Langkau ke kandungan utama

Travel to Turkiye

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Malaysia Madani. Maaflah berhabuk sikit blog aku ni. Kali terakhir rasanya tulis blog kalau tak silap dua tahun lepas. Sekarang ni dah masuk tahun 2025. Itu pun pasal berjalan ke Patani. Aku ikut Mamu masa adik kepada kakak ipar dia yang merupakan orang Patani kahwin. Banyaklah ibrah yang aku dapat daripada perjalanan ke Patani hari tu. Kalau kau orang nak baca, boleh tengok di post sebelum-sebelum ni. 


Untuk post kali ni, aku nak berkongsi tentang ‘Travel To Turkiye’ selama lebih kurang 10 hari. Sebenarnya, tak sampai 10 hari pun. Hari kesembilan tu kami pergi ke Oman. 10 hari ni termasuk perjalanan dari KLIA dan sampailah ke KLIA balik. Plan nak ke Turki ini bukannya dalam masa sebulan dua tau. Kami plan sejak mak belum pencen lagi. Rasanya bulan 5 lagi kami dah bagi nama untuk pergi ke Turki. Travel kali ini aku ikut kawan mak, Mak Cik Fatiah. Mak Cik Fatiah dulu satu sekolah dengan mak. Lepas tu, dia berpindah dan sekarang tinggal di Bentong tapi mak dengan Cikgu Fatiah masih lagi keep in touch.

Banyaklah perkara yang berlaku sepanjang tahun 2024. Perang antara Palestin dengan Israel tidak habis-habis lagi bahkan merebak ke Lubnan. Beberapa bulan sebelum nak ke Turkiye, perang saudara di Syria pula makin meruncing tetapi alhamdulillah Mujahidin dah menakluk Syria. Yang mengejutkan kami sebulan sebelum kami ke Turki, Turkish Airline cancel  semua booking. Just imagine. Tiba-tiba ja kena cancel. Masa tu Mak dah cuak. Dia fikir dah nak perang dah tu. Biasalah. Overthinking. Pihak travel agent pun ambil inisiatif lain dengan book Oman Airline. Sebab itulah kami terpaksa transit di Oman sebelum ke Turki. 

Aku tengah tunggu untuk proposal defense pada hujung bulan satu ni insya Allah. Takut juga sebenarnya. Takut tak dapat jawab soalan-soalan maut daripada examiner. Tapi SV aku yakin yang kajian aku ni baik dan dia jamin paling teruk pun aku akan kena major correction. Tak kena gagal. Disebabkan tak ada aral melintang, bolehlah temankan mak ke Turki ni. Bulan 11 sebelum hantar proposal, aku dah bagi tahu SV yang aku nak berjalan ke Turki. Dia cakap, “Pergilah dulu. Nanti balik dari Turki baru prepare. Tapi masa saya di Turki dulu, saya rasa tak sabar nak balik Malaysia sebab tak boleh dengan makanan kat sana.” Eh, macam manalah dengan makanan Turki ni ya? 

Seminggu sebelum berangkat ke Turki, aku join Penang Bridge International Marathon. Julung-julung kalinya diadakan di Jambatan Kedua. Tahun lepas aku join half marathon ja. Tahun ni saja nak menempah maut, aku join full marathon. Bayangkanlah berlari (baca: joging) 42 KM. Pusing Jambatan Kedua. Pergi dan patah balik. Sudahlah tak cukup latihan. Kaki pula baru lepas sembuh dari injured. Hasilnya, kaki aku barai. Kaki kiri tak boleh nak tak boleh nak berjalan normal pun. Kena seret. Aku terfikir, macam mana nak pergi Turki ni dengan kaki sakit?

Disebabkan kaki kanan terpaksa tahan kaki kiri, tiba-tiba kaki kanan pun sakit. Disebabkan kedua-dua belah kaki sakit, nak berjalan pun susah, terpaksalah pergi mengurut di satu pusat foot reflexology berdekatan dengan kawasan rumah. Nak cerita sikit pasal di foot  flexology ni. Masuk-masuk ja di kedai tu ada seorang amoi yang jaga di kaunter. Dia pun tunjuk servis yang ada. Harga untuk full body massage dan lain-lain. Aku tengok dekat situ yang paling murah foot massage sahaja. Harga lebih kurang RM 50 ringgit untuk satu jam. Aku pun tanya, “Ada tukang urut lelaki tak?” Seganlah kalau perempuan yang urut. Yang peliknya, amoi tu macam terkejut, “Ha? Tukang urut lelaki?” Aku pun tanya sekali lagi, “Ada tak?” Dia pun jawab, “Ada.” Dia pun panggillah seorang tukang urut lelaki.

Aku ingatkan dia orang Siam. Selalunya orang Siam lah yang pandai mengurut, kan. Aku pun speaking London. Aku pun cakaplah kaki aku ni ada blister (melecet). Dua-dua belah kaki melecet. Cuma kaki kiri yang teruk. Nampak macam tak faham tapi dia angguk-angguk ja. Tiba-tiba, dia cakap, “Main bola?” Aku cakaplah kaki injured sebab maraton. Aku pun tanya, dia ni orang mana. Rupanya, dia orang Sabah ja. Sia-sialah aku speaking London tadi. Masa tengah urut, datanglah seorang tukang urut perempuan. Cun pula tu. Masa tu, macam ada perasaan menyesal pula. Kalau aku minta tukang urut perempuan, silap-silap dia ni yang urut aku. Gurau-gurau. Aku kan menjaga ikhtilat. Huhu. Masalahnya, dia ni kurang experience. Macam mana aku tahu? Lepas urut tu, aku tanya agak-agak bila kaki ni akan recover? Dia jawab yang dia tak tahu sebab tak pernah injured kaki Menariknya, kaki kanan aku pula jadi lebih sakit daripada kaki kiri. Nak menapak pun sakit. Bak kata pepatah, bagai tikus membaiki labu.

Dengan kaki sakit, aku terpaksa drive balik ke kampung selepas dua hari maraton. Hari Selasa. Di kampung aku ada kolam air panas. Aku pun rendamlah kaki di kolam air panas tu dengan harapan kaki aku sihat. Alhamdulillah kuranglah sikit rasa sakit tapi tak sembuh sepenuhnya lagi. Aku pun mintalah pak cik aku carikan tukang urut yang mahir. Dia pun panggillah seorang pak cik ni. Yang menariknya, dia bukannya urut tapi buang ‘bisa’ sakit tu dengan guna pen. Selama aku mengurut, itulah kali pertama aku mengurut guna pen. Lepas tu, barulah kaki ni elok. Ha, itulah cerita sebelum pergi ke Turki, sebelum Day-1.

