Langkau ke kandungan utama

PhD 2.0: Road To Pre-Viva

 PhD 2.0: Road to Pre-Viva

Bismillahhirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia-Nya, aku dapat menulis blog lagi. Semua entri yang aku tulis selama ini tidaklah bermaksud untuk berbangga diri atau show off tetapi hanyasanya untuk muhasabah diri dan memberi pengajaran kepada pembaca. Tak tahulah siapa yang sudi baca blog aku selama ini. Harapan aku satu saja, semoga perkongsian ini bermanfaat untuk kalian. Bukankah ilmu yang bermanfaat itu terus mengalir pahalanya walaupun dia telah tiada? Teringat kata-kata Ustaz Pahrol, “Selagi dalam al-Quran ada perkataan ‘qalam’, selagi itu penulisan akan relevan untuk semua.” Aku rasa tak semua orang Allah bagi kebolehan untuk menulis. Maka, aku gunakanlah kelebihan yang Allah pinjamkan ini untuk kebaikan bersama.

            Kepada yang telah membaca PhD 1.0: Pinang Hafsah Dulu, entri ini adalah kesinambungannya. Sekarang ni, aku telah buat pembetulan tesis sebelum hantar untuk viva. The final stage of PhD. Doakanlah akan ada PhD 3.0 pula di mana aku berjaya memakai topi burger. Allahumma Amin. Sebenarnya, aku tak tahu dapat lepas atau tak PhD ni. Bukan apa, banyak betul dugaan dan cabaran yang mendatang. Sejujurnya, aku selalu rasa down dan nak give up. Tapi, aku tiada pilihan lain selain siapkan juga tesis ni walau apa pun yang terjadi. There’s no second choice. The only choice is to complete my study and get a stable job.

            Aku mulakan entri ini dengan pasca kenduri. Mulalah masing-masing nak kenal hati budi. Knows their true colour. Pesan Kak Aina, kenalan Baitul Ilmi masa kenduri kami, “Dalam berkahwin ni kena pandai adjust.” Sanggup Kak Aina datang jauh-jauh dari Johor ke majlis kami. Terharu betul. Pesanan dia ringkas tapi padat. Taaruf ni bukan sekadar sebelum kahwin, tetapi sampai mati. Pasangan kita selalu akan berubah. Hari ni lain, esok pula jadi. Sebagai suami, kitalah kena banyak belajar. Bijak mengawal emosi. Jangan ego tinggi. Pandai berkomunikasi. Barulah menjadi suami yang qawwam. Cukuplah untuk mukadimah. Aku nak kongsikan perjalanan PhD 2.0: Road to Pre-Viva.

Pasca PhD 1.0

            Selepas majlis bersanding, aku pun balik ke Selangor. Memang kami dah plan untuk PJJ dulu sebelum aku habis belajar. Zaujah tinggal di Penang tetapi setiap dua minggu, aku baliklah tengok dia. Dah berkahwin ni perasaan rindu tu lain macam. Tak sama macam zaman bujang. Selepas siap buat pembetulan proposal defense bulan Januari tahun lepas, aku pun hantar permohonan untuk collect data ke KPM. Selang beberapa minggu, dah dapat kebenaran daripada KPM. Tetapi, syaratnya perlu dapatkan kebenaran JPN pula dan tak boleh buat aktiviti pemerhatian di dalam kelas. Aku pun hantar permohonan ke JPN. Tak lama lepas tu, dapat kebenaran daripada JPN pula. Tetapi dengan syarat perlu dapatkan kebenaran pengetua dulu. Kemudian, aku pun hubungi sekolah-sekolah berdekatan dengan rumah sebab kajian aku ni jenis kualitatif. Bukan ambil data secara one-off. Kena ada follow-up.

            Walaupun dah dapat kebenaran daripada KPM dan JPN, nak dapat kebenaran daripada pengetua-pengetua sekolah bukanlah mudah. Daripada keseluruhan sekolah di daerah lokasi kajian, hanya tiga sekolah yang sudi menerima permohonan aku. Ada yang telefon berkali-kali tak jawab. Tak balas langsung emel. Ada yang ‘sidai’ berminggu-minggu. Sejujurnya, memang struggle. Disclaimer: aku bukan penyabar tetapi aku dah lalui benda ni masa buat master dulu. Kali ni aku tak mudah melatah. Aku cari idea sampai lubang cacing cara untuk dapatkan responden. Nasib baiklah mak dan mak cik aku tolong carikan sekali. Keseluruhan guru yang aku dapat ialah lapan orang. Kajian kualitatif tak perlu banyak responden pun. Yang penting ketepuan data.

            Tak cukup dengan itu, tak semua responden memberikan kerjasama yang baik. Geramlah juga. Guru saja tapi hmmm. Sesama orang Melayu pula tu. Walau macam mana pun, aku tetap kena hargai jasa dan masa mereka. Tapi secara majoriti, cikgu-cikgu tersebut bagi kerjasamalah. Ada yang aku masih berhubung untuk kajian ni. Dah habis temu bual responden, aku kena transkrip pula rakaman audio tu. Kena tulis balik kesemuanya yang responden cakap. Tak kira menjawab soalan interview atau tak.

Terpaksalah pakai website AI yang berbayar. Beratus ringgit juga aku habis hanya untuk bayar transkrip ni. Kalau guna website yang percuma, terhad kepada beberapa minit ja dan transkrip mengarut. Bukan setakat rakaman temu bual, aku kena tengok RPH guru dan kerja murid untuk triangulasi data. Tambahan lagi, kesemua data yang aku dapat kena masukkan dalam apps NVIVO. Menambah lagi keperitan, data tu aku kena tulis satu demi satu dalam dapatan kajian bab 4. Secara ringkasnya, sangatlah renyah buat kajian jenis kualitatif ni. Tetapi aku rasa lebih enjoy berbanding kajian kuantitatif masa master dulu. Mungkin disebabkan minat aku dalam menulis berbanding tengok nombor yang menyerabutkan otak.

Hari terakhir collect data

Zaujah Sakit Tiba-Tiba

            Betul-betul selepas aku siap mengumpul data responden kelapan, zaujah aku sakit kepala kritikal sampaikan muntah tak berhenti. Memang dia kerap sakit kepala dan tak boleh tidur sebelum tu tetapi malam tu tiba-tiba dia sakit tenat selepas makan maggi pedas gila dan minum jus oren buat sendiri. Hari tu baru saja kami khatam al-Quran sama-sama. Walaupun kami berjauhan, tetapi kami tetap buat amal ibadah sama-sama secara atas talian. Tadarus al-Quran sama-sama. Mengulang hafazan. Baca taklim setiap malam sebelum tidur. Nak solat sama-sama sajalah yang tak boleh. Teringat satu kata-kata hikmah, ‘Jika kayu disatukan dengan paku, jika batu disatukan dengan simen, hati disatukan dengan Allah.’ Semakin dekat hubungan kita dengan Allah, semakin dekatlah hubungan kita dengan pasangan. Tetapi, jangan ingat dalam kita menjaga hubungan yang halal dan diredai ini akan hidup tanpa cubaan. Bahkan, lebih lagi berat berbanding orang lain. Bukankah Nabi Muhammad orang yang paling berat cubaannya? Kerana Baginda kekasih Allah.


