan doktor, aku keluar
dari wad. Emak pula yang masuk ke dalam wad itu.
Khamis 13 Januari 2022
Kami mendapat
panggilan daripada pihak hospital mengatakan Abah telahpun sedar. Cuma,
keesokan hari Abah perlu menjalani pembedahan untuk memasukkan salur oksigen melalui
kerongkong. Salur oksigen ini akan memudahkan oksigen untuk masuk ke dalam
paru-parunya. Di sebelah malam, selepas solat Maghrib, kami mengadakan bacaan
yassin bersama dengan keluarga sebelah Abah dan selepas solat Isyak, kami
membaca yassin bersama dengan keluarga sebelah Emak.
Ahad 16 Januari 2022
Setelah 20 hari Abah
berada di ICU post-covid, akhirnya Abah telah sedar dan boleh memberi respon.
Pembedahan itu pun telah berjaya. Masalahnya, tahap kesihatan Abah masih tidak
baik atau istilah orang putihnya, borderline.
Selasa 18 Januari 2022
Indikasi kuman dalam
darah menurun tetapi Abah masih memerlukan alat bantuan pernafasan dan dialisis
buah pinggang. Seperti biasa, aku dan Emak yang melawat Abah setiap petang
kecuali hujung minggu kerana adik-beradikku yang lain mempunyai urusan kerja.
Alhamdulillah. Kami dapat berbual-bual dengan Abah. Abah tidak boleh bercakap,
mungkin disebabkan kerongkongnya ditebuk. Dia hanya boleh menunjukkan reaksi muka
dan mengangguk. Besarlah harapan kami untuk Abah sembuh dengan segera.
Khamis 20 Januari 2022
Setelah 25 hari
berada di ICU, Abah tidak lagi menggunakan mesin untuk membantu jantungnya. Buah
pinggang masih perlu didialisi. Indikasi kuman dalam darah meningkat. Esok
hari, doktor ingin cuba memberhentikan ventilator untuk memantau sama
ada paru-paru Abah kuat atau tidak.
Ahad 23 Januari 2022
Doktor memberitahu
kami yang bantuan oksigen makin dikurangkan. Kami sekeluarga meletakkan harapan
yang tinggi yang Abah akan pulang dengan sihat seperti sedia kala.
Khamis 27 Januari 2022
Hari ke-31 Abah di
ICU post covid. Kali ni, aku perasan yang wad ICU seperti lengang. Selalunya,
ada saja doktor yang sedang lalu-lalang atau sedang memeriksa pesakit.
Sementara menanti doktor untuk bertanyakan keadaan Abah, aku pun membaca doa-doa
yang aku ingat. Usai membaca doa, aku pergi ke kaunter dan meminta jururawat
untuk memanggilkan doktor. Datanglah seorang doktor lelaki berbangsa Cina
kepadaku. Dia meminta aku untuk tunggu sebentar kerana dia sedang memeriksa
pesakit lain. Selang beberapa minit, seorang doktor perempuan berbangsa Melayu
datang kepadaku. Aku ingatkan dia ialah jururawat saja.
“Saya Doktor Anis,
kawan kepada Kak Asma. Kenai kan Kak Asma? Sayalah yang selalu update kat
dia pasal Abah.”
“Oh, yaka.”
Kak Asma tu merupakan
isteri kepada Abang Hafiz. Doktor Anislah yang kongsikan maklumat kepada kami
melalui Kak Asma semasa kami dikuarantin dulu.
Dia memberitahu bahawa
tahap kesihatan Abah belakangan ni makin baik dari hari ke hari. Cuma, dia
memberitahuku yang kemungkinan jika Abah pulih nanti, dia akan menjadi bed-ridden
untuk beberapa bulan. Mungkin, masih perlu memakai lampin pakai buang.
Tetapi dengan sokongan keluarga dan masyarakat sekeliling, dia boleh sihat
seperti dahulu. Memandangkan aku tidak mempunyai komitmen lain, aku sedia untuk
berkhidmat kepada Abah sampailah Abah sembuh, azamku.
“Abah kena kuat tau.