Hari pertama | Selasa 24 Disember | Transit di Muscat, Oman

Okay, day one. Hari pertama. Kami ke Turki. Hari itu hari selesa. Kami gerak dari rumah. Sebelum solat zohor lagi. Sebab nak buat jamak. Haikal yang hantar. Kami berkumpul di KLIA dan dapat berjumpa dengan semua peserta. Satu per tiga daripada peserta-peserta itu orang Kelantan. Yang lain dari negeri-negeri lain. Ada dari johor. Ada dari Pahang. Kami dari Penang. Mengaku Penang lagi sebab baru pindah ja ke Selangor. Yang menariknya pada hari pertama tu, pihak travel agent datang lambat.

Pukul 6 baru kami masuk. Dah habis check-in barang semua baru dia sampai. Mak Cik Fatiah, ketua rombongan kami suruhlah dia cakap sikit. Dia minta maaf dan terus menangis. Mak Cik Fatiah ni mak dah bagi tahu yang dia garang di sekolah dulu. Betullah apa yang mak cakap tu. Mak Cik Fatiah cakap, “Tak payah nangis. Ada juga aku bawa  pergi ke Turki karang.” Barulah travel agent tu cool down. Dia bagi something kat Mak Cik Fatiah. Kami pun pergilah masuk ke dalam boarding gate. Yang sedihnya, tak dapat duduk sebelah mak. Mak duduk sebelah Kak Yuyu. Aku duduk dengan Remy. 

Pukul 8.50, kami fly dari Malaysia dan pergi ke Oman. Sampai di Oman pukul 12.30 malam. Takkan 4 jam ja sedangkan ETA tunjuk 6 jam? Sebenarnya, jam di Malaysia awal 5 jam dari Oman. Sebab itulah jadi cam tu. Di airport,  kami tunggulah seorang dari pihak travel agent. Lepas dia datang, dia pun bawalah kami pergi ke hotel. Sampai ke hotel, kami pun tidur. Hotel tu cantik, bilik besar dan bilik air bersih. Memang selesa.

Hari kedua | Rabu 25 Disember | Instanbul Here We Come

Kami sarapan di hotel. Lepas sarapan, kami jalan-jalan di luar hotel. Tak lama pun. Suhu di Oman agak sejuk. Lebih kurang macam Cameron Highland. Taklah sejuk sangat dan taklah panas sangat. Lebih kurang 20 degree celcius. Tak berkabus. Pukul 9, kami bertolak ke airport.  Kami punya flight pada pukul 1.30. 3 jam sebelum terbang kami dah ada di airport. 

Yang menariknya zohor masuk pukul 12.16 tengah hari. Boarding gate tu buka pukul 12.30 Masa tu jadilah kelam-kabut. Kami kena solat cepat-cepat untuk masuk boarding gate sebabnya pintu akan tutup dalam masa setengah jam. Pukul 1. Alhamdulillah sempat solat jamak. Tapi ada pak cik-pak cik yang solat agak slow. Tapi kami sempatlah masuk sebelum boarding gate sebelum tutup. Kami pun terbanglah dari Muscat ke Istanbul. Sampai di Istanbul lebih kurang pukul 7. 

Di Istanbul, kami pun makan di satu kedai makan bernama Botudo. Kami makan roti benggali cecah dengan kuah. Rasa kuah tu cam dal. Itulah makanan apatizer sini. Pergilah ke mana-mana pun mesti dijamu dengan kuah ni dengan roti. Lepas habis makan tu, barulah dorang jamu kami dengan nasi macam pulut dan ayam kebab yang hambar. Tapi itulah yang menu kami sepanjang di Turki. Patutlah SV aku cakap tak sabar nak balik Malaysia sebab makanan sini tak best. Tak kena dengan selera kita. Lepas makan, kami pun pergi ke hotel. Aku dah rasa pening kepala sejak sampai tadi lagi. Mungkin sebab lambat makan. Lepas solat, aku pun tidur.

Kredit: rembat gambar Bella

Hari ketiga | Hari Khamis 26 Disember | Selat Bosporus & Bursa

Sekarang musim sejuk. Waktu malam lebih lama dari waktu pagi. Pukul 5 lebih dah masuk waktu Maghrib dan waktu Subuh pukul 6.50 pagi. Pada pukul 9 lebih baru cerah. Tapi orang sini tak ikut waktu cerah atau tak. Dorang kerja ikut waktu biasa. Pukul 7 semua orang dah keluar. Walaupun kami tidur awal, kami tetap terjaga awal sebab badan masih lagi ikut biological clock Malaysia. 5 jam antara Turki dengan Malaysia. Lepas subuh, kami pun sarapan. Pukul 7. Yang menariknya, lift hotel ni kelakar sikit.  Kalau di Malaysia tulis LG (lower ground) tapi di hotel sini tulis -1.  Restoran hotel menyediakan pelbagai jenis makanan—cheese, roti, salad, dan jem. Nasi pun ada, tapi teksturnya macam nasi dagang; melekit macam pulut. Lebih kurang macam semalam. Tekak Melayu aku ni agak sukar nak terima tapi terpaksalah makan. Itu ja yang ada. Pergilah mana-mana hotel pun rasanya benda yang sama saja yang disediakan. Yang wajib ada – roti, jem dan salad. 

Lepas sarapan, kami bertolak ke Selat Bosporus, yang memisahkan benua Eropah dan Asia.  Selat Bosporus ni memainkan peranan penting dalam kisah kejayaan Sultan Muhammad Al-Fatih ketika menakluk Kota Konstantinopel pada tahun 1453. Kami naik feri dan berlayar di sepanjang selat tu lebih kurang setengah jam. Memang sejuk sangat masa tu. Baris, tour guide kami pun cakap boleh turun ke bawah kalau rasa sejuk. Aku orang pertama yang turun ke bawah sebab tak tahan. Di bawah, lagi cantik nak tangkap gambar sebab lebih dekat dengan laut. Masa tengah tangkap gambar dengan mak guna tripod, ada seorang kak ni namanya Mek Ilah offer untuk tangkapkan gambar kami. Dialah jadi photographer tak berbayar dari awal sampai habis kami di Turki. Terima kasih banyak deh. 

  

Selepas Bosporus, kami bergerak ke Bursa, sebuah bandar yang terkenal sebagai ibu kota pertama Empayar Uthmaniyah. Perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam setengah. Sampai Bursa, kami singgah di sebuah kedai manisan terkenal, Munirah, untuk beli Turkish Delight, manisan Turki. Harga agak mahal, tapi rasanya memang berbaloi. Untuk barang-barang lain macam za’faran dan minyak wang itu tak payahlah beli. Harga yahudi mabuk. Mahal sangat-sangat. Pekerja-pekerja situ pandai cakap Melayu bahkan pekerja dia salah seorangnya orang Indonesia. Kami nak mengumpat pun tak boleh. Aku tanyalah, “Belajar Melayu kat mana?” Dia jawab, “Dia belajar dari pelancong Malaysia, Indonesia dan Singapore.” Dia tak ambil kelas apa-apa pun.

