Langkau ke kandungan utama

Patani: Melayu Yang Tak Didendang

 Patani: Melayu Yang Tak Didendang

Assalamualaikum semua. Sawadee kap!

Alhamdulillah, setelah sekian lama tak update blog ni, baru diberi kesempatan untuk menulis lagi. Bukannya dapat duit apa pun. Tapi ada yang lebih berharga yang aku dapat iaitu sampaikan kebaikan kepada pembaca. Dr Ann Wan Seng pun berpesan dalam slot ceramahnya dalam Sekolah Penulisan Ramadahan 2022 yang menulis ni tak menjanjikan kita dapat buat duit. Tapi yang lebih berharga daripada duit adalah menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain. Bukankah Rasulullah pernah bersabda, sebaik-baik manusia ialah mereka yang bermanfaat kepada orang lain? Semoga penulisan aku selama ini akan mengalirkan ganjaran pahala daripada Ilahi. Amin.

Korang tahu tak majoriti penduduk selatan Thailand ialah orang Melayu Islam? Baru tahulah tu. Selain bahasa Siam, bahasa perantara utama mereka adalah bahasa Melayu dialek Kelantan. Kiranya tak perlu pun belajar bahasa Siam pun kalau setakat nak pergi ke selatan Thai terutamanya tiga wilayah selatan iaitu Yala, Narathiwat dan Patani. Sebenarnya, wilayah selatan ni di bawah satu wilayah iaitu kerajaan Patani tetapi telah dipecah-pecahkan untuk mengelakkan daripada rakyat bersatu. Dasar pecah dan perintah namanya. Kalau korang perasan, aku menulis perkataan ‘Patani’ dengan satu ‘T’ bukannya ‘Pattani’ seperti yang kita sedia ketahui. Nak tahu kenapa? Baca sampai habis entri ni. Insya Allah, akan ada jawapannya nanti.

Sebelum aku merungkai tajuk yang agak catchy ni, baiklah kiranya aku cerita dari permulaan kisah aku pergi ke Patani. Mulanya, Fitri @ Mamu, sahabat SUPERB, ajak pergi ke Kota Tinggi, Indonesia pada bulan Mac 2023. Ketika itu, aku masih bekerja. Cuma, aku dah merancang untuk berhenti pada bulan tersebut. Memang cantiklah. Bolehlah aku pergi sekali. Tapi masuk bulan Februari, dia cakap tak jadi pergi ke Indonesia. Dia ada perancangan lain. Nak pergi ke Patani pula awal bulan tiga sebab adik kakak iparnya yang merupakan orang Patani akan berkahwin. Nasib baik masih bulan tiga. Aku masih boleh ikut.

Dipendekkan cerita, aku pun pergi ke Siam pada hari sabtu, 25 Februari. Mamu dan kedua orang tuanya mengambil aku di Masjid Seberang Perai pada sebelah pagi dan kami bertolak sampai ke RnR Gurun. Di RnR, kami menunggu abang Mamu dan keluarga. Itulah kali pertama aku tengok RnR Gurun penuh dengan pengunjung sehingga tiada parking. Terpaksa kami parking di stesen minyak. Lebih kurang setengah jam menunggu, akhirnya abang Mamu dan keluarga sampai dengan menaiki kereta Vellfire. Kami meneruskan perjalanan sehingga ke satu kedai menjual insurans di Changlun. Tak jauh dah dengan Siam ni. Di kedai tu, ada sekumpulan bikers yang sedang berurusan dengan pihak kedai. Setelah mereka selesai, barulah giliran kami.

Setelah membeli insurans, kami mengisi minyak sampai penuh di stesen minyak yang paling hampir dengan sempadan. Minyak di Thailand mahal sebab tiada subsidi. Orang kita ni mengharapkan subsidi kerajaan ja. Hek eh. Eh, dah macam dialog Awie dalam cerita Zombie Kampung Pisang pula. Dua kali ganda harga minyak Thailand berbanding Malaysia. Tapi di Thailand tiada tol. Jalan pun tak berlubang-lubang. Nak tahu kenapa jalan tak berlubang? Teruskan membaca.

Kami pun sampai di Bukit Kayu Hitam. Setelah urusan imigresen, kami pun masuklah ke negara jiran. Di Danok, kami tukar duit ke Bath, beli simkad baru dan makan tengahari. Kami pesan makanan pukul 12 tengahari. Makanan sampai pukul 2 petang. Lambat betul. Jarang kedai tomyam lambat macam ni. Nasib baik masakannya agak sedap. Redalah sikit ketidakpuasan hati kami. Boleh jadi juga makanan tu jadi sedap disebabkan kami lapar. Usai makan, kami terus bertolak ke Kampung Pangkalan Kubur, Patani. Sepanjang perjalanan agak bosan maka aku membuka radio setelah lama menyepi. Nak tahu juga lagu-lagu apa yang biasa aku dengar. Manalah tahu ada lagu Bikers Kental, ‘Thu thu thu tetam’ ataupun lagu tiktok viral, ‘Pak tong tong pak tong tong’. Tapi yang keluar lagu Melayu. Aku dan Mamu terkejut besar. Rupanya siaran radio Zayan. Masih dapat capaian radio Malaysia di selatan Thailand ni.

Jam menunjukkan pukul 5 lebih. Kami hampir sampai ke destinasi. Kata abang Mamu, Abang Amar, banyak roadblock sepanjang jalan tapi ikutkan perjalanan kami ni, taklah banyak mana. Adalah dua tiga. Pesan Abang Amar lagi, kalau lalu di roadblock jangan lupa tanggalkan kopiah. Pengalamannya sendiri di tahan kerana ada penumpang yang memakai kopiah. Kami melalui persisiran pantai sebelum sampai ke Kampung Pangkalan Kubur, Patani. Angin agak kuat sehingga kereta Abang Amar tak boleh dibawa dengan laju.