Keesokan harinya, mak mertua aku bawa zaujah ke klinik kesihatan dan dia dirujuk ke hospital. Lepas dapat jaga tahu zaujah masuk hospital, aku minta izin mak untuk balik ke Penang. Mak pun benarkan. Aku pun balik ke Penang menaiki ETS. Sampai saja di Penang, rupanya zaujah tak ditahan wad. Doktor diagnos dia hanya migrain disebabkan awal kehamilan. Baru dua bulan masa tu. Aku pun legalah sikit. Takutlah ada penyakit yang lagi berat. Nauzubillahi min zalik. Tetapi, walaupun dah makan buat, sakit kepalanya tak hilang. Setiap malam sakit kepala dia akan menjadi kuat sehinggakan dia menggelupur. Puas aku picit kepala dia tetapi tak jadi apa.

Kami pergi lagi ke hospital untuk dapatkan rawatan. Tetapi, doktor tetap diagnos hanya migrain. Kami balik semula ke rumah dan kesakitan zaujah tetap tak hilang. Mak mertuaku nasihat kepadanya untuk kuat. Mungkin disebabkan alahan awal kehamilan. Aku pula tak tahu nak buat apa. Hanya mampu picit kepala tak berhenti. Berhenti bila penat atau tertidur ja. Kalau berhenti, sakit kepala dia makin teruk. Kami daripada tidur di dalam bilik, pindah ke ruang tamu. Ingatkan disebabkan cuaca panas dia jadi sakit kepala. Jumaat malam Sabtu, zaujah rasa sakit tak boleh tahan. Menggelupur teruk. Aku pun telefon 999, pukul 2 pagi. Ambulans St John ja yang datang. Mungkin bukan tahap kecemasan betul. Zaujah dan mak mertua naik ambulans tu. Aku pergi dengan motosikal selepas subuh. Tetapi, selepas jumpa doktor, tetap diagnos migrain. Ini kali ketiga kami pergi ke hospital. Migrain saja? Tak buat pemeriksaan lanjut? Ini dah kali ketiga tau kami pergi ke hospital. Siap naik ambulans lagi. Aku tak tahu nak kata apa. Zaujah yang ‘over’ atau dia betul-betul sakit?

Disebabkan sakit kepalanya terlalu sakit, dia tak lalu untuk makan. Dalam sehari, boleh kira dengan jari berapa suap makanan saja yang dia makan. Aku belilah macam-macam buah. Jambu. Buah naga. Delima. Dengan harapan agar dia segera sembuh. Tapi macam tiada efek. Kami pun cuba cara tradisional. Panggil tukang urut. Pada keesokan harinya, hari Ahad, seorang tok dan suaminya datang ke rumah untuk mengurut zaujahku. Sejam lebih juga sesi mengurut tu. Aku mendengar suara zaujah mengerang kesakitan. Usai mengurut, nampaklah hasil yang positif. Dia kata rasa kurang sikit sakit tu. Alhamdulillah.

Kusangkakan panas berpanjangan, rupanya gerimis mengundang.

Pada waktu malam, rasa sakit tu kembali menyengat. Dia menggelupur lagi dan nak mengurut dengan tok tadi malam tu juga. Kami pun bawalah dia berjumpa dengan tok tu di rumahnya. Nasib baik tok tu sudi menerima kami walaupun dah malam. Zaujah pun masuk ke satu bilik untuk mengurut. Aku dan walid (ayah mertua) berada di luar. Aku hanya dapat mendengar zaujah mengerang kesakitan sepanjang sesi mengurut. Setelah sejam lebih mengurut, zaujah keluar dengan muka masih menahan sakit. Tak nampak hasil positif kali ni. Tok tu mengatakan dia berasa pelik. Bila dia urut kepala, zaujah rasa sakit di tangan. Bila urut tangan, zaujah rasa sakit di kepala. Tok tu pun mencadangkan untuk kami gunakan rawatan rukyah pula.

Ah, sudah. Ada benda yang kacau pula. Walid mempunyai kenalan yang mahir bab ni. Dia pun menelefon kawannya untuk meminta bantuan. Tak lama kemudian, kawannya itu menyuruh walid untuk membuat video call. Aku tak sangka boleh buat rawatan rukyah dengan cara ini. Dia membaca ayat-ayat al-Quran dan zikir-zikir. Kemudian, dia bercakap dengan benda yang mengganggu zaujah. Dia meminta walid untuk menepuk belakang zaujah sambil membaca zikir. Dia juga meminta untuk menyediakan mangkuk. Takut-takut zaujah termuntah. Dia menghalau benda tu dengan mengugutnya untuk dihantar ke Mekah. Wush, menarik juga. Kalau hantar ke Mekah, bolehlah dia buat umrah sekali. Gurau-gurau. Tiba-tiba, zaujah pun muntah. Tapi tak banyak.

Usai rawatan, kawan walid tu meminta walid untuk menyiapkan beberapa bahan keperluan untuk mandikan zaujah. Garam kasar. Lada hitam. Limau purut. Dia suruh mandikan zaujah dengan bahan-bahan tu setiap hari. Aku juga cuba meminta bantuan tok su kob. Tok menakan belah abah. Dia juga arif bab ni. Dia pun menyuruhku untuk membuat loudspeaker sambil dia membaca ayat-ayat rukyah. Siap disuruh letak air kosong untuk minum nanti.

 Nampak macam dah settle, kan? Anda salah. Belum berakhir lagi. Zaujah masih lagi rasa sakit. Dah berapa malam aku berjaga untuk picit kepala zaujah. Beberapa jam saja yang aku dapat tidur. Ada sekali tu aku picit kepala zaujah sambil membaca ayat-ayat rukyah yang aku ingat. Tiba-tiba, dia tertidur. Aku sangkakan berhasil untuk aku. Rupanya tidak. Dia masih lagi terpaksa menahan sakit kepala.