Di Turki ni kena tengok betul-betul dengan price tag barang tu. Ada sekali tu mak nak beli cleanser sebab cleanser dia kena rampas di KLIA. Tanda harga tulis 110 lira. Tiba-tiba, dia cakap 120 lira. Suka hati nak tukar tanda harga. Patah balik ke cerita di Munirah. Aku beli Turkish Delight dan fridge magnet. Yang melayan aku masa tu orang Palestin. Aku tanyalah dia dalam BI yang di mana dia tinggal? Dia jawab, Haifa. Dia merupakan pelajar dan bukan menetap di Turki. Ada pelajar yang buat part-time di kedai Munirah tu. 

Seterusnya, kami bertolak ke Masjid Ulucami (Grand Mosque) di Bursa, salah satu masjid paling bersejarah di Turkiye. Masjid tu ada 20 kubah, hasil nazar Sultan Bayezid I yang berjanji akan bina 20 masjid jika menang dalam perang. Tetapi, atas cadangan seorang ulama, baginda menggabungkan nazar itu menjadi satu masjid besar dengan 20 kubah. Masjid tu memang cantik. Banyak khat sekeliling masjid tu. Masa kami sampai, dorang baru lepas habis solat zuhur. Habis solat, dorang tengah baca wirid macam maulid. Di penghujung wirid tu, dorang berselawat. Aku ambil wuduk di luar kawasan masjid. Sejuknya sampai ke tulang terasa. Aku masuk dan solat jamak. Lepas tu, aku berjalan di dalam masjid. Rupanya, ada tempat wuduk di tengah-tengah masjid tu. 

Lepas solat, kami bergerak ke Kusadasi untuk bermalam. Teringat satu kisah lucu di dalam bas sebelum kami bergerak. Mak Cik Fatiah tanya, “Cuba tengok kawan kat sebelah ada tak?” Terus Mak Cik Zah menyampuk, “Bukan tengok kawan kat sebelah ada tak tapi tengok kawan yang selalu lambat ada tak.”

Hari keempat | Jumaat 27 Disember | Fashion show, solat jumaat & ladang limau

Macam semalam, lepas sarapan kami terus check-out. Hari keempat bermula dengan lawatan ke sebuah fashion show baju kulit, salah satu industri terkenal di Turkiye. Selepas model-model memperagakan jaket-jaket dengan gaya tersendiri, dorang pun pilih secara rawak peserta untuk naik ke pentas. Dalam aku cuba menyorok, tiba-tiba seorang model perempuan panggil aku naik ke pentas untuk mencuba jaket kulit. Aku tolak dengan baik. Dia dah hulur tangan masa tu. ‘Orang Turkiye guna mazhab Hanafi. Boleh sentuh bukan mahram. Boleh kot aku tukar mazhab kejap,’ suara hati berbisik nakal. Baris yang ada sebelah aku pun suruh naik. Aku pun naiklah. Sporting sikit. 

Di backstage, model tu bagi aku satu jaket kulit hitam. Seorang demi seorang peserta dapat satu jaket dan keluar ke pentas. Entah kenapa aku yang terakhir sekali. Tiba-tiba, si model tanya, “Do you know how to dance?” Aku jawab, “What dance?” Manalah tahu dia nak suruh aku berzapin. Tahulah sikit-sikit. Lepas tu, terus dia buat gaya terkinja-kinja macam kat pub. Oh, setakat macam ni, budak tadika pun boleh. Giliran aku ke pentas. Lampu ditutup. Gelap. Lepas aku keluar, terus lampu terpasang. Aku nampak Mak Cik Fatiah bersorak bukan main. Aku dah rasa teramat malu. Sudahlah si model ni ada sebelah aku. Si model ni pun tunjuklah gaya-gaya menari. Aku pun ikut sajalah. Asalkan tak bersentuh. Nasib baik model tu cun. Huhu. Dalam seminit. Lepas tu, kami pun pulangkan semula jaket dan duduk di kerusi penonton. Selepas fashion show, kami dibawa ke bahagian baju-baju. Semuanya harga Yahudi. Paling murah pun 150$. Kalau ringgit, bolehlah tahan lagi. Seperti pesanan Mak Cik Fatiah, siapa yang tak nak beli tu pelan-pelan keluar dari situ. Ada yang tersalah masuk pintu lalu termasuk pintu tandas. Kami tak boleh keluar ikut pintu masuk. Pelik. 





Ada satu lagi tempat yang kami diberi pilihan untuk pergi iaitu Ephesus. Tapi, tak ada siapa yang nak pergi ke Ephesus sebab berbayar mahal. Ephesus ini tempat runtuhan kuil-kuil orang zaman Yunani dan Rom. Kemudian, kami pergi ke satu kedai yang jual macam di kedai  Munirah semalam. Jual minyak zaitun, za’faran, perhiasan peti sejuk. Lebih kurang dengan kedai Munirah tapi lagi kecil. Habis kami pergi ke kedai tu, Baris ‘hadiahkan’ kami setiap seorang satu Evil Eye. Dia cakap, “It will protect you.” Sebelum keluar bas untuk solat Jumaat, aku buang ‘hadiah’ tu. Teruskan membaca untuk tahu benda apa Evil Eye tu.


Kami berhenti di tepi jalan dan pergi solat Jumaat. Solat Jumaat sini lain maciem. Yalah, dorang mazhab Hanafi. Kita mazhab Syafie. Sebelum masuk masjid, kami ambil wuduk. Masya-Allah, sejuknya. Lepas tu, kami masuk ke masjid. Buka stokinglah. Takkan pakai stoking. Mesti ada stoking yang busuk tu sebab dah beberapa hari pakai kasut. Tapi kebetulan aku dah tukar stoking baru hari tu. Di masjid, semua duduk diam. Semua macam tengah bertafakur. Tak buat apa-apa, Tak pegang phone. Ada satu speaker tengah baca wirid dari radio. Aku pun duduk kat sebelah dengan pemandu bas. Baru ja duduk, pemandu bas tu pandang aku dan tunjuk kaki. Kenapa dengan kaki aku? Dia tak pandai cakap BI. Aku kena faham-faham sendiri. Rupanya, kami kena pakai stoking. Memang semua orang pakai stoking kat situ. Aku pun keluar balik dan pakailah stoking. Tiada masalah. Stoking baru. Ada seorang peserta beritahu yang stoking dia busuk ni macam mana. Aku tak mampu nak tolong apa-apa. Dia pun terpaksalah masuk ke masjid dengan stoking tu. Aku masuk ke masjid balik. Masa nak habis baca wirid tu, tiba-tiba dorang berselawat mengikut radio tu. Selawat yang sama macam di Masjid Bursa semalam. 