Kami tunggu kat rumah dengan keadaan Abah sihat. Insya Allah.”
Jumaat 28 Januari 2022
Kami sekeluarga
berasa gembira mendengar perkhabaran positif tentang Abah dari hari ke hari.
Pada petang Jumaat itu, aku dan Emak pergi melawat Abah. Seperti selalu, aku
akan masuk terlebih dahulu. Setibanya aku di wad, aku berasa kaget melihat
keadaan kelam-kabut. Doktor dan para jururawat yang sedang berusaha untuk
membantu Abah. Aku sempat bertanya kepada doktor yang bertugas. Katanya oksigen
Abah jatuh secara tiba-tiba dan Abah perlu ditiarapkan balik untuk membuka
paru-parunya. Aku melihat keadaan Abah yang sedang tenat. Mulutnya
tercungap-cungap. Aku berjalan ke sebelah Abah dan membaca doa ringkas walaupun
doktor dan para jururawat sedang sibuk. Aku keluar dari wad dan giliran Emak
pula yang masuk. Di luar wad, aku berasa patah hati. Mana tidaknya. Dua tiga
hari keadaan Abah semakin baik. Dan dan masa aku masuk ke wad, Abah
sedang bertarung nyawa.
Sabtu-Selasa 29-1
Februari 2022
Keadaan paru-paru
Abah masih tidak baik. Abah asyik ditiarap dan ditelentangkan untuk menaikkan
semula oksigennya. Alat bantuan jantung pun dipasang kembali. Air kencingnya pun
tidak keluar. Kadar jangkitan kuman dalam darah meningkat. Kami tidak dapat
membantu apa-apa melainkan berdoa dan menerima apa-apa saja yang bakal berlaku.
Rabu 2 Februari 2022
Hari ke-38 Abah di ICU
post-covid. Pukul 3 petang, Abang mendapat panggilan daripada pihak hospital.
Doktor mengatakan kuman telah menyebabkan bernanah dalam badan Abah. Keadaan
Abah semakin kritikal. Sebelum nanah itu merebak ke bahagian lain, mereka perlu
membuat X-ray untuk mengetahui kawasan nanah itu. Kami sekeluarga bergegas ke hospital.
Aku masuk ke dalam wad dan mendengar penjelasan doktor. Doktor memberitahuku dia
akan melakukan X-ray dan membuang nanah tersebut. Kontradiknya, kemungkinan
oksigen Abah akan menurun dan jantungnya akan berhenti selepas proses itu.
Doktor meminta aku untuk menurunkan tanda tangan sebagai tanda bersetuju untuk
melakukan proses itu. Pada awalnya, aku berasa takut untuk menurunkan tandatangan,
tapi aku memberanikan diri kerana aku tahu ahli keluargaku tidak berani untuk
membuat perkara ini. Aku keluar dari wad dan menjelaskan apa yang telah
diberitahu oleh doktor kepada ahli keluargaku yang lain. Seorang demi seorang masuk
ke dalam ICU untuk melawat Abah yang sedang tenat. Mulutnya ternganga dan boleh
nampak lidahnya naik ke lelangit. Kemungkinan disebabkan kadar bantuan oksigen
yang tinggi membuatkan lidahnya terangkat. Dadanya berombak-ombak.
Setelah semua melawat
Abah, kami tunggu saja di lobi, takut-takut apa-apa yang berlaku kepada Abah.
Emak menyuruh Abang untuk mengambil Aqila yang berada di asrama. Kami solat
asar di surau hospital dan menunggu Abang dan Aqila untuk sampai di hospital. Lebih
kurang pukul 6.30 petang, Abang dan Aqila tiba. Kami terjumpa Tokma, pengawal keselamatan
ICU post covid yang selalu berbual-bual dengan aku dan Emak setiap petang. Dia telah
habis waktu kerjanya. Tokma menyuruh Aqila untuk masuk ke wad. Menggunakan seniority
dan kuasanya sebagai pengawal keselamatan senior, Aqila dibenarkan masuk untuk
melawat Abah. Aqila memberitahu yang doktor belum lagi membuat X-ray pada Abah.