Walaupun berasa hampa dan hampir putus asa, tetapi melihat kepada zaujah yang masih menahan sakit, kami cuba inisiatif yang ada. Sesiapa saja yang arif dalam rawatan tradisional kami cuba hubungi. Walid memanggil seorang ustaz untuk merawat zaujah. Ustaz itu memberi pesanan awal-awal. Jika tiada efek, segera berjumpa dengan doktor. Mungkin bukan sebab ada benda kacau. Ya, benar kata ustaz itu. Tiada efek. Zaujah masih sakit. Tapi dah tiga kali kami pergi ke hospital. Doktor memberi maklum balas sama. Migrain sebab first trimester. Aku cuba mencari rawatan Islamik lain. Aku jumpa satu pusat rawatan yang tak jauh daripada rumah mertua berhampiran dengan Sunny Point. Dia menjual air untuk rukyah. Sebotol RM30. Amboi, ni macam menunggang agama. Mahalnya. Aku hanya membeli sebotol walaupun dia mencadangkan untuk membeli dua botol. Sekadar ikhtiar. Seperti rawatan-rawatan sebelum ini, tiada hasil. Zaujah masih lagi sakit.


Teringat kata-kata mak, “Haziq ni bukan seorang yang mudah putus asa.” Aku pegang kata-kata tu. Aku cuba lagi dan lagi dengan harapan usahaku akhirnya tak sia-sia. Aku dapatkan bantuan daripada seorang ustaz yang merupakan imam di sebuah masjid. Dia memang dikenali dalam bab ni. Kami pun buat appointment untuk jumpa di rumah. Pukul 11 malam. Dia terlalu sibuk dengan pesakit-pesakit. Itu saja masa yang dia ada. Aku pun terima saja sebab aku tak sampai hati untuk tengok zaujah menahan sakit yang tak sudah-sudah. Kerja PhD aku pun tergendala. Lama juga aku tak buat kerja ni. Put first thing first. Bila zaujah dah sembuh, aku all-out siapkan kerja ni. Jam menunjukkan pukul 11. Dia tak sampai-sampai lagi. Aku cuba menghubunginya. Rupanya dia tengah merawat pesakitnya lagi di Teluk Bahang. Come on, ustaz. Janji tak ditepati. Tetapi aku bersangka baik. Bukan dia sengaja lambat. Dia pun segera datang ke rumah mertua. Pukul 12 malam barulah dia sampai. Lebih kurang sejam dia merawat zaujah. Namun, tiada apa yang berlaku. Zaujah tetap sakit. Hmmm.

Aku usaha lagi. Sampai bila zaujah nak tahan sakit ni? Kami pun pergi ke klinik sambil membuka buku pink. Sepanjang berjalan ke klinik, zaujah berasa pening dan nak pitam. Aku terpaksa menuntunnya perlahan-lahan sehingga ke klinik. Zaujah diminta untuk membuat pemeriksaan darah dan air kencing. Hari tu merupakan hari Jumaat. Kelam-kabut jugalah sebab aku kena pergi ke masjid pula untuk solat Jumaat. Keputusan pemeriksaan itu akan diberitahu kemudian kerana perlu dihantar ke makmal terlebih dahulu.

Keesokan harinya, aku membawa zaujah ke pusat bekam di Perda. Mungkin ada darah yang tersumbat di kepalanya. Andaianku. Kami telah membuat temu janji selepas solat Zohor. Tetapi mak cik tu tak datang-datang. Yang ada hanyalah staf lelakinya saja. Mana boleh dia pula yang buat bekam kepada zaujahku. Kami pun menunggu dengan penuh sabar. Setelah 30 minit, barulah dia sampai. Alasannya lewat adalah disebabkan anak-anaknya pulang ke rumah. Ni lagi seorang. Hmmm...sabor je la. Dia pun bertanya kepada zaujah skala dari 1 hingga 5, berapa tahap sakitnya? Zaujah menjawab 5. Terus dia membuat bekam kepada zaujah. Usai bekam, mak cik tu memberikan beberapa petua untuk kesihatan zaujah. Setelah pulang ke rumah, walid mendapati mata kiri zaujah terjuling. Aku kaget. Adakah ini side effect bekam?

Hari Isnin, kami membuat pemeriksaan lanjut di klinik. Zaujah masih lagi sakit. Tetapi tidak disuruh ke hospital kerana masih menunggu keputusan pemeriksaan sebelum ini. Setelah pulang dari klinik, barulah aku dapat panggilan dari klinik untuk berjumpa doktor keesokan harinya kerana darah zaujah ada masalah. Hari Selasa, kami pun pergi ke klinik. Doktor mengatakan darahnya ada kekurangan sesuatu. Aku tak ingat apa. Kami pun maklumkan kepada doktor yang kami dah pergi ke hospital sebanyak tiga kali tetapi doktor hanya kata migrain. Kami pun dah cuba cara tradisional dengan bekam. Masih tiada hasil. Doktor itu mengambil serius aduan kami dan membuat surat untuk zaujah dirujuk dengan doktor lain di hospital. Kawannya juga. Sekali lagi, zaujah dihantar menaiki ambulans ke hospital. Aku tak letakkan harapan sangat. Silap-silap zaujah disuruh balik macam sebelum ni ja.

Pukul 10, kami tiba di bahagian kecemasan. Zaujah berada di zon kuning menunggu giliran untuk diperiksa. Dia perlu membuat ujian darah dan air kencing sekali lagi. Dia terpaksa menaiki wheelchair kerana tak berdaya untuk berjalan. Kesian aku melihat keadaan zaujah. Jam berganti jam. Tiada doktor lagi yang datang memeriksanya sampailah masuk waktu zohor. Usai  aku solat, barulah dia diperiksa. Sekali lagi, hampir saja doktor mendiagnos zaujah hanya migrain tetapi zaujah memberitahu dia telah datang sebanyak tiga kali dan ini kali keempat. Siap ada surat doktor klinik lagi. Barulah pemeriksaan lanjut dibuat. Doktor memintanya untuk membuat CT scan tetapi berisiko. Boleh menyebabkan keguguran. Doktor memintanya untuk menandatangani satu surat. Dia pun mengambil risiko kerana risiko tu tak tinggi. Kemungkinan sahaja boleh berlaku kerana CT scan hanya melibatkan kepala saja.

Setelah berjam-jam menunggu dan matahari hampir melabuhkan tirainya, barulah tiba giliran zaujah untuk CT scan. Aku menemaninya sehingga di luar bilik sahaja kerana risiko radiasi. Setelah membuat CT scan, barulah doktor mendapati kepala zaujah mempunyai darah beku dari ubun-ubun sehingga ke belakang kepala belah kiri. Patutlah dia berasa tangan kirinya tak berfungsi dan selalu kebas. Mata kirinya juga juling akibat daripada darah beku itu. Doktor mengatakan jika tidak mendapat rawatan susulan, dia boleh mendapat strok atau sawan. Doktor seakan menyalahkan kami disebabkan lewat untuk menghantarnya ke hospital. Baik sikit. Ini dah kali keempat tau. Terajang juga nanti.