Akhirnya, kami sampai. Rumah kayu dua tingkat. Kosong. Tiada sofa ataupun perabot. Hanya lantai beralaskan karpet getah. Setibanya kami di situ, kami terus solat asar-zohor jama’ takhir diimamkan ayah Mamu. Usai solat, kami melepak di tepi sungai. Masuk waktu maghrib, kami masuk ke rumah dan solat jama’ takdim maghrib-isyak. Rumah tersebut bukanlah tempat penginapan kami. Itu tempat penginapan Abang Amar dan keluarga. Kami pula akan tidur di homestay milik seorang ustaz yang belum kami kenali. Kami pun bertolak ke situ. Sepanjang perjalanan, barulah kami perlu melalui banyak roadblock. Tak pasti askar ataupun polis yang bertugas. Mereka memegang senapang dan dilengkapi baju kalis peluru. Setelah hampir setengah jam, kami pun sampai di homestay. Rumah tersebut terletak di tingkat dua. Ada dua bahagian. Aku dan Mamu satu bahagian manakala satu bahagian lagi untuk ibu ayah Mamu. Rumah tersebut hanya lantai mozek yang kosong. Tiada sofa. Tiada katil. Hanya toto dan selimut. Alah, tak kesah pun. Asal ada tempat tidur ja. Disebabkan kepenatan, kami pun ketiduran. Tamatlah cerita hari pertama dan kali pertama di Patani, bumi Melayu yang dijarah Siam.

Memandangkan waktu di Thailand awal sejam daripada Malaysia, maka aku perlu bangun sejam lebih awal untuk solat subuh. Subuh pukul 5.10 pagi tapi pada pukul 4.50 pagi, aku terdengar suara daripada mikrofon, “Bangun subuh. Bangun. Alhamdulillahillazi ahyana ba’da amatana wailahinusyur (Doa bangun tidur).” Berulang-ulang kali suara ini diulang untuk mengejut para pelajar bangun. Penginapan kami terletak bersebelahan dengan sekolah asrama. Darul Barakah namanya. Sekolah tersebut bukan setakat untuk masyarakat awam tetapi juga menempatkan anak-anak yatim dan asnaf. Penghuni-penghuni di situ ada yang masih bayi dan yang paling tua 18 tahun. Selepas tamat persekolahan, mereka akan dihantar untuk belajar ke institusi pengajian tinggi sama ada di dalam mahupun luar negara. Hebat sungguh sekolah ni. Kiranya, ada tiga lapisan sekolah yang disediakan – tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah.

p/s: Kalau korang nak memberi sumbangan kepada sekolah ni, boleh hubungi aku di IG atau FB. Sama-sama kita bantu saudara seislam kita yang tak didendang ini.

Aku dan Mamu hanya solat di bilik kerana tak tahu di mana lokasi masjid yang paling berdekatan. Kami masih kurang arif dengan selok-belok kampung itu. Usai solat, kami tidur semula kerana kepenatan perjalanan semalam. Dalam pukul 8 pagi, aku bersiap dan mengerjakan solat dhuha. Sedang aku solat, tiba-tiba satu suara memberi salam dari luar bilik kami

“Assalamualaikum. Assalamualaikum.” Suara perempuan berdialek Kelantan-Siam. Bunyi ‘kum’ tu macam ‘kap’ dah.

Ah, sudah. Macam mana aku nak jawab salamnya ini? Aku sedang solat. Solat hanya boleh diberhentikan jika menyahut seruan ibu. Satu lagi, untuk apa perempuan tu bagi salam kepada bilik kami? Aku tak pasti maka aku teruskan solat.

Alhamdulillah. Mamu terjaga dan keluar dari bilik.

“Diana mano Diana?” kata perempuan itu.

“Diana? Sapa Diana?” jawab Mamu.

Rupanya, perempuan itu ialah isteri ustaz pemilik homestay. Diana pula isteri Abang Amar. Adik dialah yang akan kahwin pada hari tu. Ustazah datang bersama suaminya untuk membawa kami makan sarapan. Memandangkan kami belum pun bersiap lagi, dia pun memberitahu Mamu yang dia akan datang kembali pada pukul 8.30 pagi.

Pukul 8.30 pagi. Ustaz datang berseorangan ke homestay menaiki keretanya. Ustazah tidak mengikutinya. Mungkin kerana ada urusan. Aku, Mamu dan kedua orang tua Mamu pun mengikuti ustaz ke sebuah kedai makan. Yang bekerja di situ memakai purdah termasuk tukang penebar roti. Rare sungguh, kan? Teringat kedai burger akak purdah di Unimas dulu. Aku memesan nasi kerabu. Nak try rasa kerabu original Thailand ni. Mamu pula pesan ‘nasi air’. Nama agak pelik tapi disebabkan rasa teruja nak tahu apa tu maka dia pun memesan nasi air. Makanan pun sampai. Alah, nasi air tu bubur nasi rupanya. Tapi penuh dengan isi. Bukanlah bubur kosong.

Habis makan, kami teringin pula nak makan roti canai akak purdah ni. Kami pun memesan roti canai telur versi akak purdah Patani. Ustaz rekemen untuk makan dengan susu. Aku pun terima saja rekemen tu. Tak lama menunggu, makanan pun sampai. Kami pun makan sampai licin. Jam menunjukkan pukul 9 pagi. Abang Amar memberitahu kami yang dia akan datang pukul 9.30 pagi. Ada setengah jam lagi ni. Ustaz pun membawa kami ke Masjid Kerisik. Masjid bersejarah. Di sinilah tumpahnya darah para syuhada. Dibunuh kejam oleh militer tak berperikemanusiaan.

Kata ustaz, setelah polis membuat siasatan untuk tempoh yang lama barulah orang awam dibenarkan untuk membersihkan kawasan masjid. Menariknya, darah yang membasahi kawasan masjid masih kekal merah. Kalau ikutkan, sepatutnya darah itu akan menjadi hitam.
Benarlah firman-Nya iaitu “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;

(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnia-Nya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.

(Surah Ali ‘Imran:169-171)

Setelah beberapa ketika, datanglah Abang Amar dan keluarga. Kami pun menaiki kereta dan mengikutinya untuk ke tempat kenduri. Selang beberapa kilometer kami akan menemui roadblock. Banyak betul roadblock untuk ke Naratiwat ni. Ada tempat yang dilengkapi kereta perisai. Ada tempat yang tiada siapa pun jaga.