Doktor memberitahu kami bahawa dia akan memaklumkan kepada kami jika terjadi
apa-apa. Oleh itu, kami pun pulang ke rumah.
Selepas solat Isyak,
Pak Cik, Mak Cik dan Kak Ana sekeluarga datang ke rumah kami dari Pendang, Kedah.
Kami berbual-bual sehinggalah pukul 11.30 malam. Mereka pun pulang ke rumahnya.
Pukul 12 tengah malam. Baru sahaja aku hendak menutup telefon, aku mendapat
panggilan dari hospital. Doktor memberitahuku yang Abah sangat tenat. Jantungnya
berdegup semakin perlahan. Doktor meminta maaf dan menyambung semula kata-katanya.
Dia memberitahu bahawa kemungkinan Abah akan meninggal dunia.
Khamis 3 Februari
2022 (Malam 1 Rejab 1443H)
Adik-beradikku yang
lain telah pun tidur. Aku mengejut mereka semua dan kami bersiap-siap untuk pergi
ke hospital. Kami juga menelefon kembali Pak Cik untuk datang ke hospital. Tepat
12.30 malam. Kami sampai di ICU. Aku melangkah masuk dahulu ke ICU seperti biasa.
Doktor meminta aku untuk memanggil ahli keluargaku yang lain untuk masuk. Aku
memanggil mereka dan kami menyaksikan saat-saat akhir Abah menghembuskan nafas
terakhirnya. Kami mengajarkan dua kalimah syahadah kepada Abah. Aku melihat di
skrin. Nadi Abah mendatar. Seorang jururawat memaklumkan kepada kami yang dia
perlu memberhentikan bantuan oksigen kerana nadi Abah sudah tiada. Kami mengangguk
faham. Selang beberapa saat, Abah menghembuskan nafas terakhir. Mulutnya
ternganga. Matanya melihat ke atas. Kami reda yang Abah sudah tiada lagi.
Kami semua keluar
dari wad kerana para jururawat ingin mencabut wayar-wayar dan tiub-tiub
daripada Abah. Tidak lama kemudian, Pak Cik dan lain-lain pun sampai. Mereka
masuk ke ICU untuk melihat Abah buat kali terakhir di ICU. Selepas itu, aku dan
Abang masuk ke dalam ICU untuk menguruskan dokumen-dokumen kematian Abah. Disebabkan
hanya ada seorang jururawat lelaki, maka kami berdua membantu menguruskan
jenazah Abah dari atas katil dan memindahkannya ke tempat pengusung. Walaupun berat
Abah lebih 120+kg tetapi hanya kami bertiga sudah cukup untuk mengangkat Abah.
Kami mengusung Abah
dari ICU sehingga ke bawah. Seterusnya, sebuah kereta jenazah datang dan membawa
Abah ke tempat memandikan jenazah. Aku menemani Abah di dalam kereta jenazah
itu. Di tempat memandikan jenazah, aku berseorangan di situ. Selepas lebih
kurang 10 minit, datanglah ahli keluargaku dan Pak Cik sekeluarga. Pihak
hospital tidak menyediakan perkhidmatan memandikan jenazah. Selalunya pihak
kariah akan datang untuk memandikan jenazah. Emak menelefon imam-imam masjid
tetapi tidak berjawab. Pukul 2 pagi. Siapalah nak menjawab telefon pada masa
itu. Pihak hospital memberi nombor telefon pakej perkhidmatan pengurusan jenazah.
Emak menyuruhku menelefonnya. Aku berasa sangsi. Adakah dia akan menjawab
telefonku? Disebabkan suruhan Emak, aku akur.
Panggilanku berjawab.
Encik Zaidi namanya. Dia memberitahuku dia boleh menguruskan jenazah Abah.
Jumlah keseluruhan untuk pengurusan jenazah itu ialah RM1500 termasuk khafan
dan van jenazah. Aku memberitahu Emak tentang bayaran itu. Emak bersetuju. Aku pun
meminta Encik Zaidi datang segera.