Pukul 10 malam, barulah zaujah masuk ke wad. Serius lambat betul hospital kerajaan ni. Kalaulah ada insurans, dah lama aku hantar ke hospital swasta. Dipendekkan cerita, setelah seminggu ditahan wad, akhirnya zaujah dibenarkan pulang. Tetapi,  dia perlu disuntik dengan ubat pencair darah setiap hari dua kali. Ubat-ubat tu aku ambil di farmasi hospital. Sebelum discharge, doktor mengajar aku dan umi (ibu mertua) cara untuk menyuntik. Kesian aku melihatnya menahan sakit suntikan itu. Namun, itu saja cara yang ada untuk melihatnya segera sembuh. Kami juga perlu membuat pemeriksaan lanjut hampir tiap minggu sama ada di klinik atau di hospital sampailah zaujah bersalin. Sekali lagi kerja PhD aku tergendala. Bila ada saja masa lapang, cepat-cepat aku buat kerja tu. Berat betul liku-liku kehidupan sebagai pejuang topi burger ni rupanya.

Sebulan selepas itu, mak pun buat kenduri kesyukuran dan buka rumah baru di kampung. Kami pun balik ke kampung menaiki ETS macam biasa.

Kenduri Iqa

 
Kenduri kami

Guru KAFA: Let’s Go!

           Ramai orang tertanya, bagaimana aku kahwin sedangkan tengah belajar dan belum bekerja? Jawapannya, aku banyak mengorek duit simpanan tabung haji. Daripada persiapan kahwin sampailah kenduri. Maka, duit simpanan aku makin susut. Mak ada juga bagi duit setiap bulan tetapi tidaklah banyak mana. Aku mencari akal untuk mencari pendapatan. Sampai bila aku nak bergantung dengan duit simpanan? Lama-lama nanti habis pula sedangkan duit tu untuk buat haji satu hari nanti. Insya Allah.

Nak kerja apa eh? Aku pun cari kerja sambilan. Sekurang-kurangnya ada pendapatan sendiri. Belum apa-apa, terkeluar iklan jawatan kosong untuk tutor mengaji online. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Aku pun apply. Sejak apply kali pertama tu, makin banyak iklan jawatan kosong tutor mengaji yang keluar di IG. Aku main apply saja. Kalau ada rezeki tak ke mana. Aku teringat yang aku pernah ditawarkan untuk kerja sambilan dengan ILuvQuran sebagai tutor mengaji online dulu. Aku pun apply juga untuk jawatan tu di laman webnya.

Selepas mengharungi beberapa interview dengan syarikat berbeza, ada dua syarikat yang menerima aku sebagai tutor mengaji online. Cuma, aku perlu berebut untuk dapatkan pelajar. Jika ada kekosongan, para tutor perlu WhatsApp admin cepat-cepat. First come first serve. Siapa cepat dia dapat. Sudahlah kena berebut, kebanyakan pelajar merupakan orang perempuan. Sudah pastinya guru perempuan yang diperlukan. Bayaran pun tak banyak mana. Setengah jam kelas RM5-10 ja. Setelah berfikir panjang, aku pun tarik diri.

Tak lama lepas tu, aku dapat panggilan daripada ILuvQuran. Syarikat ni berbeza dengan syarikat yang lain. Guru-guru disediakan modul untuk mengajar. Siap disediakan video dan aktiviti lagi. Syarikat ni bukan sahaja menekankan aspek tajwid tetapi juga tadabbur. Sebelum aku menandatangani kontrak, aku perlu sertai beberapa latihan atas talian. Syarikat ni nak pastikan guru-guru benar-benar kompeten sebelum mengajar. Pelajar pun ILuvQuran  yang carikan. Guru hanya perlu tunggu saja sebelum dipanggil untuk berkhidmat. Tetapi, setelah lama menunggu, aku masih ternanti-nanti bilakah aku boleh mula mengajar? Tak dapat apa-apa panggilan pun sedangkan semua kelas aku dah hadiri. Hmmmm.

Aku pun mencari akal lagi. Kerja apa yang sesuai dan tak mengganggu masa aku untuk menyiapkan kajian? Aku teringat iklan jawatan kosong guru KAFA dulu. Setiap tahun akan ada iklan tu. Tapi ni dah bulan 10. Mesti kena tunggu sampai hujung tahun baru ada iklan tu balik. Aku saja bertanya dengan kawan-kawan yang pernah menjadi guru KAFA. Rifaie dan Aliyani. Kedua-dua menyuruh aku untuk hantar permohonan terus di Komtar. Mana tau ada kekosongan. Boleh aku diserap masuk terus walaupun iklan belum dibuka lagi. Aku pun mengisi borang permohonan dan menyiapkan dokumen yang diperlukan. Masalahnya semua dokumen tu perlu pengesahan. Terpaksalah minta tolong ibu kepada anak mengasuh umi untuk sahkan. Dia pensyarah USM. Kelam-kabut juga aku nak hantar permohonan ni sebab kawan aku kata KAFA perlukan guru ganti segera untuk bulan 11. Nasib baik dapat hantar pada hari Jumaat tu. Penyelia KAFA tak datang lagi. Kalau tidak, bolehlah aku berjumpa terus dengannya.

Selang beberapa hari, keluar iklan jawatan kosong guru KAFA tahun 2026. Aku baru saja hantar borang permohonan tu Jumaat lepas. Kena isi borang permohonan tu semula. Haish. Dipendekkan cerita, aku pun dipanggil untuk temu duga di Pejabat JAIPP, Butterworth. Terasa kerdil pula bila tengok ramai calon yang hebat-hebat termasuklah seorang ustaz yang aku dan zaujah pernah belajar dulu. Dia dah tak sambung kerja dengan USM tapi dia mohon jadi guru KAFA. Rasa macam pelik pula. Gaji guru KAFA ni tak sampai pun tahap gaji minimum. RM1500 ja. Tetapi hanya bekerja untuk tiga jam setiap hari, tidaklah terlalu rendah bagiku. Asalkan ada sumber pendapatan dan dapat buat kerja PhD. Terdapat dua sesi interview tu. Sesi pertama soalan objektif. Kami kena jawab melalui telefon ja macam jawab quizziz. Soalan pun tidaklah susah mana. Tajwid. Asas bahasa Arab. Asas ibadah. Soalan-soalan akhir ja pasal JAIPP. Nama pengarah jabatan. Misi dan visi. Aku main hentam pun betul soalan-soalan tu.

