My Master Journey | Eps 8: Viva DONE!
Tahun 2020
Ingat lagi pesanan-pesanan para murabbi pada awal-awal mendaftar sebagai pelajar pascasiswazah.
"Hang kalau nak buat master untuk dapat sijil, baik berhenti ja. Buat master yang boleh contribute to society." -Cikgu Rais, legend SK Batu Lanchang-
"Kamu guna data mining? Haziq, kamu bukan budak programming. Kamu more to human. Saya tengok result kamu untuk programming tak skor. Baik kamu bincang dengan SV balik." -Sir Sofian, legend FSKPM-
Tahun 2021
Aku memilih untuk mengkaji pelajar SPM berbanding mahasiswa dengan harapan dapat membantu anak watan berjaya untuk SPM dan masuk universiti. Rupanya, langkah aku 'sumbang' kerana prosedur untuk mengkaji pelajar sekolah lebih rumit dan ketat, ditambah lagi dengan PKP. Memegang kata-kata Cikgu Rais, aku teruskan juga. Dengan izin-Nya, dapatlah aku mengumpul data pelajar-pelajar daripada 4 buah sekolah.
Fasa mengumpul data telah lengkap setelah mendapatkan keputusan SPM 2021. Fasa seterusnya ialah menganalisis data. Inilah fasa paling penting dan paling susah. Hampir-hampir saja aku mengalah. Tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata. Hanya Allah sahaja yang tahu peritnya menahan kesusahan itu. Keluarga tercinta menjadi saksi betapa tertekannya aku. Terngiang-ngiang kata-kata Sir Sofian. "Sepatutnya dari awal lagi aku tak buat data mining ni," fikirku. Aku berhenti sebentar. Mengumpul semangat untuk meneruskan perjuangan. Dalam masa yang sama, mengharapkan pertolongan daripada Tuhan.
Hari berganti hari, masih belum aku mendapatkan keputusan yang aku mahu. Patah sayap, bertongkatkan paruh. Aku tidak berhenti. Macam-macam cara aku cuba sehinggalah satu hari, penyelia aku menjumpai satu kajian jurnal yang boleh aku jadikan sebagai rujukan. Alhamdulillah. Tetapi, aku perlu membayar maharnya. Aku perlu menggunakan 'software' baru yang tak pernah aku belajar selama ni. Dengan waktu yang kian suntuk, aku gagahkan jua untuk bermula dari awal.
Masya Allah, hebatnya pertolongan Allah. Aku menjadi mahir menggunakan software itu walaupun baru cuba-cuba saja. Akhirnya, dapatan yang aku mahukan daripada analisis itu tercapai. Sebulan dua menganalisis data dan mendokumentasikan dapatan kajian ke dalam tesis, aku berjaya menyiapkan keseluruhan kajian.
Just do your best, let Allah do the rest.
5 April 2022
Setelah 4 bulan menanti hari untuk viva voce, aku membentangkan kajianku dengan tenang. Gambar arwah abah aku letakkan di skrin komputer riba sebagai penaik semangat. Usai pembentangan, aku membuka kepada sesi soal jawab. Kedua-dua pemeriksa memberi komen yang cukup positif dan memuji kajianku ini. Bagi aku, it is too good to be true. Mesti banyak kesalahan yang perlu dibetulkan nanti. Tamatlah sesi viva voce.
Aku membaca laporan daripada pemeriksa-pemeriksa yang diemel oleh pihak pusat pascasiswazah. Aku terdiam seribu bahasa. Betul-betul pemeriksa-pemeriksa memuji kajianku ini.
"The student has done a very good research that benefits the educational field."
-Dr Norehan, internal examiner.-
"...This is a hard work."
"...This is well done."
"This thesis is clearly presented. The research conducted is worthwhile..."
"This systematic study which is carefully conducted and its findings can contribute to the larger literature. The research should be published in journals for larger readership in the field."
-AP Dr Koo Ah Choo, external examiner from MMU-
Alhamdulillah. Semuanya dengan izin Allah. Aku hanya usahakan saja. Bahkan, usaha aku itu sendiri Allah yang gerakkan. Dan berkat doa-doa kalian juga terutamanya emak Roseazila Ali yang tak putus-putus mendoakan anak-anaknya. Semoga perkongsian aku ini menjadi pembakar semangat buat pembaca-pembaca untuk terus berjuang di cabang masing-masing.
Sekian.
Road to jubah pink ✅
No master, no mrs 😀
Master✅ Mrs 🌞
Ulasan
Catat Ulasan