Kemudian, semua tadah tangan berdoa ikut radio tu. Sebenarnya, dah lama masuk waktu tu zohor. Nak dekat pukul satu. ‘Bila nak khutbah dan solat Jumaat ni?’ Aku tertanya. Lepas tu semua orang aminkan doa dan barulah bilal azan. Lepas azan, semua orang buat qobliah empat rakaat. Jarang aku tengok orang buat qobliah empat rakaat di Malaysia. Memang ada hadis pasal kelebihan qobliah empat rakaat ni. Tapi tak terfikir pula ramai-ramai buat empat rakaat. Usai solat sunat empat rokaat qobliah, khatib masuk dan naik ke mimbar. Sama macam Malaysia, bilal baca Innallaha wa malaikatahu yusholluna alan nabi...(Surah al-Ahzab: 56). Lepas itu khatib bagi salam dan bilal pun azan untuk kali kedua. Lepas azan, barulah khutbah. Ayat-ayat al-Quran dan hadis yang familiar ja yang aku faham. Yang lain tu acah-acah faham ja lah. Aku tengok sekeliling. Ada satu persamaan yang cukup dekat dengan Malaysia. Ramai yang tertidur termasuklah sebahagian daripada kami. Habis khutbah kedua, kami solat Jumaat. Habis saja solat Jumaat, ramai yang bangun dan buat solat sunat empat rakaat lagi. Aku pun bangun sebab buat jamak. Lepas habis solat sunat tu barulah baca wirid dan doa. Masa tengah baca doa, aku perasan tinggal aku saja peserta yang ada. Aku pun keluarlah. Masalahnya, semua orang kat situ macam pelik tengok aku. ‘Mesti dorang cakap apa hal dia ni keluar masa orang tengah baca doa?’ telahanku. 

Seterusnya, kami balik ke bas dan pergi ke ladang limau. Ladang limau ni kami boleh petik buah-buah tu sendiri. 10 biji jugalah yang aku dan mak petik. Sebenarnya, nak ambil gambar ja lebih. Tapi dapatlah rasa macam di Jeju Island. Kalau pergi kat Jeju Island, Korea tu boleh petik buah sendiri.

Seterusnya, kami pergi Ke Pamukkale. Pamukkale ni salah satu daerah di Turki dan ambil masa berjam-jam sebelum sampai. Sepanjang perjalanan, aku pun makanlah buah limau tu untuk lapik perut dan bosan tak tahu nak buat apa sebab tak buat data roaming. Tidur dan terjaga banyak kali pun tak sampai-sampai. Selepas beberapa jam, kami pun sampai di  Pamukkale. Lepas check-in, kami pun makan malam. Ada pula show malam tu. Nampaklah budaya Turki macam mana. Tak berapa islamik sebenarnya. Lebih kurang macam Malaysia atau mungkin lagi teruk.

Hari kelima | Sabtu 28 Disember | Hot air balloon, Hierapolis dan muntah pelangi

Sejak bangun dari tidur lagi perut dah rasa lain. Rasa loya semacam. Pagi tu masa sarapan, nasi pula macam mentah. Makan roti ja. Lepas sarapan, aku pun muntah. Tapi dah rasa okay. ‘Angin dah keluar kot,’ telahanku. Selalunya macam tu lah. Lepas muntah baru okay.  Kami sepatutnya terus naik hot air balloon lepas sarapan tapi kena sidai disebabkan cuaca tak elok. Alhamdulillah pukul 9 barulah kami boleh nak naik hot air balloon. Dalam masa beberapa minit, kami dah ada di awangan. Boleh tengok pandangan dari atas. Menariklah. Harga setiap seorang naik ke atas tu pun menarik. Nak tahu berapa? Harganya $250 seorang. Convert lah sendiri ke ringgit. Lebih kurang sejam ja kat atas tu. Walaupun mahal, terpaksalah tutup sebelah mata dan bayar. Mana ada tempat lain lagi yang ada hot air balloon ni.


  

Turun-turun saja dari hot air balloon tu, perut dah rasa mengulas lagi sekali. Rasa nak muntah. Lepas turun, dorang bagi pula sparkling water. Sparkling water tu macam air FnN perisa strawberry. Selepas minum air tu memang rasa sakit perut balik. 

Sampai ja di hotel, aku muntah lagi. Muntah kali kedua. Lepas tu memang rasa lembiklah. Masalahnya, ada lagi satu tempat yang aku kena pergi – Herapolis. Yang ni dia optional. Siapa yang larat ja pergi sebab banyak berjalan. Herapolis ni satu bandar lama. Kalau tengok cerita tentang Rom, banyaklah tempat yang ada macam teater, tempat mandi awam dan lain-lain. Cantiklah tempat ni. Ada tempat air panas kat tepi lereng bukit. Kami celup-celup kaki kat situ. Bayangkan hebatnya ciptaan Allah. Di atas bukit, di tempat sejuk boleh ada air panas semula jadi.

 

Di Hierapolis ni aku rasa sakit perut tu dah okay. Tak sakit dah. Pukul 12.50, Baris cakap, “We only have 10 minutes more.” Kami bolehlah jalan-jalan di tempat mandi awam masa tu. Masalahnya, aku nak pergi ke Herapolis sebab nak pergi ke teater. Teater ni tempat dia macam cerita-cerita pasal Rom tu. Tempat dorang fight. Baris tak beritahu pun kami pasal tempat tu. Aku pun tanya. Dia cakap bukan kat sini tapi macam pelik ja. Tak silap sinilah tempatnya. Cik Ina, cikgu kat Sekolah Sains Selangor dulu, pun tunjuk gambar Baris pun cakap teater tu ada dan kena mendaki. Dalam banyak-banyak bangunan itu yang paling menarik sebab bangunan lain semuanya runtuhan-runtuhan tapi teater tu masih lagi tersengam indah. Kami ada masa 10 minit ja.  Boleh tak naik dan turun dalam masa 10 minit? Kak Long, anak Mak Cik Fatiah minta tambah lagi 10 minit. Kiranya kami ada lebih kurang 20 minit. Kami pun rushing dan hiking naik ke atas bukit untuk pergi ke teater.