Sementara menanti
pihak pengurusan jenazah datang, ahli keluargaku yang lain pulang ke rumah
untuk mengambil kain ihram Abah untuk dijadikan salah satu kain khafannya.
Tinggallah aku dan Pak Cik sekeluarga di situ. Tidak lama selepas itu, datang
tiga orang lelaki berumur lebih kurang 40-an ke tempat memandikan jenazah itu.
Aku pun bertanya kepada mereka, adakah mereka ini pihak pengurusan jenazah yang
aku telefon tadi. Mereka mengiyakan.
Aku dan pihak
pengurusan jenazah itu membuka kain balutan jenazah Abah yang diikat rapi dari ICU.
Alangkah terkejutnya aku. Wajah Abah seakan-akan tersenyum. Sedangkan ketika di
ICU, mulutnya ternganga. Mungkin disebabkan kain yang diikat di dagu Abah
menyebabkan muka Abah kelihatan tersenyum. Salah seorang pemuda tadi membuka
ikatan di dagu Abah.
Betul. Abah memang
tersenyum. Kedua-dua belah pipi abah terangkat sedikit ke atas. Bibirnya jelas
menguntumkan senyuman. Selesai membuka balutan itu, salah seorang pemuda itu
meletakkan kain antara pusat dan lutut Abah untuk menutup aurat Abah. Aku
berbual-bual dengan mereka sambil mereka ingin mula memandikan Abah. Memandangkan
mereka hanya tiga orang dan badan Abah pula agak besar, aku pun bertanya kepada
mereka untuk membenarkan aku untuk memandikan Abah. Mereka membenarkan.
Sebenarnya, aku telah bertanya kepada mereka pada awal-awal lagi untuk
membenarkan aku untuk turut bersama menguruskan jenazah Abah, tetapi dilarang
kerana ingin mematuhi SOP. Tetapi, kemungkinan mereka perlukan bantuan tenaga
yang lebih, maka mereka membenarkan. Sepatutnya, ada lima orang yang akan
menguruskan jenazah Abah. Tetapi, dua orang lagi kelewatan. Aku dan Abang Hafiz
yang kebetulan ada di situ memandikan Abah. Aku ditugaskan untuk membersihkan
bahagian perut dan ke bawah. Sambil aku memandikan Abah, aku memandang-mandang
wajah Abah. Cemburunya aku melihat wajah Abah yang tersenyum itu. Setelah lama aku
memandikan Abah, barulah datang Abang dan Haikal ke situ. Disebabkan hanya lima
orang yang dibenarkan masuk, aku dan Abang Hafiz bergilir-gilir dengan Abang
dan Haikal. Mereka membantu untuk proses membuang najis dan membasuh bahagian
belakang badan Abah. Sebelum Abah dikhafankan, semua ahli keluarga dijemput untuk
menyirami Abah buat kali terakhir.
Sebelum dimasukkan ke dalam van jenazah |
Pukul 3 lebih, Abah
siap dimandikan dan dikhafankan. Kami mengusung Abah masuk ke dalam van jenazah.
Aku dan Haikal menemani Abah di dalam van jenazah itu. Sepanjang perjalanan
sehingga ke rumah Tok Cik, aku dan Haikal membaca surah-surah lazim dengan niat
disedekahkan kepada Abah. Pemandu van itu membawa van dengan agak laju kerana
dia perlu mengikut kereta Abang Hakim, suami Kak Hana yang mengepalai perjalanan
kami ke rumah Tok Cik. Apabila di selekoh, aku perlu memeluk Abah. Takut-takut
Abah terbalik pula.
Lebih kurang pukul
4.30 pagi, kami tiba di perkarangan rumah Tok Cik. Kami menurunkan Abah dari van
dan membawanya masuk ke dalam rumah. Kami meletakkannya di atas katil.
Masing-masing kepenatan termasuklah aku. Tetapi, aku tak tahu mata aku tetap
segar. Sempatlah aku dan Emak membaca surah al-Baqarah, 10 muka surat terakhir.
Usai membaca al-Quran, aku duduk di atas sofa dan tertidur sehinggalah azan solat
Subuh berkumandang.