Usai sesi pertama, semua calon dipanggil untuk temu duga mengikut giliran. Setiap bilik ada tiga calon. Ketika di ruang menunggu, aku berbual kosong dengan ustaz yang pernah aku belajar dulu tu. Dia bukan calang-calang orang. Lepasan Azhar tu. Rupanya hampir semua calon berlatarbelakangkan jurusan agama. Aku saja rasanya yang bukan. Layakkah aku nak jadi guru KAFA ni? Setelah lama menunggu, barulah tiba giliran aku. Aku sebilik dengan seorang calon perempuan dan seorang calon lelaki. Kedua-dua lepasan ijazah agama. Setiap daripada kami perlu perkenalkan diri, baca surah Al-Fatihah, surah lazim, hukum tajwid, baca dan tulis jawi. Alhamdulillah, aku dapat jawab dengan betul. Untuk tulis jawi saja ada yang salah.

Selepas sebulan, aku dapat panggilan telefon daripada penyelia KAFA. Dia bertanya sama ada aku boleh bagi komitmen untuk jadi guru KAFA jika terpilih kerana aku sedang menyambung pelajaran. Aku jawab boleh sebab dah settle data collection. Perlu menulis saja lagi. Tak lama selepas tu, aku dimasukkan ke dalam grup WhatsApp guru lantikan 2026. Maka, secara tidak rasmi aku diterima menjadi guru KAFA. Peliklah juga. Aku bukannya berlatarbelakangkan jurusan agama tapi terpilih juga. Tak ramai rupanya guru yang terpilih. Rezeki aku gamaknya. Allah permudahkan. Tak lama lagi dah nak jadi ayah. Bulan Mac 2026. Nak guna duit banyak.


Bulan Januari 2026. Semua guru yang terpilih perlu menghadiri taklimat. Dalam taklimat tu, kami diberi penerangan tentang do’s and dont’s, gaji dan elaun, dan lain-lain. Kami juga perlu membuat ikrar sebagai guru KAFA. Masa taklimat tu, aku seorang saja yang pakai baju kurta dan berkopiah. Yang lain semuanya memakai songkok, baju kemeja dan bertali leher. Siap ada yang pakai nametag lagi. Aku diberi peringatan oleh ustaz yang mengendalikan sesi taklimat tu untuk memakai pakai mengikut SOP yang betul termasuk di KAFA nanti. Maka, bermulalah langkah sebagai seorang guru KAFA secara rasmi. Aku pun tengok senarai penempatan guru. Alamak, aku dapat KAFA SK Tanjung Bunga. Jauh tu! Ingatkan dapat belah-belah sini ja. Tak apalah. Perancangan Allah yang terbaik.



Pre-Viva

Sikit lagi keseluruhan tesis aku nak siap pada bulan November. Aku ingatkan aku akan bentang di seminar bulan Februari 2026. Rupa-rupanya, seminar hanya ada pada bulan-bulan ganjil. Kalau nak bentang bulan Mac, aku dah sibuk dengan banyak benda. Zaujah nak bersalin. Bulan Ramadan lagi. Tidak dapat tidak, bulan Januari juga aku kena bentang dan paling lambat aku kena hantar tesis ni bulan Disember. Sempatkah aku siapkan tesis ni? Aku pun terpaksa memerah keringat lebih. All out mode: ON! Pagi, petang, malam menghadap laptop. Akhirnya, siap juga tesis ni. Tapi, aku tak tahulah betul atau tak. Terpaksa minta bantuan kawan-kawan seperjuangan PhD untuk tengok-tengokkan. Feedback daripada dorang pun positif. Tawakal sajalah.

Alhamdulillah, sebelum bulan 12, aku hantar ke penyelia dan diberi greenlight untuk pre-viva. Tetapi aku tak pasti sama ada penyelia semak betul-betul atau tak tesis aku tu. Penyelia aku selalu sibuk. Kejap-kejap outstation. Pergi overseas. Mungkin aku jadi pensyarah nanti pun akan sibuk macam ni agaknya. Dua nikmat yang sering diabaikan manusia: sihat dan waktu lapang. Sementara ada waktu lapang ni, gunakanlah sebaiknya.

Aku pun balik ke Selangor untuk hantar tesis dan dokumen yang berkaitan seminggu sebelum tarikh akhir untuk hantar tesis. Kebetulan pula mak seorang ja kat rumah. Tiada siapa yang teman. Selalunya ada adik-adik yang balik tetapi minggu  tu semua sibuk. Biasalah dah hujung-hujung semester. Penuh dengan presentation dan dah nak final exam. Sampai saja di Selangor, aku semak balik dokumen yang diperlukan untuk hantar tesis tu. Eh, kejap. Aku baru perasan satu benda. Jumlah patah perkataan tidak kurang daripada 30,000 patah perkataan tidak termasuk rujukan dan lampiran. Tesis aku baru 27,000 patah perkataan. Aduh, tak boleh jadi ni. 3,000 patah perkataan lagi. Bukan sikit tu. Satu muka surat lebih kurang 300 patah perkataan. Ini bermaksud kena tulis 10 muka surat lagi. Sempatkah nak siapkan dalam masa seminggu?

Kalau nak tangguh ke bulan Mac, lagi banyak masalah nanti. Aku rasa macam nak give up. Silap-silap aku fail kali ni. Tetapi, aku tiada pilihan lain. Aku kena present juga bulan Januari ni. Sekali lagi, terpaksalah aku all-out. Kali ni sampai tengah malam. Teramat jarang aku buat kerja sampai tengah malam sejak degree dulu. Jenis tidur awal. Aku lagi suka buat selepas subuh. Morning person kan. Aku main buat saja asalkan dapat lebih 30,000 patah perkataan. Betul atau salah, aku tolak tepi. Janji siap.

Ada beberapa malam aku rasa macam ada ‘benda’ di luar terutamanya bilik adik perempuan aku. Ingatkan hanya perasaan aku saja memandangkan hanya aku dan mak saja di rumah. Bilik tu kosong. Mak pun selalu juga beritahu yang dia selalu dengar macam ada orang main naik turun tangga ketika dia seorang-seorang di rumah. Rumah kami tu sebelum ni disewa untuk dijadikan taska Sehari sebelum hantar tesis, aku masih lagi belum siap. Aku terdengar macam ada suara budak sedangkan jiran-jiran aku tiada seorang pun yang masih ada baby. Semua dah tua-tua. Bila terdengar saja suara tu, aku terus berhenti kerja, tutup lampu dan tidur dalam keadaan jantung berdegup kencang. Sambung esok pagi sajalah. Sempat kot.