Pukul 12 tengah hari, kami sampai di Naratiwat. Jarak dari Patani ke Naratiwat lebih kurang sejam lebih tetapi disebabkan kami perlu menunggu saudara-mara pengantin lelaki yang lain, memakan banyak masa. Ada lebih kurang sembilan kereta kesemuanya. Kebanyakan mereka menaiki kereta 4 X 4. Agak menarik di sini ialah penumpang akan duduk beramai-ramai di bahagian belakang kereta walaupun panas terik. Mungkin mereka sudah terbiasa, rasanya.

Pukul 12.30 tengah hari, majlis akad nikah dilangsungkan. Sangat mudah dan cepat. Sedar tak sedar, dah habis urusan akad nikah tu. Mereka menggunakan bahasa Melayu dialek Kelantan sebagai bahasa perantaraan untuk akad nikah. Ingatkan cakap Siam. Usai akad nikah, kami bergerak ke rumah pengantin perempuan. Majlis perkahwinan mereka tiada beza pun dengan kita. Cuma mereka masih mengamalkan rewang dan ala kampung iaitu dengan cara menghidang. Kami menjamu selera dengan makan apa yang dihidangkan. Lagu yang dimainkan oleh DJ adalah lagu-lagu Melayu. Lagu Anita Sarawak pun ada. Cuma yang lucunya, cara DJ mengendalikan acara persis orang membaca kitab. Siap beri tazkirah tentang kematian lagi.

 

Walaupun dah habis makan, tak sopan jika kami terus pulang memandangkan yang kahwin itu adik ipar Abang Amar. Kami pun menunggu di bawah khemah walaupun cuaca panas. Dalam pukul 3 petang, barulah kami beransur untuk solat zohor-asar. Kami solat di masjid yang menjadi tempat akad nikah tadi. Usai solat, aku tertidur.

Sedar-sedar dah masuk waktu asar. Kami masih menanti Abang Amar dan keluarga yang masih di rumah kenduri. Tak lama selepas tu, Abang Amar dan keluarga datang. Destinasi seterusnya ialah mereka membawa kami ke pantai di Naratiwat. Pukul 5 lebih, kami sampai di pantai itu dan menikmati pemandangan tepi pantai. Acah-acah healing. Abang Amar mengeluarkan dron miliknya yang berharga RM 2000. Memang canggih. Bukan dron versi shopee. Kami pun bergambar dan mengambil video menggunakan dron itu. Sebelum bertolak ke Patani, masing-masing mencari tandas untuk melepaskan hajat. Semua agak desperate termasuk aku dan Mamu. Bayaran 5 bath atau orang panggil 5 kut untuk seorang tapi disebabkan kami tiada duit kecil, kami letakkan 20 bath. Lagi 10 bath tu sedekah ja la. Dalam keadaan kelam-kabut, sesuatu terjadi pada dron tu. Nak tahu? Teruskan membaca.

Selepas itu, kami pun pulang ke rumah penginapan. Sepanjang jalan, aku dapati ada satu laluan jalan raya ditutup untuk penyenggaraan. Baru aku tahu sebab apa jalan di sini tak berlubang-lubang macam muka aku. Diorang akan simen dahulu sebelum diturap dengan tar. Memang memakan masa lama untuk siapkan tapi untuk jangka masa panjang jalan tu akan kekal baik. Sebelum sampai ke rumah, kami singgah ke sebuah restoran. Di pintu restoran tu tertera waktu kedai itu beroperasi sehingga 2100. Pukul 9 malam. Kami tiba pukul 8.45 malam. Aku bertanya kepada pelayan,

“Buko lagi ko?” *Acah kecek Klate

“Buko gi,” jawab pelayan.

Kami pun mengambil tempat duduk dan meminta menu. Pelayan itu bertanya,

“Pehe ko tulisan Sie?”

“Dok,” jawabku ringkas. Maka, dia mengambil kertas dan menulis pesanan kami. Sepatutnya kami hanya perlu tick makanan dan letakkan jumlah di menu.

Ayah Mamu membuat pesanan – tomyam campur, kailan ikan masin, telur dadar. Sebiji macam pesanan yang keluarga aku selalu buat apabila makan di kedai tomyam. Kali ni, makanan yang kami pesan datang cepat. Tomyamnya pun lebih sedap daripada sebelum ini. Usai makan, kami pulang ke bilik dan melayari alam mimpi.

Keesokan harinya, ustaz membawa kami makan di sebuah kedai di bahagian bandar. Aku perasan semua tempat yang ustaz bawa kami ni murah-murah belako. Nasi kerabu semalam tu baru RM 4 lebih kalau ikut duit ringgit. Roti canai telur tu pula RM 2. Hari ni aku tak tahu harganya berapa sebab ustaz yang bayar. Sebenarnya, semalam pun ustaz yang bayar. Semoga Allah lapangkan rezeki ustaz. Amin.

Usai sarapan, kami berjalan di bandar Patani. Ustaz ada urusan maka dia hanya boleh berikan cadangan tempat yang perlu kami kunjungi, antaranya Masjid Besar Patani dan pasar. Kedua-dua terletak berhampiran. Kami menaiki kereta dan pergi ke pasar dahulu. Aku tak tahu apa yang patut aku buat di pasar itu maka aku ajak Mamu pergi keluar di bahagian hadapan masjid untuk mencari ole-ole untuk keluargaku. Dalam masa yang sama, aku juga ingin mencari baju raihan butang tengah yang cukup susah untuk aku jumpa di tanah air. Rupanya, baju yang kena dengan cita rasa aku tu juga sukar untuk dijumpai. Akhirnya, kami jumpa di sebuah kedai bersebelahan dengan tempat kami makan tadi. Alang-alang dah jumpa, aku beli dua helai. Sehelai lagi untuk adikku. Kalau dia tak nak, bolehlah aku pakai.

Usai membeli-belah, kami pergi ke Masjid Besar Patani. Di masjid, kami solat tahiyatul masjid. Seterusnya, kami menikmati pemandangan di dalam dan di luar masjid. Tidak lupa kami untuk menangkap gambar sebagai kenangan. Pada tengah hari, Abang Amar dan keluarga datang ke masjid dan kami bergerak ke pondok pengajian ustaz. Di pondok tersebut, kami solat jamak zohor-asar. Usai solat, aku terasa ada situasi tegang. Rupanya, beg yang berisi dron Abang Amar tak dijumpai di dalam kereta. Orang terakhir yang memegang dron itu ialah Kak Nana kerana Abang Amar sedang menguruskan anak-anaknya untuk membuang hajat. Tapi aku perasan Abang Amar ni sikapnya cool. Kalau aku, menggelabah habis dah. RM 2000 tu. Masing-masing berdoa supaya dron tu dalam keadaan selamat dan dapat dijumpai balik. Nak tahu apa jadi dengan dron tu? Teruskan membaca.