 

Kepenatan kami terubat lepas tengok teater dengan kedua biji mata kami. Apa lagi, teruslah kami bergambar. Hampir 20 minit, kami pun turun ke bawah. Kami keluar dari situ dan masuk ke bas. Tiba-tiba, perut masuk angin tahap kritikal dan aku tahanlah daripada termuntah. Kami pergi ke tempat beli-belah. Peserta-peserta termasuk mak yang tak ikut ke Hierapolis tu habiskan masa kat situ. Dorang pun naik. Mak beli lagi Turkish Delight versi bajet dan dua kebab versi Turki. Satu kebab tu untuk aku. Aku cuba makan tapi tak lalu. Makin loya jadinya. Aku pun terus tahan daripada termuntah. Kami pun nak pergi ke satu restoran untuk lunch. Bas dah berhenti. Aku cepat-cepat bangun tapi pintu tak terbuka lagi. Lambat pula pintu buka. Aku duduk balik dan termuntah akhirnya. Angin dalam perut tolak semua isi perut yang ada. Masa tu memang malu sebab sekeliling aku perempuan. Depan aku ada Mak Cik Zah dan Mak Cik Na. Tepi aku ada Mek Ilah dan maknya. Belakang aku Aunty Syam. Lagi malu daripada menari semalam. Mungkin inilah kafarah dosa semalam, firasat aku. Habis baju sejuk dan seluar aku kena muntah. Baju mak pun kena tapi taklah teruk sangat.

Ketika yang lain semua pergi lunch, aku kelam-kabut tukar baju. Aku minta driver tolong buka bahagian bagasi. Aku ambil bagasi besar dan tukar baju termasuk ambil baju sejuk untuk salji nanti. Lepas tukar baju, aku pun makan roti sikit. Selepas lunch, kami solat kami di satu RnR.  Disebabkan kami kena rushing untuk pergi ke Kapadokya (Cappadocia), kami pun solat di satu kontena yang dijadikan surau. Laki perempuan solat di situ tanpa ada pembahagi. Mula-mula, aku tengok lelaki saf depan dan perempuan saf belakang. Aku pun solat di saf depan. Masa nak bagi salam ke kiri, aku perasan ada seorang muslimat di sebelah aku. Itulah kali pertama dalam hidup aku solat sebelah perempuan. Buat umrah pun tak jadi macam tu. Kami terpaksa kejar masa sebab takut tak sempat solat jamak juga. Bak kata Mak Cik Zah, “Nanti terpaksa buat jamak empat waktu pula.” 

Usai solat, kami perlu menempuhi perjalanan 10 jam untuk sampai ke Kapadokya. Perut aku ni kejap okay, kejap tidak walaupun dah muntah. Ramailah yang sudi bagikan ubat masa tu. Mak Cik Maznah. Kak Yuyu. Mak Cik Zah. Aunty Syam. Aku dah beli macam-macam ubat tapi yang peliknya ubat sakit perut aku terlepas pandang. Lepas makan ubat, barulah perut okay. Sikit. Tapi tak tahan lama. Sakit perut tu datang balik. Walaupun 10 jam perjalanan, banyak kali juga bas berhenti. Setiap kali berhenti itulah aku muntah. Total aku muntah untuk hari kelima adalah lima kali. Cantik nombor tu. Sakit tu kafarah dosa. Itulah siapa suruh terkinja-kinja sangat dengan model tu semalam. Sudahlah hari Jumaat. Nah, Allah bagi cash. Alhamdulillah, Allah uji tanda sayang. Kami sampai di Kapadokya lebih kurang pukul 1 tengah malam. Lepas solat, aku tak boleh tidur lagi. Terpaksa basuh pakaian yang terkena muntah tu. Hmmm.

Hari keenam | Ahad 29 Disember | Kapadokya

Aku sarapan bagi alas perut saja pagi tu. Tak banyak dan taklah sikit. Perut baru nak elok. Pagi ni ada satu aktiviti yang aku dan mak tak join – Jeep Safari. Bolehlah aku relaks dulu di bilik kejap. Penat 10 jam perjalanan semalam pun tak habis lagi. Dalam pukul 9, barulah peserta-peserta yang join aktiviti tu balik. Dorang ada share gambar-gambar dalam grup WhatsApp kami. Pergh! Lawa beb. Belon pun lagi banyak dari di Pamukale. Pemandangannya bak kata Kak Long, gunung berbatu. Kalau di Pamukale, nampak hijau ja. Rasa menyesal pula tak ikut. Tapi ada hikmahnya. Boleh rehat. Kami akan bermalam di Kapadokya selama dua malam. Taklah rushing sangat.

   

Pagi tu, kami melawat beberapa lokasi menarik seperti Three Beauties—formasi batu yang dikaitkan dengan legenda keluarga bahagia.


Kami juga singgah di Pigeon Valley, sebuah lembah penuh dengan rumah burung merpati yang dipahat dalam batu-batu besar. Orang dulu-dulu gunakan merpati untuk menghantar mesej dan baja untuk tanaman. 

Kami singgah pula di Onyx Jewellery. Nama pun jewellery, mestilah jual barang kemas. Ada cincin, gelang dan rantai. Tapi bukan emas. Batu apa entah. Tak ingat. Batu tu boleh tukar-tukar warna. Harga pun mampu tengok ja. Seketul Haziq yang tak minat barang kemas ni sekadar habiskan masa terluang sajalah. Pakai cincin pun sebab sunnah ja.

Macam biasa siapa yang tak nak beli tu bolehlah beransur pelan-pelan. Aku antara yang terawal yang keluar. View kat luar cantik. Ada Uchisar Castle. Tempat-tempat di Kapadokya ni memang cantik-cantik. Sementara masih ramai yang tak keluar, aku pun ambillah gambar banyak-banyak kat sini.

Mak dengan Mek Ilah. Mak cakap dia alumni DQ. Next level punya muslimat ni.
Bukan kaleng-kaleng.

Apalah guna berdua kalau keseorangan lebih indah. Eh tiber.

Seterusnya, kami solat di satu masjid. Mulanya ingatkan solat di luar saja tapi rupanya pintu masjid tak berkunci. Walaupun banyak masjid di Turki, tapi hanya berfungsi bila masuk waktu saja. Habis solat, masjid-masjid akan dikunci kecuali masjid-masjid yang jadi tarikan pelancong. Bolehlah kami solat di masjid tu. Di luar masjid ada orang jual kacang-kacang, aprikot dan buah-buah tempatan. Seorang peniaga tu bagilah aprikot pada seorang pak cik ni. Pak cik tu tolak. Peniaga tu cakap cuba rasa. Pak cik tu tolak lagi. Peniaga tu macam nak paksa pak cik tu rasa juga. At last, pak cik tu tunjuk gigi dia tak ada. Tergelak aku masa tu. Bersyukurlah aku ada gigi.