Usai solat subuh, aku baca surah al-Kahfi bersama dengan mak. Habis saja baca surah tu, aku terus sambung kerja dengan mata yang mengantuk sebab tidur tak cukup dan otak yang dah penat. Pagi tu aku siapkan kesemuanya. Lebih daripada 30,000 patah perkataan. DONE! Aku tak sempat semak langsung apa yang aku tulis. Terus simpan di dalam pendrive untuk print di kedai berdekatan UKM. Kedai tu murah dan cepat. Dengan mata mengantuk, aku gagah juga bawa kereta pergi ke Bangi. Nasib baik mak teman. Boleh sembang-sembang. Hilanglah mengantuk. Inilah kali pertama mak pergi ke UKM. Sampai di kedai print, aku pun print tesis dan dokumen yang berkaitan. Lepas print, aku terus pergi ke fakulti dan hantar. Alhamdulillah settle semua sebelum pukul 11. Ada masa lebih kurang sejam untuk berehat sekejap sebelum nak bersiap untuk solat Jumaat. Di masjid UKM ni unik. Ada dua tingkat tetapi ada lubang di bahagian tengah. Aku tak tahu kenapa struktur masjid macam ni. Kenapa tak buat dua tingkat tanpa lubang? Mungkin nak bagi pencahayaan di bahagian tingkat bawah. Telahanku.

Usai solat dhuha, aku pun berbaring di ruang solat masjid tingkat bawah. Tiada larangan pun untuk tidur di kawasan itu. Banyak juga mahasiswa yang tidur di situ. Mungkin kerana terlalu penat dan otak masih ligat berfikir tentang tesis tu, aku tak boleh tidur walaupun mata tertutup rapat. Lebih kurang setengah jam, aku bangun dan pergi ke kereta. Mak menunggu aku di dalam kereta. Nasib baik aku parking betul-betul di bawah pokok. Tidaklah panas sangat. Aku ajak mak melapik perut dulu memandangkan kami tak sempat pun bersarapan. Kebetulan banyak kedai yang dibuka sekitar masjid, aku dan mak pun membeli makanan ringan sekadar menghilangkan lapar.

Selepas makan, mak kembali ke kereta dan aku pula masuk ke masjid untuk persediaan solat Jumaat. Untuk solat Jumaat, bahagian tingkat dua masjid akan digunakan. Itu ruang solat utama. Aku perlu menaiki tangga untuk ke atas. Struktur tangganya unik. Berpusing-pusing. Tidak sesuai untuk orang tua yang lutut dah out. Usai khutbah dan solat Jumaat, aku pergi ke kereta. Mak pula nak solat jamak Zohor-Asar. Kalau ikutkan, jarak antara rumah dan UKM tidak sampai 81KM. Tapi, disebabkan mak cadang untuk ke Putrajaya malam tu maka cukuplah dua marhalah. Kebetulan malam tu ada maulid di Dataran Putrajaya. Mak kata dia tak pernah menjejakkan kaki ke Putrajaya lagi.

Selepas mak solat, Kak Nurul dan Abang Shah (sepupu aku) mengajak kami untuk berjumpa. Mereka bermastautin di Bangi. Siap beli rumah sendiri lagi. Kami diajak ke rumah mereka yang baru dibeli tu. Bukan main mewah. Bila ditanya berapa harganya, mereka hanya tersengih. Kemudian, kami dibawa ke satu restoran Arab untuk menjamu selera. Makan makanan Arab di kala perut tengah berkeroncong memang satu nikmat yang sukar dilupakan. Kami pun berbual-bual sampai masuk waktu Asar. Lebih kurang pukul 5, aku dan mak pun pergi ke Putrajaya. Sampai saja di sana, aku mengajak mak untuk pergi ke Alamanda Putrajaya. Nak beli seluar slack untuk kerja KAFA nanti. Mak pun setuju.

Selepas itu, kami pergi ke Masjid Putrajaya untuk solat jamak Maghrib dan Isyak. Itulah kali pertama mak masuk ke masjid itu. Seronok juga rasa hati ni bila dapat bawa mak jalan-jalan. Siap bergambar di depan masjid lagi. Usai solat, kami pergi ke Dataran Putrajaya. Tetapi tiada parking. Aku pun mencari akal. Memandangkan Masjid Besi dan Dataran Putrajaya tidak begitu jauh, maka aku pun meletakkan kereta di situ. Kami berjalan kaki sampai ke dataran tersebut. Malangnya, khemah tempat maulid itu telah penuh. Terpaksalah kami duduk di atas rumput tetapi bahagian tausiah kurang jelas walaupun penyampainya ialah Ustaz Zul Ramli. Kecewa kami. Jam pun menunjukkan pukul 11 malam. Nak balik rumah lagi ni. Takut lewat sangat. Aku pun dah barai. Maka, kami bercadang untuk pulang.

Tetapi Masjid Besi dah tutup. Terpaksalah kami berjalan kaki jauh ke tempat parking untuk ambil kereta. Aku tak pasti kenapa pihak masjid nak tutup kawasan tu sedangkan ada event. Permudahkanlah urusan orang lain. Mohon pihak pengurusan cakna dengan hal ni. Sudahlah penat berjalan, kena drive pula. Silap-silap tak sampai rumah ni. Mak pun dah tarik muka sebab aku ‘pandai-pandai’ parking situ. Hmmm sabar sajalah. Pukul 12.30 tengah malam, kami pun sampai di rumah.

Sebulan kemudian, aku pun mendapat emel berkenaan pre-viva. Rupa-rupanya, aku perlu bentang secara online saja menggunakan Zoom. Mungkin disebabkan tarikh pembentangan jatuh pada musim raya Cina. Kesian pula dekat pelajar Cina perlu datang ke kampus semata-mata untuk pembentangan ni. Nasib baik tak beli tiket ETS untuk balik kampung lagi. Ada kebaikan dan keburukan pembentangan online ni. Kebaikannya tak terlalu nervous. Boleh tengok skrip. Keburukannya takut ada isu teknikal. Cakap terlalu laju sampai examiner tak dapat dengar dengan jelas. Insya Allah okay saja kot. Dulu viva master pun secara online juga. Inilah penangan COVID. Banyak benda dipermudahkan.

Kebetulan Abang dan Kak Mira balik ke kampung minggu tu. Bolehlah aku tumpang. Jimat duit. Kami bertolak sebelum maghrib hari Jumaat selepas aku balik dari KAFA. Dah siap-siap barang awal-awal di rumah. Zaujah tolong siapkan. Lebih kurang pukul 12 tengah malam, kami pun sampai di kampung. Esok aku dahlah kena bentang. Penat perjalanan jauh tak hilang lagi. Tesis pun aku tak sempat semak. Mock presentation dengan penyelia pun tak sempat buat. Tawakal sajalah. Apa nak jadi, jadilah. Que sera sera.