Ustaz free petang tu. Dia membawa kami ke tempat-tempat menarik di sekitar Patani. Dari tengah hari tu sampailah malam. Di sebelah petang, ustaz membawa kami melihat pantai-pantai dan telaga Syeikh Daud Patani. Pengarang kitab Minyatul Musolli. Aku pun meneguk sedikit air dari telaga itu untuk ambil berkat orang hebat. Di sebelah malam, kami solat jama maghrib-isyak di masjid di dalam Universiti Putera Songkla (Prince Songkla University @ PSU). Usai solat, kami dibawa ke Green Market yang terletak di luar PSU. Lebih kurang uptown tapi hanya jual makanan. Sikit saja barang-barang lain yang dijual. Aku pun membeli baju hoodie untuk adik kerana harganya agak murah. RM 17 saja. Disebabkan lapar, aku pergi ke gerai yang menjual nasi. Peniaga itu bertanya kepadaku, “Dari mana?” Aku menjawab, “Dari Malaysia. Pulau Pinang.” Rupanya, peniaga tu selalu berkunjung ke Pulau Pinang. Bulan februari saja dia telah pergi sebanyak empat kali. Ada juga orang yang perangai macam abang aku. Dia suka masuk Siam. Kakak ni suka masuk Malaysia. Perbualan kami panjang sehingga hampir setengah jam sampaikan perut aku dah berkeroncong. Kami pun menamatkan perbualan dan makan makanan yang dipesan tu. Usai makan, kami pulang ke rumah penginapan dan beradu.

Hari keempat di Patani. Seperti biasa, ustaz membawa kami makan di sebelah pantai paya bakau. Di situ, kami berkenalan dengan dua orang veteran iaitu Cik Na dan Pok Din. Pok Din dan Cik Na ni kami dah jumpa di kenduri hari tu. Tak tahu pula dorang orang Malaysia. Ada talian persaudaraan dengan Kak Nana. Kami pun berbual-bual dengan dorang terutamanya Pok Din. Dia merupakan sasterawan. Banyak ilmu yang aku perlu gali daripadanya. Telahanku. Pok Din juga banyak mendedahkan tentang perjuangan orang Melayu Patani kepada kami. Dia juga memberitahu kami yang Patani banyak berjasa kepada Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Sebab itulah dia datang ke Patani untuk membalas kembali jasa nenek moyang mereka dengan berkhidmat sebagai guru di sekolah ustaz. Pertanyaan Pok Din yang menyentap fikiranku, “Apa yang kamu boleh bagi sumbangan kepada Patani?” Masih aku tertanya-tanya sehingga kini. Kahwin orang sana? Eh.

Dalam kami berbual-bual, dia bertanya kepada kami, “Doh gi Masjid Telok Manok?” Kami menjawab, “Dok gi.” Dia membalas, “Kalau dok gi masjid tu, bahasa kasar dio boleh dikatakan ‘kapir’.” Kami tergamam. Masjid itu ialah masjid terawal di Thailand. Ada tiga masjid terawal di Nusantara – Masjid Demak, Masjid Kampung Laut @ Nilam Puri dan masjid Teluk Manok @ Wadi Husin. Ketiga-tiga masjid ini dibina oleh adik-beradik Wali Songo. “Eh, kasar mulut ni. Hari ni hari apa? Selasa. Oh patutlah kasar,” sambung Pok Din. Tambah Pok Din lagi, kami juga perlu pergi ke muzium al-Quran yang tak jauh dari masjid itu. Memandangkan pekerja ustaz dah sampai untuk mengambil Pok Din dan Cik Na, kami pun menuju ke Masjid Teluk Manok. Kata Pok Din jaraknya dalam 45 minit saja. Tapi dalam Google Maps tertera sejam. Jaraknya juga boleh untuk solat jama. Masjid tu terletak di Naratiwat. Seperti hari ahad lepas, kami perlu melalui banyak roadblock. Tetapi hari tu pengawasan askar agak lebih ketat. Banyak kereta perisai di tepi jalan dan askar yang siap sedia dengan machine gun. Pada hari tersebut ada diadakan seminar berkenaan hak minoriti di Patani. Oleh sebab itulah, pihak berkuasa tingkatkan pengawasan. Teringat kata-kata Pok Din tadi, “Orang Siam terlalu diutamakan dan orang Melayu terlalu diawasi.” Barulah aku tahu keadaan orang Islam di negara majoriti bukan Islam. Hidup sentiasa diawasi dan tertindas. Tiada kemerdekaan. Tapi sebaliknya berlaku kepada negara majoriti Islam. Semua dapat hidup dengan aman dan harmoni. Masih lagi percaya Islam itu terrorist?

Sejam perjalanan, akhirnya kami sampai di masjid itu. Di masjid, kami berjumpa dengan seorang tuan guru di sebuah pondok yang berjaulah ke selatan Thailand kerana mengimbau tempatnya belajar. Baba Haji Saleh panggilannya. Beliau datang bersama dengan anak-anak didiknya dengan menaiki kereta bernombor plat Malaysia. Sempatlah kami berbual-bual dan bergambar dengan mereka.

Destinasi seterusnya ialah muzium al-Quran. Aku cuba mencari di dalam Google tetapi tidak berjaya. Aku pun bertanya kepada orang tempatan. Dia memberi beberapa klu untuk sampai ke situ. Aku pun mengikut saja klu-klu daripadanya itu. Dia juga memberitahu yang jaraknya hanya lebih kurang 15 minit. Kami pun meredah saja perjalanan. Pada mulanya kami tersalah masuk lorong. Terpaksalah kami membuat pusingan U yang agak jauh. Akhirnya kami sampai di muzium itu. Sebenarnya, muzium itu belum dibuka. Ia bakal dibuka bulan hadapan. Maka, mereka menggunakan satu bangunan bersebelahan dengan sebuah sekolah sebagai muzium sementara.