Usai solat, kami pergi ke Underground City. Rumah bawah tanah yang digunakan untuk berlindung kalau ada serangan musuh. Kejap ja kami di sini. Seterusnya, kami pergi ke kedai karpet. Turki memang terkenal sebagai negara pengeluar karpet dan sejadah. Di kedai tu, penjual tu pandai buat lawak semasa menerangkan tentang karpet-karpetnya. Siap cakap bahasa Melayu lagi. Dia cakap, “My Malay is better than your Turkish.” Bahasa Melayu ni Bangla duduk tiga bulan pun dah reti cakap Melayu. Senang nak cakap. Beza dengan Bahasa Turki yang berbelit-belit nak sebut. Harga setiap karpet tu mahal-mahal. Paling murah pun 150$. Sebesar sejadah kecil untuk sujud saja. Macam biasa. Aku keluar lepas habis penerangan.

Seterusnya, kami pergi ke kedai seramik. Di kedai ni sama macam di kedai karpet. Dorang jamu kami air teh O. 

*Teh O dengan cawan besar ni 20 lira
 
This semol cup costs 20 lira = RM 2

Memang itulah minuman favourite orang Turki. Katanya dapat berikan tenaga. Ada satu lagi persamaan antara dua kedai ni. Dua-dua mahal. Ada satu kejadian lucu di kedai seramik ni. Tauke kedai panggil seorang daripada kami untuk cuba buat tembikar sendiri guna tanah liat. Ada seorang sis yang volunteer. Masa dia buat tu tak jadi pun. Aku tergelak bila ada seorang pak cik cakap, “Buat gapo tu?”

Kemudian, kami pun pulang ke hotel. Pada malam itu, kami free and easy. Kami pun pergilah berjalan-jalan ke kawasan jual-beli. Belilah souvenir. Ada satu kedai souvenir tu siap letak ayat testimoni dalam Bahasa Melayu yang promote kedai dia.  Harga murahlah. Owner friendly. Memang kedai tu jual barang murah-murah pun berbanding dengan kedai lain. Owner pun betul friendly. Cuma tak pandai cakap English sangat. Kalau korang pergi ke Kapodokya, carilah kedai ni. Hint: ada tertulis bahasa Melayu di depan pintu masuk. Seterusnya, aku, mak, Mak Cik Lina dan Pak Cik Zainal pergi ke kedai baju di seberang jalan. Peliknya kedai tu hanya letak dua tiga helai baju di luar kedai. Yang lain dia letak dalam plastik. Dia cakap kalau summer baru dia gantung banyak-banyak baju. Usai membeli baju, kami pun balik ke bilik. Dalam perjalanan balik tu, kami beli coklat Dubai di satu kedai runcit. Sampai saja di bilik, kami pun tidurlah. 

Hari ketujuh | Isnin 30 Disember | Main salji 

Selepas sarapan, kami terus gerak ke Erciyes Ski Center. Nak main salji hari ni. Selepas beberapa jam perjalanan, kami sampai. Kebetulan pula tengah salji turun agak lebat. Cuaca pun sejuk betul walaupun dah pakai tiga lapis baju – thermal, t-shirt dan baju sejuk macam patung Michelin. Baju thermal dan baju sejuk tu aku beli dari Shopee ja. Jimat duit dan berbaloi. Kami cepat-cepat masuk ke center tu sebab tak tahan sejuk. Ada yang lelah. Ada yang menggigil. Dalam setengah jam, barulah salji tak turun sangat dan cuaca elok sikit. Bolehlah kami main-main salji dan tangkap-tangkap gambar. Ada yang sewa kereta ski. Bolehlah main juga. Aku cuba buat snowman tapi jadi Gunung Everest. Hmmm. Hakikatnya, kami tengah menunggu cable car tu buka. Nak naik ke atas. Tapi malang. Cuaca tak elok. Pukul 11 baru buka. Kami tak cukup masa sebab pukul 11.15 dah kena gerak. Ramai yang dah bosan dan turun ke bawah. Aku pula masih kat atas dan tangkap gambar seorang-seorang. Barulah dapat tangkap gambar background tak ada orang masa tu. 

Tiba-tiba, ada seorang jurugambar menghampiri aku dan mengaku dia jurugambar profesional. Dia tanya nak ambil gambar tak? Aku jawab tak sebab memang tak ada duit pun. Dia offer satu gambar lima $. Mana ada duit. Aku cakap, “I don’t have money.” Dia offer lagi satu gambar satu $. Aku jawab dengan jawapan sama. Dia pun tanya, “How much do you have?” Aku jawab, “I only have lira.” Dia tukar offer. Satu gambar, 200 lira. Aku termakan umpan dia kali ni. Cukup duit aku tu. Untuk kenangan yang mungkin sekali seumur hidup, bolehlah bayar 200 lira. Takkan aku bergambar seorang. Aku pun panggil mak. Mak tengah minum nescafe masa tu. 

Mak pun naik ke atas. Aku pun beritahu mak tentang bergambar ni. Mak pun setuju. Kami berdua tangkap dengan mengikut arahan jurugambar ni. Macam-macam pose dia suruh. Melompat. Meniarap. Usai bergambar, dia bawa aku ke satu kedai. Dia suruh aku pilih mana yang lawa. Dalam 60 gambar tu, aku pun pilih beberapa gambar dan daripada shortlisted tu kena pilih satu saja. Satu gambar untuk 200 lira. Tiba-tiba, dia tukar offer. Semua gambar untuk 1500 lira. Mahal sangat tu. Aku cakap tak nak. Dia kurangkan. Semua gambar (60 keping) untuk 1000 lira. Although I’m good in Mathematics, but his offer made me felt stupid. 

1 gambar = 200 lira

60 gambar = 1000 lira




Pejam mata sebelah dan ambillah offer tu. Seterusnya, kami pergi ke Istanbul dan bermalam di sana. Seperti biasa, perjalanan memakan masa kira-kira 10 jam dari Kapodokia ke Istanbul. Dalam perjalanan ke Instanbul, banyak kali juga polis sempadan buat spotcheck. Tengok pasport seorang-seorang. Nasib baik tiada apa-apa yang terjadi. Sampai saja di Instanbul pada tengah malam. Kami pun terus solat dan tidur. 

Hari kelapan | Selasa 31 Disember | Turkiye...See you again

Kami ni hari terakhir di Turki. Kami pergi ke Masjid Hagia Sophia, yang pernah menjadi gereja, kemudian masjid, dan kini separuh masjid dan separuh muzium. Walaupun kami tak masuk ke dalam, kawasan luarnya dah cukup indah untuk dinikmati. 