Usai solat ketika sedang berdoa, aku berasa hiba secara tiba-tiba. Sebak menusuk kalbu. Air mataku berjujuran keluar membasahi pipi. Aku teresak-esak membaca wirid dan doa. Dari Abah menghembuskan nafas terakhir sampailah Abah selamat tiba di rumah Tok Cik, aku tak menangis langsung. Tetapi, tiba-tiba perasaan hiba itu datang. Lebih-lebih lagi apabila aku teringat semasa menguruskan jenazah Abah. Cukup cepat dan mudah walaupun di tengah malam pemergiannya. Tersenyum elok di wajahnya. Ish, cemburunya aku. Adakah aku akan mendapat pengalaman yang sama apabila tiba giliran aku nanti? Itulah yang aku fikirkan.
Kami pergi ke rumah
Tok Cik kembali bersama-sama saudara sebelah Emak. Kami membaca surah yassin
dan tahlil berjemaah. Selepas itu, kami makan sarapan yang disediakan oleh Tok
Cik. Tak lama selepas itu, seorang demi seorang datang untuk memberi penghormatan
terakhir buat Abah. Ada yang siap membaca surah yassin lagi. Timbalan Pengarah
Imigresen datang awal-awal lagi. Aku ingatkan bahawa dia hanya akan datang
sebentar sahaja. Rupa-rupanya, dia tunggu sampailah Abah dibawa ke masjid untuk
disolatkan dan dikebumikan.
Makin lama, makin
ramai yang datang ke rumah Tok Cik. Mengikut pengiraanku, hampir seratus orang
yang ada di situ. Kebanyakannya pegawai Imigresen dan anak-anak buah Abah. Lebih
kurang pukul 10 pagi, kami membawa jenazah Abah ke masjid. Aku dan Abang
menaiki van jenazah itu menemani Abah. Di van jenazah, pemandu van memberi
pesan kepada kami untuk turun ke liang lahad untuk menyambut jenazah Abah
nanti.
Sebelum kami tiba di
masjid, aku telah pun memberitahu Tok Su yang aku mahu mengimami jenazah Abah. Oleh
itu, setibanya di masjid, aku terus pergi mengambil wuduk. Aku masuk semula ke
masjid dan mendapati jemaah telah siap dalam saf masing-masing. Masya Allah! Ramainya
orang, getus hatiku.
“SAFFF. SAFFF.”
Seorang pak cik
menjerit. Aku meluru ke hadapan dan mengambil mikrofon dari Tok Su. Aku takut
Tok Su terlupa yang aku yang mahu menjadi imam solat jenazah. Aku pun meminta
jemaah di luar untuk segera masuk.
“Haziq, tunggu Abang
sat. Abang lak nak ambik wuduk,” kata Abang.
Abang pergi ke tempat
wuduk dan mengambil wuduk. Pak cik itu menjerit lagi, “Safff. Safff.”
Aku tak tahu kenapa
pak cik ni mendesak untuk terus solat jenazah. Aku pun cakap menggunakan
mikrofon, “Tunggu sekejap norh. Anak dia tengah ambik wuduk.” Selepas itu,
tiada lagi sesiapa yang menjerit ‘saf’.
Aku tercari-cari di mana
Abang berada. Aku terintai-intai ke tempat wuduk tetapi tiada sesiapa lagi. Rupa-rupanya
Abang ada di sebelah hadapan kiri aku. Aku pun mengajarkan kaifiat solat jenazah.
Cuak jugalah. Takut-takut tersalah ajar. Dahlah ada ustaz-ustaz di dalam saf
itu.
“Allahu Akbar.”
Takbir pertama dilaungkan.
Aku membaca al-Fatihah.
“Allahu Akbar.”
Takbir kedua. Aku
membaca selawat ibrahimiyah.
“Allahu Akbar.”
Takbir ketiga. Aku membaca
doa untuk jenazah.
“Allahu Akbar.”
Takbir keempat. Aku membaca
doa untuk jenazah tetapi lebih ringkas. Seterusnya, aku memberi salam ke kanan
dan kiri. Selepas itu, aku memberi mikrofon kepada imam masjid dan dia
membacakan doa. Semasa membaca doa, aku tidak mampu untuk menahan air mataku.