Kami tiba di situ ketika masuk waktu zohor. Petugas-petugas yang ada terpaksa tinggalkan kami untuk solat dan makan tengah hari. Terdapat tiga bahagian. Pertama, bahagian al-Quran lama. Kami  melihat al-Quran – al-Quran lama dari pelbagai pelusuk dunia. Ada al-Quran yang diiktiraf sebagai al-Quran terbaik di dunia di muzium itu. Bahagian kedua, artifak Melayu. Di situ terdapat senjata yang digunakan orang Melayu. Bukan hanya keris, pedang mahupun panah tetapi senjata api seperti senapang dan meriam juga ada. 

Bahagian ketiga, karya-karya yang berjaya diselamatkan daripada dicuri penjajah. Sebanyak 24 000 naskah telah dicuri ketika era penjajahan. Naskah-naskah tersebut boleh dijumpai di Birmingham, Rusia, Jerman dan banyak lagi. Sudah terang lagi bersuluh empayar Melayu bukanlah seperti apa yang kita ketahui. Yang kita gambarkan hanyalah empayar yang lemah. Sejarah yang dipesongkan. Empayar ini hebat sehingga mempunyai penguasaan ilmu pengetahuan yang digilai seantero dunia. Usai memasuki muzium ini, aku terasa bangga betul menjadi orang Melayu. Malangnya, sejarah aku telah diseleweng dan juga dipadam. Hidup di dunia ini umpama putaran roda. Lama sudah orang Melayu di bawah. Tapi roda akan berputar. Satu hari, aku yakin orang Melayu akan berada kembali di puncak kegemilangan. Insya-Allah.

p/s: Bangga menjadi Melayu tak bermakna jadi ahli UMNO. Eh tiber.

        Seterusnya, kami kembali ke Masjid Telok Manok untuk solat zohor-asar. Sebenarnya, kami ingin mencari air terjun tetapi langit kelihatan gelap tanda nak hujan. Tak boleh kami meneruskan hajat. Usai solat, kami terjumpa dengan seorang lelaki lingkungan 40-an. Kami berbual ringkas. Dia mengajak kami untuk menziarahi kubur yang terletak bersebelahan dengan masjid. Katanya, di sinilah tempat para syuhada peristiwa Tak Bai dikebumikan tetapi dia tidak tahu dengan spesifik. Aku sengaja menyakatnya, “Abang pun salah seorangkah yang jadi mangsa?” Dia menjawab, “Ya.” Jawapannya mengejutkan aku dan Mamu. Aku bergurau sebenarnya kerana kalau dia salah seorang mangsa, sangkaanku sudah pasti dia juga telah arwah. Dia pun menceritakan apa yang sebenarnya terjadi. Sebanyak 70 orang mati ditembak manakala yang lain-lain mati di dalam perjalanan menaiki lori. Jika ada yang bersuara di dalam lori itu, dia akan ditikam di leher. Mayat akan nampak seakan-akan ditembak. Sehingga ke hari ini, keadilan masih tidak ditegakkan. Askar-askar yang membunuh tidak menerima apa-apa hukuman. Lama juga kami bersembang. Akhirnya, abang tu meminta diri kerana ada urusan kerja perlu dibuat.

            Kami minum-minum dahulu sebelum bertolak ke Patani. Sempatlah minum air Green Tea ais. Hujan mulai turun. Kami pun bertolak ke Patani. Setibanya kami di Patani, hujan masih tidak berhenti. Kami sempat menziarahi telaga Hang Tuah yang terletak tak jauh dari Masjid Kerisik. Seterusnya, kami pergi ke makam ratu-ratu Patani. Walaupun dipimpin oleh ratu, zaman itulah zaman kegemilangan kerajaan Patani. Ada tiga ratu yang dikebumikan sebelah-menyebelah iaitu Ratu Hijau, Ratu Ungu dan Ratu Biru. Macam power rangers pula. Selepas itu, kami pun pulang ke rumah penginapan memandangkan dah senja.

 

 

            Pada sebelah malam, kami mencari kedai makan yang terdekat. Kami terjumpa satu mall yang bernama Asean Mall. Kami pun masuk ke dalam. Aku teruja melihat pintu pusat membeli-belah tu. Tertera doa untuk masuk ke pasar. Hebat! Tak pernah lagi aku nampak mana-mana mall yang buat benda ni hatta di Mekah dan Madinah. Di dalam mall, banyak kedai yang dah nak tutup. Rupanya waktu operasi sudah hampir ke penghujung. Aku perasan satu perkara yang menarik. Ada bendera-bendera Malaysia yang dikibarkan. Hairan. Nak jadi negeri ke-15, kah? 

        Aku terjumpa satu bahagian menjual tudung. Aku pun membeli satu tudung untuk emak. Harap-harap sesuailah. Kami pun keluar dari mall itu dan mencari kedai makan yang lain. Akhirnya, kami menjumpai satu street food di bahagian bandar. Tidak jauh dari Masjid Besar Patani. Kami pun makan di situ. Mee tomyam saja. Usai makan, kami pulang dan beradu.

            Hari rabu. Hari kelima. Pada pagi tu hujan lebat. Kami pun duduk di dalam bilik saja. Tiba-tiba, seorang lelaki memberi salam. Rupanya dia pekerja ustaz. Dia menghantar makanan untuk kami. Masya-Allah. Baik sungguh hati budi ustaz ni. Aku menghantar mesej melalui Facebook Messenger kepada ustaz untuk melawat sekolahnya. Katanya dia sibuk sehingga pukul 11. Kami pun berjalan-jalan di sekitar Patani antaranya menjelajah PSU. 

Pemandangan biasa orang naik motosikal bertiga
              

        Memandangkan hujan tak berhenti lagi, kami tak boleh turun dari kereta. Jam menunjukkan hampir pukul 11. Kami terus bertolak ke sekolah ustaz. Setibanya di sekolah, ustaz belum selesai mesyuarat. Dia meminta seorang ustazah untuk menjadi tour guide membawa kami mengelilingi sekolah. Aku sangkakan sekolah itu kecil rupanya agak besar. Tak hairanlah sekolah itu boleh menampung 1000+ pelajar dari usia setahun jagung sehingga 18 tahun.