 
Kucing-kucing Turki gemuk tahap tak relax
 

Sepatutnya, kami pergi ke Topkapi Palace courtyard tapi sedihnya Topkapi Palace tutup pada hari selasa. Tak boleh masuk. Kemudian, kami ke Masjid Biru (Sultan Ahmed Mosque). Masjid ini sangat terkenal dengan seni bina yang menakjubkan dan jubin biru di dalamnya. Tapi waktu tu sangat ramai orang, jadi kami hanya sempat solat tahiyatul masjid ringkas. Remy dengan aku mulanya tapi masa solat tu aku terpisah dengan dia. Nasib baiklah Thaqif yang pegang dia ni. Kalau tak, dah jadi orang Turki dah. Kami ambil gambar sekejap saja di masjid tu.

Kami rushing nak ke Indonesia Bazar pula. Alah, satu dua kedai yang bergabung ja pun. Ingatkan satu besar mana. Pekerja-pekerjanya pandai cakap Melayu dan ada orang-orang Indonesia yang kerja di situ. Bak kata ustaz aku, “Orang Indonesia ada di mana-mana.” Di kedai ni, kami beli barang-barang souvenir untuk bawa ke Malaysia. Kalau tak silap boleh bayar guna ringgit. Tapi kami nak habiskan duit lira yang ada ni.

Kemudian, kami pergi ke Grand Bazaar. Jaraknya agak jauh. Aku track guna jam lebih dari 10 000 langkah kami hari tu. Yang tak larat berjalan, dorang naik teksi ke sana. Setelah penat berjalan, sampai juga kami di Grand Bazaar. Ada 40 ribu kedai dalam tu. Bayangkan betapa besarnya Grand Bazaar tu. Kami setakat pergi ke ground floor, ke hujung dan patah balik. 

 

Tak jauh dari Grand Bazaar ada Mahmut Bazaar. Kata orang situ lagi murah barang-barangnya. Kami tak pergi ke Mahmut Bazaar sebab tak cukup masa dan tak ada duit. Salah satu tarikan di Turki yang aku tak tengok lagi – show ais krim. Dalam dompet ada 400 lira ja lagi. Sementara ada masa, aku dan Remy carilah kedai yang jual aiskrim main-main tu. Tanyalah kat orang-orang Turki kat situ. Dorang cakap, “Near the trem.” Trem tu macam LRT lah lebih kurang. Cuma atas tanah. Jauh aku berjalan dengan Remy akhirnya jumpa satu kedai ais krim. Rupanya nak tengok orang tu buat persembahan kena bayar 200 Lira. Disebabkan duit ada 400 Lira lagi, kena tutup mata sebelah lagi dan bayar sajalah 200 Lira. Menariklah show tu macam selalu tengok kat sosmed. Tapi persembahan tu seminit ja. Patutlah tak ramai orang yang nak beli ais krim. Mahal rupanya tapi pengalaman tu priceless. Nasib baiklah aku tak buat prank dengan tak bayar ais krim tu. 

Aku tersalah jalan untuk ke Grand Bazaar sebab nampak ada satu masjid tak jauh dari situ. Meeting point kami kat gate 1, berdepan satu masjid. Nasib baik Remy betulkan. Dia cakap lalu balik jalan tadi. Kami dah tersalah jalan ni. Kalau tak, aku dan Remy dah jadi orang Turki sekarang ni. Kami pun sampai di meeting point. Pukul 1.15, semua orang berkumpul dan berjalan ke jalan besar sebab bas tak dapat masuk.  Kami berjalan punyalah jauh sampai ke sebelah Selat Bosborus. Tak lama kemudian bas sampai dan kami pergi ke kedai makan yang hari pertama sampai di Turki. Kedai Botudo tu. 

Makanan yang lebih kurang sama ja macam hari tu. Sup macam dalcha cicah dengan roti benggali. Lepas habis, dorang tukar dengan nasi dan ayam kebab sama macam hari tu. Habis makan, kami pergi ke airport dan bertolak ke Oman. Kami kena pergi ke Oman juga sebab tempat transit. Kami pun tidur di hotel yang sama macam hari tu. Di Oman ni selesa sikit. Eh banyak. Paling selesa part tandas tu. Ada hos. Kalau di Turki, tak ada hos. Tandas duduknya terus tembak tepat pada sasaran. Faham-faham sendiri benda apa tu. Kalau tandas cangkung, dorang letak jug kecil gantikan gayung. Awal-awal tu rasa pelik juga, tapi dah lama tu rasa biasa.

Hari kesembilan | Rabu 1 Januari | Oman Tour

Selepas sarapan, kami melawat ke Grand Mosque, Oman, sebuah masjid besar dengan seni bina moden yang mengagumkan. Kami berjalan di sekeliling dan di dalam masjid. Besar betul masjid ni. Cuma nak tahu juga besar-besar masjid ni berapa orang yang datang jemaah?  

Perhiasan dalaman masjid pun next level. Lampu saja dorang guna batu yang digunakan untuk buat cincin. Kemudian, kami ke kedai perfume. Minyak-minyak wangi kat situ tak wangi. Serious. Dorang cakap kalau pakai sekali akan wangi in your lifetime. Piraaah! Sekali mandi terus hilang bau tu. Tengah hari tu kami makan di satu restoran. Setiap cubicle ada empat orang. Aku makan dengan mak, Kak Long dan Mak Cik Fatiah. Kami pesan dua ayam dan dua daging. Sekali kami dapat nasi punyalah banyak. Ayam dan daging pun besar. Kami pun decide untuk makan dua ja. Lagi dua tapau. Aku kongsi dengan mak. Kak Long kongsi dengan Mak Cik Fatiah. 



Usai makan kami ke Mutrah Souq, pasar tradisional Oman yang terkenal. Harga di sini agak mahal sebab Rial Oman tinggi nilainya. Satu riyal bersamaan tiga dollar. Tiga dollar bersamaan 15 ringgit. Mahal betul. Tapi kami sempat beli beberapa cenderamata untuk kenangan. Sebenarnya nak habiskan duit dollar yang berbaki terutamanya duit cable car yang tak jadi.

Kemudian, kami solat jamak di satu masjid. Selepas solat, kami pergi ke Al Alam Palace. Tempat istiadat raja-raja. Ambil gambar kejap ja. Kemudian, kami pergi ke satu kedai untuk minum air teh. Rasa teh dia macam teh herba. Dah mai rasa rindu Penang. Tak lama lepas tu kami pun balik ke airport. 