Esok pagi, awal-awal lagi aku dah bersiap. Aku merupakan pembentang pertama. Pukul 8.30 pagi. Walaupun secara online, aku tetap memakai baju formal. Nampaklah formaliti tu. Aku masuk ke Zoom sejak pukul 8 pagi lagi dan duduk menunggu depan laptop sampai 8.30 pagi. Takut internet buat hal. Bergantung dengan hotspot saja ni. Wifi rumah tak berapa kuat di tingkat atas. Selepas setengah jam menunggu, examiner pun masuk dan memberi kata alu-aluan. Aku perasan penyelia aku pun ada. Jadi nervous pula.

Examiner menyuruh aku untuk memulakan pembentangan. Dengan lafaz bismillah, aku pun membentang. Masa diberikan hanya 20 minit. Seterusnya sesi soal jawab. Selepas membentang, aku diajukan beberapa soalan maut. Tetapi kali ni aku mengaku dengan kesilapan yang aku buat dalam tesis tu. Kejap saja sesi soal jawab itu. Walaupun aku tak jawab soalan-soalan examiner tu, tetapi aku rasa lega. Sekurang-kurangnya, aku dapat juga feedback tentang keseluruhan tesis ni. Hati aku berdebar-debar untuk mengetahui keputusan pembentangan itu. “Saya bagi kamu pass tetapi with major corrections. Nanti discuss balik dengan SV tentang corrections tu,” kata examiner. Lagi sekali, tak tahulah nak syukur atau sedih. Dulu masa proposal defense pun passed with major corrections.

Selepas pembentangan, ramai yang ucapkan tahniah termasuk penyelia aku. Ada seorang kenalan yang juga pejuang PhD mesej aku di Telegram. Dia mengucapkan tahniah dan meminta bantuan aku untuk kajiannya. Dia memberitahu aku bahawa dia gagal dalam proposal defense dan perlu membuat semula. Kesiannya. Maka, aku pun memilih untuk bersyukur. Bukan senang rupanya untuk sampai hingga ke tahap ini. Alhamdulillah. Semoga Allah permudahkan urusan aku untuk membuat pembetulan tesis, artikel-artikel jurnal aku diterima dan aku berjaya memakai topi burger. Allahumma Amin. Kehadapan para pembaca, tolong aminkan ya doa ni. Doa seseorang kepada seorang yang lain tanpa pengetahuannya itu kan makbul.


Tak habis lagi. Nak cerita satu topik lagi.

A Tiny Version of Me

Ingat tak zaujah sakit tiba-tiba di kala mengandung dua bulan? Semenjak dia sembuh, dia dah tak makan maggi pedas gila lagi. Minum jus oren pun tak nak walaupun air tu merupakan kegemarannya sebelum ni. Semenjak dia sakit tu, kami dah tak duduk berjauhan lagi. Malam-malam selepas maghrib, aku teman dia mengajar mengaji dengan anak-anak jiran. Doktor kata mungkin dia jadi macam tu sebab stress. Ajar mengaji pun stress juga tau. Ingat senangkah nak bagi seseorang tu mengaji dengan lancar? Aku bantu zaujah mengajar pelajar yang dah baca al-Quran saja. Kebanyakannya dah baca lancar. Cuma salah dari segi makhraj sikit-sikit, panjang pendek, salah baris dan lain-lain.

Bulan Januari 2026. Baru seminggu aku menjadi guru KAFA secara rasmi, sekali lagi zaujah sakit tiba-tiba. Kali ni di bahagian perut pula. Dua tiga hari sebelum tu memang dia ada mengadu sakit perut tetapi kejap-kejap saja. Mungkin disebabkan masuk angin. Malam tu, zaujah mengerang kesakitan pada pukul 2 pagi. Aku terjaga dan tak tahu nak buat apa. Tak boleh sapu minyak balsam sebab tak baik untuk kandungan. Masa tu dah 7 bulan. Terpaksalah aku kejut umi untuk minta bantuan. Aku pun pujuk untuk bawanya ke klinik dan hospital. Dia tak nak. Tetapi perut masih lagi sakit. Pukul 4 pagi, aku cadangkan untuk telefon ambulans. Barulah dia terima. Mungkin sebab dah tak tahan. Aku pun mendail 999 dan memaklumkan tentang zaujah. Tidak lama kemudian, sekali lagi ambulans St John datang. Kali ni dia bawa katil terus ke dalam rumah. Aku pun terkejut. Zaujah dipapah ke katil dan pihak St John membawa zaujah ke ambulans. Kemudian, zaujah dibawa ke hospital ditemani umi.

Aku pergi ke hospital selepas itu dengan mata menahan mengantuk. Boleh jadi micro sleep ni. Terpaksalah aku buka radio kuat-kuat untuk menghilangkan mengantuk. Lepas ni kalau tengok orang buka lagu kuat-kuat dalam kereta, aku husnudzonlah yang dia nak hilangkan mengantuklah tu. Sampai saja di hospital, aku dapati umi berada di luar wad. Umi memaklumkan padaku yang zaujah mengalami gastrik. Tengah hari nanti baru boleh melawat. Beribu persoalan muncul dalam otak aku? Adakah zaujah akan dibedah? Tak berisikokah bedah ketika mengandung? Adakah anak kami akan dilahirkan awal? Kalau bayi baru lahir, azan belah kanan dan iqamat belah kiri kan? Nak letak nama apa?

Pada waktu tengah hari, kami pun melawat zaujah. Hanya boleh dua pelawat pada satu masa. Aku pun masuk dengan umi. Zaujah berkata bahawa doktor memberitahunya yang dia mungkin dibedah kerana gastrik. Bayi pun akan dikeluarkan awal. Kami reda sajalah apa yang terjadi. Semuanya perancangan Allah. Aku pun memberikannya semangat. Selang sehari, doktor bedah datang ketika aku sedang melawat zaujah. Dia memberitahu bahawa zaujah akan dibedah tetapi bayi tidak dikeluarkan. Datang doktor lain pula ke katil zaujah. Dia membaca laporan yang berada di kaki katil. Selepas scan, doktor tak nampak apa-apa yang menyebabkan dia sakit perut. No fluid. No stone. Mereka pun mengatakan bahawa zaujah tak perlu dibedah. Mungkin sakit perut tu bukan gastrik tetapi disebabkan kehamilan pertama.

Keesokan harinya, doktor pakar datang untuk memeriksa zaujah. Caranya santai seakan-akan tidak buat check up pun. Sambil berbual-bual saja. “Ini first pregnancy. Okay, esok boleh balik,” kata doktor. Tergamam zaujah dibuatnya. Doktor lain, diagnos lain. Tapi ini dah level pakar. Mesti betul. Zaujah tak percaya apa yang doktor pakar tu katakan. Dia bertanya dengan doktor biasa yang menemani pakar itu. Doktor itu pun membenarkan apa yang dikatakan.