            Selepas menjelajah sekolah ustaz, kami bertolak ke Kampung Pangkalan Kubur untuk menghadiri kenduri kahwin sebelah lelaki. Sekali lagi firasatku meleset. Kendurinya sangatlah sederhana. Tiada khemah. Hanya makan di dalam rumah. Masakan pun dimasak sendiri. Tetamu hanya perlu duduk. Makanan akan dihidangkan kepada mereka. Kedua-dua mempelai hanya memakai baju melayu dan baju kurung. Pengantin perempuan hanya memakai make-up sedikit. Ada juga majlis perkahwinan sebegini rupanya. Kami makan sekali dengan ustaz, isterinya, Pok Din dan Cik Na. Ketika makan, kami berbual-bual. Rupanya Pok Din bukan saja sasterawan, dia juga pelakon dalam cerita Pok Ya Cong Codei. Sebab itulah aku berasa tertarik untuk mengenali susuk tubuh yang penuh rahsia ini lebih mendalam. Pok Din akan mengelak daripada kecek Klate dengan kami. Dia lebih suka menggunakan dialek KL ketika berbual-bual dengan kami. Dia memberitahu kami bahawa dia ingin membawa kami untuk pergi ke Patani Art Space untuk berjumpa dengan sahabatnya. Dia ingin mendedahkan kepada kami tentang perjuangan orang Melayu Patani.

            Ustaz memberitahu kami bahawa petang itu akan ada rombongan dari Malaysia ingin menziarahi sekolahnya. Dia mengajak kami untuk turut serta. Boleh makan malam sekali, katanya. Disebabkan itu ustaz minta diri untuk pulang awal. Dia perlu bersiap sedia untuk menerima kunjungan dari Malaysia itu. Tetamu-tetamu pun ramai yang dah pulang. Tinggallah beberapa orang saja lagi. Aku terdengar Kak Nina bercakap tentang dron dengan emak Mamu. Aku membuka telinga. Dari gaya penceritaannya ada berita positif. Aku mendekati Mamu yang sedang bersembang dengan Arman, adik Abang Amar. Dia menceritakan tentang dron itu. Setelah makan di Green Market, mereka pulang ke rumah di Kampung Pangkalan Kubur. Dengan menggunakan aplikasi dalam telefonnya, Abang Amar mendapati lokasi dron itu masih di tepi pantai. Maka, dia dan Arman tanpa berfikir panjang terus pergi ke Naratiwat.

Di tepi pantai itu, mereka mencari-cari beg dron tersebut. Tiba-tiba, ada seorang lelaki menegur,

“Cari gapo tu?”

Mereka menjawab, “Cari dron.”

Lelaki itu menjawab bahawa dron tu ada dengannya. Dia ialah penjual roti canai berdekatan dengan tempat kami melepak semalam. Ada orang menjumpai dron itu dan memberikannya kepada penjual roti canai itu. Jika ada orang mencari beg itu kembali, bolehlah dia ambil daripada penjual roti canai itu. Masya Allah. Ada dua insan yang berjiwa malaikat ni. Satu, orang yang menjumpai dron itu. Satu lagi, penjual roti canai itu. Boleh saja dorang jual dron itu. Bukan kecil habuannya. Ribuan ringgit. Semoga Allah membalas kembali kebaikan mereka dengan balasan berlipat kali ganda. Amin.

Setelah waktu petang, kami pun pulang ke rumah dan menuju sekolah. Kami menanti kehadiran rombongan itu di pejabat sekolah. Lebih kurang setengah jam menunggu, mereka pun sampai. Masing-masing memakai jubah, baju melayu, berserban atau berkopiah. Aku dan Mamu hanya memakai baju t-shirt saja. Macam langit dan bumi. Majlis dimulakan dengan bacaan al-Quran dan nasyid daripada penghuni sekolah itu. Seterusnya ucapan daripada pihak sekolah dan daripada pihak rombongan. Acara yang paling dinanti-nantikan iaitu makan malam dilangsungkan selepas itu.

Bersama Pok Din. Satu jari tu maksudnya satu hati.

            Usai makan, kami solat berjemaah maghrib-isyak. Pok Din mengajak kami untuk pergi ke Art Space pula pukul 8.00 malam. Dia memberi masa kepada kami untuk bersiap dulu. Kami mandi dan menunggu Pok Din. Teringat gelagat Pok Din mengusik pelajar-pelajar perempuan di sekolah tu tadi. Persis Petapa Gatal dalam cerita Dragonball. Dia ‘menggatal’ sebab ada maksud tersirat. Nak tahu kenapa? Teruskan membaca.

            “Lambat dah ni. Jom gi,” kata Pok Din. Eleh, dia yang lambat. Kami tunggu dari tadi lagi. Sebelum bertolak, Pok Din memberitahuku, “Saya dah ambik gambar ustazah-ustazah tu. Nanti awak pilih mana yang awak nak.” Dia bergurau rasanya. Kalau betul-betul pun, aku tetap anggap bergurau. Ambo dok panda kecek. Dokleh cari ore sini. Kami pun pergi ke Art Space. Dalam benak fikiranku, tempat ni mesti ramai orang. Tepi sungai. Tempatnya tak jauh pun dari tempat penginapan kami. Tapi, apabila makin hampir dengan lokasi tersebut, firasatku meleset. Rupanya tempatnya agak tersorok. Tempat orang membuat art exhibition. Ada sebuah kafe yang disediakan. Kami pun duduk di kafe itu. Pok Din meminta kami membuat pesanan. Aku pun memesan air Green Tea lagi. Buat kali terakhir. Apabila pesanan kami sampai, kami berasa teruja kerana setiap minuman yang kami pesan dihiasi dengan corak bunga.

            Tak lama selepas itu, datanglah Pok Lah, kawan Pok Din untuk bersama dengan kami. Pok Lah ialah seorang pensyarah di PSU. Dia mempunyai master dalam seni. Pok Din berbual dengan Pok Lah. “Tadi gi makan pulut.” Aku sengaja mencelah, “Mana ada pulut, Pok Din. Ado tapa jo.” Pok Din menjawab, “Dorang dua ni bendul.” Auch. Makan dalam nak. “Tahu tak makan pulut tu apa? Maksud makan pulut tu penyatuan. Kalau nasi, dia berderai. Pulut, dia melekat.” Aku dah kata dah Pok Din ni falsafah tinggi.