Kami mengangkat jenazah
Abah dan membawanya ke kawasan perkuburan. Aku dan Abang melompat ke dalam
liang lahad. Eh, ada seorang saudara Abah telah pun berada di dalam. Haikal
datang ke tepi liang lahad dan masuk juga. Menjadi padat liang lahad itu.
Sepatutnya, tiga orang sudah cukup. Kami berempat menyambut jenazah Abah
berserta kerandanya. Perlahan-lahan kami meletakkan jenazah Abah ke dalam liang
lahad. Apabila Abah selamat diletakkan, aku melompat keluar kerana keadaan
terlalu padat. Cukuplah tiga orang di dalam liang lahad itu. Abang mengerengkan
badan Abah untuk menghadap kiblat dan diletakkan tanah ke sekeliling Abah. Abang,
Haikal dan sepupu Abah pun keluar dari liang lahad itu. Seterusnya, orang ramai
menanam jenazah Abah menggunakan cangkul dan penyodok. Ada anak buahnya yang bersungguh-sungguh
menanam jenazah Abah. Terharu pula aku melihatnya.
Apabila jenazah Abah
selamat ditanam, Tok Su meminta untuk diangkat sebuah pondok kecil untuk dia
membacakan talkin sambil dia duduk di atas pondok itu. Lebih kurang lapan anak
buah Abah terus bergegas dan mengangkat pondok itu. Berat juga pondok itu
rupanya. Mereka meletakkan pondok itu bersebelahan dengan kubur Abah. Tok Su, kami
adik-beradik dan Pak Cik duduk di pondok itu. Tok Su pun meneruskan bacaan
talkin. Aku ingatkan semua orang akan bersurai kerana cuaca panas terik. Rupanya,
telahanku salah. Mereka semua tunggu sehingga habis talkin. Masya Allah!
Usai membaca talkin,
ramai anak buah Abah memberi ucapan takziah kepada kami adik-beradik dan bersalaman
sambil memberikan kami sampul duit. Dah macam hari raya, kataku sendirian. Kami
pulang ke rumah Tok Cik dan berehat seketika sebelum pulang ke rumah. Saudara-maraku
sebelah Abah turut mengikuti kami pulang ke rumah. Di sebelah malam, mereka
pulang ke Selangor.
Begitulah pengakhiran
seorang suami yang setia, bapa yang penyayang, anak yang taat, ketua yang bertanggungjawab
dan seorang hamba Allah yang soleh. Begitu baik pengakhirannya. Abah bukanlah
seorang alim ulama yang mempunyai ribuan anak murid. Tetapi, Allah menjemputnya
kembali dengan keadaan yang sangat dicemburui umat. Diambil dalam keadaan
dibersihkan daripada dosa-dosa asbab penyakit yang ditakdirkan. Betapa mudah
pengurusan jenazahnya. Tengah-tengah malam pun pihak pengurusan jenazah sanggup
datang. Ramai yang datang memberikan penghormatan terakhir buatnya. Solat jenazahnya
dihadiri oleh ramai orang. Diimamkan oleh anaknya sendiri.
Betullah kata hukama, “Di dunia ini bukanlah permulaan yang dipandang oleh Allah tetapi Allah memandang penghujung hidup seseorang.” Seperti mana pelari pecut. Mereka hanya dinilai di garisan penamat. Begitulah juga kita semua. Semoga kita semua mendapat husnul khatimah, mendapat pengampunan sebelum mati dan diganjarkan dengan syurga.
Tolong sedekahkan bacaan al-Fatihah buat arwah. Semoga ia sampai kepada arwah.
Terima kasih atas
kesudian membaca blog saya ini. Insya Allah di lain kesempatan, akan saya
ceritakan amalan-amalan yang arwah Abah istiqamah lakukan sejak dulu yang saya
tahu.
Jumpa lagi.
Makan malam Shellout kali pertama dan terakhir dengan arwah Abah |
Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang terakhir |
Ulasan
Catat Ulasan