Pergi Opera House kejap


 

Di airport, masing-masing cari idea untuk kekal wuduk sebab kami kena subuh dalam flight. Ada yang cakap tak nak tidurlah. Ada yang bawa botol kosong dan isi dalam flight. Ada yang nak solat tak berwuduk sebab solat hormat waktu saja. Perjalanan ke Malaysia mengambil masa 6 jam. Aku dah terjaga banyak kali pun tak sampai-sampai. Tengok jam pukul 5 lebih. Tiba-tiba, keluar announcement dah masuk waktu subuh di paparan tempat duduk. Masa tu kami pun solat. Ramai yang ke tandas untuk ambil wuduk termasuk aku. Tak lama kemudian kami pun touchdown di KLIA. Hari kesepuluh. Khamis. Keluar saja dari flight, kami kena naik bas ke terminal utama. Lepas semua dah ambil bagasi masing-masing, maka semua buatlah haluan masing-masing. Tak sempat nak bersalam-salaman dengan semua. Mana yang sempat ja. Tak tahulah lagi bila boleh berjumpa. Mungkin itulah kali terakhir. Tapi kenangan bersama tetap akan kekal sampai bila-bila. Cewah! 

Aku dan mak ambil KLIA Express dan pergi ke KL Sentral. RM 55 seorang. 30 minit ja dah sampai. Dari KL Sentral, kami ambil grab  ke kampung. RM 58. Baru saja kereta bergerak, aku dah tak sedar diri. Penat camnamati. Selepas sejam, kami pun sampai kampung. Tamatlah perjalanan kami.

Pengajaran Dari Perjalanan

1. Budaya dan Tradisi: Di Turkiye, aku perasan masyarakatnya sangat menghargai sejarah mereka. Tetapi, terdapat kepercayaan karut seperti penggunaan ‘evil eye’ yang masih diamalkan oleh sesetengah pihak hatta askar Turki pun. Pergilah mana-mana pun mesti ada ‘evil eye’ ni. Ayat al-Quran yang dibuat khat pun pasal ‘evil eye’. Kalau di Malaysia, pergi mana-mana kedai selalunya ada ayat seribu dinar. ‘Evil eye’ tu bukannya mata warna hitam putih tapi warna biru putih. Aku pun tanyalah kawan sekelas aku yang kahwin dengan orang Turki. Dia pun mengulas panjang tentang ‘evil eye’ ni. 

Surah Al-Qalam 51-52


2. Ketaksuban dengan Atatürk: Walaupun ramai yang menyokong pemimpin Erdogan, masih ada kelompok yang lebih cenderung kepada ideologi sekular Mustafa Kemal Atatürk terutamanya di kawasan bandar. Di mana-mana saja orang letak muka Atatürk ni. Bahkan kami pun didoktrin oleh Baris tentang ‘kehebatan’ Atatürk sedangkan banyak kebobrokan yang dia buat terutamanya dalam mensekularkan Turki. Ramai ulama termasuk Syeikh Ramadan al-Bouti terpaksa melarikan diri ke Syria disebabkan Atatürk ni. Nak tahu apa yang Atatürk buat? Carilah sendiri. Membaca amalan mulia.



3. Perancangan dan Kos: Percutian ini memerlukan perancangan yang rapi, terutamanya untuk bajet. Kos keseluruhan sekitar RM6,000 tapi kalau termasuk aktiviti seperti menaiki hot air balloon, jeep safari dan melawat tempat-tempat menarik atau beli barang-barang cenderamata, maka boleh cecah RM7,000 lebih.

Penutup

Alhamdulillah, Perjalanan ke Turkiye ni bukan sekadar melancong, tapi banyak pengajaran yang aku dapat. Sejauh mana kita mengembara, pasti ada hikmah yang boleh kita pelajari seperti kata pepatah, “Jauh perjalanan, luas pemandangan.” Banyak ayat al-Quran yang menggalakkan kita untuk "mengembara di muka bumi" bagi memahami keindahan ciptaan-Nya dan mengambil ibrah daripada sejarah. 

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menginspirasikan anda untuk meneroka dunia. Terima kasih kerana membaca hingga ke akhir. Jika ada tersilap kata atau kekurangan, aku mohon maaf deh. Sekian, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Nota kaki: Alhamdulillah dapat juga siap menulis keseluruhan cerita selepas seminggu dalam keadaan masih tak sihat - batuk dan selesema. Bolehlah move on dan kembali fokus dengan study. Doakan dalam lepas proposal defense nanti ya. 

Ulasan

  1. ❣️Terima kasih such a amazing travellog😇 looking forward for more story 😊

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

"HAA ? AKU DAPAT SAINS KOGNITIF !"

Alhamdulillah , wa syukurillah . Masih diberi umur untuk hidup di muka bumi Allah ni . Aku nak cerita tentang SK (sains kognitif @ cognitif science) sepanjang sem 1 ni . Sorry guys . Cerita tentang asasi dulu tak dapat nak sambung . Susah la nak remind balik . But this time , insya Allah . If Allah will .Boleh kot .. Moreover aku pun tengah mereput . cuti sem 1 dah . sebulan weyh cuti ! Decaying jugak la ... Let's begin ..Bismillahhirrahmanirrahim ... erh jap-jap . Nak cerita dulu camna aku dapat kos ni . Cerita dia camni . Masa asasi unimas , aku dah memang pasrah sebab cita-cita dari kecil dah terkubur ...Nak jadi doktor . Tapi pointer tak berapa comei . It's okay . Kita merancang , Allah juga merancang ,Perancangan Allah yang TERBAIK ! SERIOUS ! Kami diberi pilihan nak kos ape untuk sambung degree nanti . Budak asasi tak boleh sambung U lain kecuali dia pergi U swasta , atau pergi oversea ,atau pergi IPG atau pergi SPA . Nak masuk U lain boleh . Kena ada orang da...

Kamek Miak Penang Rah Sarawak ! [ Travelog Budak 'Malaya' di Bumi Kenyalang' ]

fuhhhh , fuhhh,,,,banyak nya habuk ! bismillahhirrahmanirahim , alhamdulillah , Allah beri peluang untuk aku lagi meng'update' blog ini selepas 2-3 bulan . Nasib baik tak bersawang lagi blog ni . okay , asasi dah habis bro ! so , apa kata aku share pengalaman aku kat sarawak selama dua igek semester ni . Pengalaman mendidik kita untuk jadi lebih dewasa . Apa salahnya kalau aku share dengan hampa semuakan ? Bukannya semua pernah pergi sarawak pon . So , yang mana tak pernah pergi . Hampa baca entry aku kali ni bolehlah bayang sikit camna sarawak tu . Orang semenanjung ni dah streotype dengan sarawak dengan keadaan yang serba mundur . Orang tinggai dalam hutan , orang masih pakai cawat , orang tinggai kat rumah panjang , orang pi mana-mana bawak sumpit , haishhh , banyak lagi lah ,... TAPI SEMUA TU BOHONG BELAKA ! tak menarik la kalau aku tak cerita dari awai-awai camna aku boleh tercampak pi Sarawak dan berlajaq kat UNIMAS kan . hmmmm,,, okay cerita dia camni...