Pok Lah kelihatan sibuk. Kejap-kejap dia akan meminta diri. Dia sedang sibuk dengan urusannya kerana tak lama lagi dia akan mengadakan exhibition. Aku bertanya kepada Pok Din, “Tak mengganggu diorang ka?” Pok Din menjawab, “Takkan dia nak buat kerja kalau Din Nuawi kat sini.” Siapa Din Nuawi ni sampaikan orang luar sangat menghargai kehadirannya?

Pok Din membuka cerita tentang perjuangan yang ditampilkan oleh Pok Lah untuk anak bangsanya. Caranya unik iaitu melalui karya seni. Belum pernah lagi aku mendengar gerakan perjuangan melalui karya seni ni. Selalunya melalui penulisan. Tetapi kali ni melalui lukisan. Pok Lah menceritakan tentang perjuangannya kepada kami. Dia memberi kami satu buku bertajuk ‘The Patani Art of Struggle’. Ia mengumpulkan hasil karya Pok Lah. Buku inilah yang menjadi sasaran atau wanted oleh tentera Siam. Tapi lukisan-lukisannya memang sukar untuk difahami. Aku pun meluahkan isi hatiku itu. Kata Pok Din, lukisan ni bukan untuk difahami tapi untuk dihayati. Aku pun mengubah sudut pandangku berkenaan lukisan itu. Aku tidak lagi mencari faham tapi menghayati lukisan dan karya-karyanya yang lain. Setelah itu, barulah aku tahu apa maksud yang Pok Lah ingin sampaikan. Gambar perempuan bertudung dan berpurdah sedangkan taklah ramai yang berpurdah di Patani ni. Di mata perempuan itu terdapat lukisan kereta kebal. Korang fikirlah sendiri apa maksudnya. Kalau tak faham, korang kena hayati. Lama-lama baru korang faham. Pok Lah juga memdedahkan kerajaan tak memandang pun masyarakat Melayu Patani ini. Sumbangan pun tidak banyak yang diberikan. Patutlah masyarakat Melayu di sini bangkit mahukan kemerdekaan. Kata Pok Din, tiga perkataan yang diharamkan di Patani : Merdeka, jihad dan fisabilillah.





Ingat lagi persoalan pertamaku, kenapa aku menggunakan satu ‘T’ saja untuk Patani bukannya ‘Pattani’? Inilah soalan yang aku kemukakan kepada Pok Lah kerana dia menamakan tempat exhibition miliknya itu Patani Art Space. Bukannya Pattani Art Space. Dia menjawab, ejaan yang betul satu ‘T’ ja bukan dua. Maksud Patani itu dari bahasa Arab, Fatoniah yang bermaksud bijaksana. Mungkin orang Siam yang meletakkan nama Patani dengan dua ‘T’. Tak ramai yang berani bersuara kerana takut diapa-apa. Tapi keberanian Pok Lah mengagumkan aku. Walaupun dia telah disoal-siasat oleh askar beberapa kali, hatinya tak goyah untuk memperjuangkan anak bangsanya. Pok Din memberitahuku yang Pok Lah satu-satunya orang yang memperjuangkan hak bangsanya dengan karya seni. Jika di Sepanyol ada Picasso. Jika lukisan Mona Lisa, ramai yang melukisnya. Tetapi lukisan mempamerkan tentang perjuangan masyarakat Melayu Patani, hanya dia seorang di dalam dunia ini.

Sebelum pulang, Pok Din menyuruhku untuk membeli buku Pok Lah itu. Harganya 170 bath. Jika ditukarkan ke ringgit, cecah RM 200 lebih. Disebabkan menghormati Pok Din dan menunjukkan solidariti kepada perjuangan Pok Lah, aku pun beli satu naskah. Selepas itu, aku meminta Pok Lah untuk meletakkan autograf dan kata-kata semangat untukku. Rupanya dia tak reti menulis rumi. Pok Din menyuruhnya melukis untukku. Maka dia pun melukis gambar perempuan bertudung sebelah sisi. Pok Din juga memberikan aku dan Mamu karya masterpiecenya iaitu buku kumpulan puisi bertajuk Adiwira Negara secara percuma. Di dalam buku itu dia menurunkan autograf dan menulis ‘Tabik Mujahid Haziq’. Sejak bila nama aku ada Mujahid? Hahaha. Maksud Mujahid ialah pejuang. Hanya satu patah perkataan itu pun ada maksud mendalam yang ingin Pok Din sampaikan kepadaku. Seterusnya, kami pun bergambar sebagai kenang-kenangan. Sebelum pulang, kami bersalaman dan berpelukan. Sempat aku meninggalkan pesanan kepada Pok Lah, “Teruskan perjuangan.” Ringkas tapi berbekas.


 

Keesokan harinya, aku berbual-bual dengan Pok Din lagi. Dia bermalam dengan kami pada malam itu. Dia mendedahkan tentang orang Melayu Patani lagi. Dia membuka rahsia kenapa dia ‘menggatal’ dengan pelajar-pelajar perempuan itu. Dia ingin mengubah pelajar-pelajar tu supaya berani bersosial. Bukan diam tak kena tempat. Patutlah Pok Lah banyak melukis gambar perempuan bertudung dan berpurdah dalam bukunya itu. Banyak lagi yang dikongsikan oleh Pok Din kepadaku dan Mamu pada pagi itu. Aku rasa bersyukur kerana Allah mentakdirkan jaulahku ke Patani ini penuh dengan ibrah. Bukannya jalan-jalan kosong saja.

Tak lama selepas itu, ustaz mengajak kami untuk makan sarapan. Kami pun bersiap. Semua barang kami masukkan ke dalam kereta kerana kami tidak lagi pulang ke rumah penginapan itu. Ustaz membawa kami makan di medan selera PSU. Aku membuka dompet. Kosong. Aku memang pokai ketika itu. Aku memberitahu ustazah yang aku tiada duit dah. Dia cakap ambil saja sebab dia yang nak belanja semua. Barakallah fikum. Semoga Allah membalas kembali kebaikan ustaz dan ustazah. Aku bertanya kepada ustaz harga satu pinggan yang berisi nasi dan dua lauk. Ustaz memberitahu kami yang satu pinggan hanya 15 bath bersamaan seringgit lima kupang. Murah betul. Kesimpulannya di Patani ini, makanan murah-murah tapi minyak mahal.

Usai makan, ustaz mengajak kami ke rumahnya untuk bertemu dengan ibunya. Hanya perempuan saja yang dibenarkan berjumpa dengannya. Sampai saja di rumah ibu ustaz, yang muslimat masuk ke dalam rumah. Yang lelaki, ustaz mengajak kami untuk menaiki motosikal yang boleh dinaiki ramai orang dalam satu masa. Kami pun tak melepaskan peluang. Apabila sampai di satu tempat, ustaz mempelawa kami untuk bawa pula. Pada mulanya aku menolak kerana takut jadi apa-apa. Tetapi, rezeki jangan ditolak, maut jangan dicari. Aku pun menerima pelawaan itu. Ustaz turun daripada motosikal dan duduk di bahagian pembonceng. Terpacak motosikal itu jadinya. Aku tertawa. Ustaz pun duduk di bahagian tempat duduk bersama Mamu dan ayahnya. 

Tak jauh dari situ, kami pun sampai di hadapan sekolah. Aku pun memakir motosikal itu di perkarangan sekolah. Muslimat-muslimat pun habis sesi menziarahi ibu ustaz. Maka, kami pun sudah di akhir-akhir masa untuk meninggalkan Patani. Kami bergambar dengan ustaz sebagai kenang-kenangan.

Pok Din berada di rumah penginapan kami. Kami pun pergi ke rumah itu dan bersalam dengannya. Pesanan Pok Din, “Nanti datang khidmat di sini.” Aku tak pasti bagaimana untuk berkhidmat di Patani ni. Lama juga aku memikir apa yang patut aku lakukan. Akhirnya, aku menulis perjalananku ke Patani yang sedang korang baca ini dengan harapan ia menjadi khidmatku kepada sekolah ustaz dan umumnya kepada Patani.

Maaf andai ada tersalah ataupun tersilap sepanjang penulisan ini. Yang baik datangnya daripada Allah dan yang buruk disandarkan kepada diriku ini. Semoga berjumpa lagi di lain kesempatan. 

Sekian.

*Persoalan: Adakah baik Patani diberikan kepada kerajaan Malaysia atau diberi kemerdekaan menjadi negara sendiri? Sila tulis pandangan anda di ruangan komen.



 

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

"HAA ? AKU DAPAT SAINS KOGNITIF !"

Alhamdulillah , wa syukurillah . Masih diberi umur untuk hidup di muka bumi Allah ni . Aku nak cerita tentang SK (sains kognitif @ cognitif science) sepanjang sem 1 ni . Sorry guys . Cerita tentang asasi dulu tak dapat nak sambung . Susah la nak remind balik . But this time , insya Allah . If Allah will .Boleh kot .. Moreover aku pun tengah mereput . cuti sem 1 dah . sebulan weyh cuti ! Decaying jugak la ... Let's begin ..Bismillahhirrahmanirrahim ... erh jap-jap . Nak cerita dulu camna aku dapat kos ni . Cerita dia camni . Masa asasi unimas , aku dah memang pasrah sebab cita-cita dari kecil dah terkubur ...Nak jadi doktor . Tapi pointer tak berapa comei . It's okay . Kita merancang , Allah juga merancang ,Perancangan Allah yang TERBAIK ! SERIOUS ! Kami diberi pilihan nak kos ape untuk sambung degree nanti . Budak asasi tak boleh sambung U lain kecuali dia pergi U swasta , atau pergi oversea ,atau pergi IPG atau pergi SPA . Nak masuk U lain boleh . Kena ada orang da...

Kamek Miak Penang Rah Sarawak ! [ Travelog Budak 'Malaya' di Bumi Kenyalang' ]

fuhhhh , fuhhh,,,,banyak nya habuk ! bismillahhirrahmanirahim , alhamdulillah , Allah beri peluang untuk aku lagi meng'update' blog ini selepas 2-3 bulan . Nasib baik tak bersawang lagi blog ni . okay , asasi dah habis bro ! so , apa kata aku share pengalaman aku kat sarawak selama dua igek semester ni . Pengalaman mendidik kita untuk jadi lebih dewasa . Apa salahnya kalau aku share dengan hampa semuakan ? Bukannya semua pernah pergi sarawak pon . So , yang mana tak pernah pergi . Hampa baca entry aku kali ni bolehlah bayang sikit camna sarawak tu . Orang semenanjung ni dah streotype dengan sarawak dengan keadaan yang serba mundur . Orang tinggai dalam hutan , orang masih pakai cawat , orang tinggai kat rumah panjang , orang pi mana-mana bawak sumpit , haishhh , banyak lagi lah ,... TAPI SEMUA TU BOHONG BELAKA ! tak menarik la kalau aku tak cerita dari awai-awai camna aku boleh tercampak pi Sarawak dan berlajaq kat UNIMAS kan . hmmmm,,, okay cerita dia camni...

Travel to Turkiye

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Malaysia Madani. Maaflah berhabuk sikit blog aku ni. Kali terakhir rasanya tulis blog kalau tak silap dua tahun lepas. Sekarang ni dah masuk tahun 2025. Itu pun pasal berjalan ke Patani. Aku ikut Mamu masa adik kepada kakak ipar dia yang merupakan orang Patani kahwin. Banyaklah ibrah yang aku dapat daripada perjalanan ke Patani hari tu. Kalau kau orang nak baca, boleh tengok di post sebelum-sebelum ni.  Untuk post kali ni, aku nak berkongsi tentang ‘Travel To Turkiye’ selama lebih kurang 10 hari. Sebenarnya, tak sampai 10 hari pun. Hari kesembilan tu kami pergi ke Oman. 10 hari ni termasuk perjalanan dari KLIA dan sampailah ke KLIA balik. Plan nak ke Turki ini bukannya dalam masa sebulan dua tau. Kami plan sejak mak belum pencen lagi. Rasanya bulan 5 lagi kami dah bagi nama untuk pergi ke Turki. Travel kali ini aku ikut kawan mak, Mak Cik Fatiah. Mak Cik Fatiah dulu satu sekolah dengan mak. Lepas tu, dia berpinda...