Selasa pagi, doktor sakit puan pula datang untuk memeriksa zaujah. Dia khuatir takut-takut zaujah tidak sepenuhnya sembuh. Maka, dia pun meminta zaujah untuk ditahan di wad untuk dua hari lagi. Sudahlah kami ada konvokesyen di USM pada hari Rabu tu. Dua tahun kami menunggu baru nak pihak pusat Islam USM nak buat. Tapi kami tak boleh nak melawan. Kesihatan lebih penting. Kesian pada zaujah. Pada hari Khamis barulah dia dibenarkan keluar.

Sejak hari tu, kami dah cuba mengelak daripada makan makanan pedas lagi. Takut-takut sakit tu datang balik. Tetapi ada juga selepas sekian lama tak makan pedas, kami lalai dengan pantang yang kami buat sendiri. Akhirnya, zaujah terasa sakit perut. Cepat-cepat aku cari inisiatif dengan berikan buah-buahan dengan harapan dapat melegakan sakitnya. Alhamdulillah, berhasil.

Zaujah dijangkakan bersalin pada 10 hari bulan 3. Tidak lama lagi. Walaupun perut sedang sarat mengandung, merata juga kami berjalan. Pada hujung tahun 2025, sampai tiga kali kami pergi ke Pesta Penang. Pesta Penang yang terakhir. Berbelas tahun zaujah tak pergi ke pesta. Suami dia punya pasallah ni. Tapi kami pergi untuk beli barang. Pokok, karpet, baju baby. Bukan main permainan tu pun. Kalau tak mengandung, dia nak saja main juga. Bukan setakat tu. Sebelum ni, kami berjalan sehingga ke Johor untuk hantar adik-adik. Singgah bermalam di Melaka. Jauh berjalan dalam keadaan tengah mengandung tu. Di bulan Ramadan, sedang menghitung hari untuk bersalin, kami masih berjalan. Mencari baju raya di Uptown Perda. Mencari tudung di BJ. Pergi bazar Ramadan. Kesian zaujah tetapi dia tak kesah. Mungkin dengan keluar rumah tu dia berasa lagi seronok.

Pada 8 Mac, kami bercadang untuk pergi ke Bazar Bayan Lepas. Tiba-tiba, kunci kereta hilang. Jenuh aku mencari tetapi tak jumpa. Mungkin terjatuh di Bazar Taman Tun Sardon. Kami pun menaiki motosikal ke bazar tu pukul 3 petang. Tengah-tengah panas kami mencari kunci. Kesian dengan zaujah. Sudahlah sedang mengandung 9 bulan. Malangnya, kami tak jumpa. Kami pergi ke BJ untuk mengambil baju yang zaujah alter. Setibanya di BJ, waktu asar telah masuk. Kami pun solat di BJ. Usai solat, zaujah memberitahu dia tak larat nak berjalan di Bazar Bayan Lepas. Memandangkan ada bazar di luar BJ, kami pun hanya pergi ke bazar itu. Ketika di Bazar itu, Aishah (adik ipar) menjumpai kunci kereta berada di celah-celah helmet. Aku pun tak pasti bagaimana boleh berada di situ. Alhamdulillah. Aku dah minta perkhidmatan kunci kereta hilang untuk buat kunci baru. Dah deal pun. Siap bagi location rumah. Harga RM180. Mahal tetapi terpaksalah. Kalau apa-apa jadi dengan zaujah, takkan nak bawa naik motosikal.

Keesokan harinya, kami bersahur bersama-sama seperti biasa. Usai sahur, aku pun pergi ke masjid untuk solat subuh. Selepas solat, aku pulang ke rumah mertua. Setibanya di rumah, aku hairan kenapa umi dan adik-adik iparku berada di bilik. Zaujah memberitahu bahawa dia berasa sakit di bahagian bawah. Umi rasa dah tiba masanya untuk bersalin dan menyuruhnya untuk berbuka. Aku dah cuak tapi luaran tetap tenang. Dah nak jadi bapa dah?

Zaujah berasa takut. Kami membaca surah yassin bersama-sama. Kemudian, kami bersiap untuk ke hospital. Aku terus membawanya ke blok D. Wad bersalin. Zaujah terus ditahan dan menukar pakaian hospital berwarna pink. Rasa sakitnya kejap muncul, kejap hilang. Tetapi semakin kerap. Kami melawatnya pada waktu tengah hari. Sakitnya semakin kuat. Dia mengerang kesakitan. Kami hanya mampu memberikan kata-kata semangat dengan harapan dia terus kuat. Selepas waktu melawat, aku terus pergi solat zohor di Masjid Sheikh Eusoff dan kemudian pergi ke tempat kerja. Kebetulan pula hari tu aku dipindahkan ke KAFA baru. KAFA Tanjong Tokong. Dekatlah sikit berbanding Tanjung Bunga.

Selepas tamat waktu kerja, aku pergi ke KAFA Tanjung Bunga sekejap untuk mengambil barang-barang aku di sana. Umi dan walid telah berada di hospital. Selepas itu, aku terus pergi ke hospital. Lama aku menunggu di luar kerana hanya boleh dua pelawat saja. Lebih kurang 6.30 petang, barulah walid keluar. Dia memberitahuku bahawa zaujah mengambil masa lama di tandas sambil ditemani umi. Mereka berdua pulang ke rumah untuk persiapan berbuka. Aku pula menemani zaujah. Dia berasa sakit yang tak dapat tahan. Dia menggenggam lengan tanganku. Kuat betul. Mungkin itulah cara untuk menunjukkan betapa sakitnya dia ketika itu. Aku terus memberikan kata-kata semangat untuknya. Waktu melawat tamat. Semua pelawat perlu keluar dari wad itu tetapi zaujah menyuruhku untuk tunggu sekejap sambil tidak melepaskan tanganku. Aku berasa serba salah. Guard pun datang ke katil dan meminta aku untuk keluar. Dengan berat hati, aku melepaskan genggaman zaujah dan meminta izinnya untuk keluar. Sambil berjalan keluar, aku memandang ke belakang. Melihatnya yang sedang bertarung dengan kesakitan. Mungkin beginilah kesakitan yang dialami mak dulu untuk melahirkan aku. Barulah aku nampak sakitnya untuk bersalin ni depan mata.

Aku pulang ke rumah dan berbuka puasa bersama dengan keluarga mertua. Aku memberitahu umi yang aku akan solat terawih di Masjid Sheikh Eusoff kerana takut apa-apa yang terjadi dengan zaujah, cepatlah aku tiba di hospital. Selepas habis solat terawih 20 rakaat dan witir 3 rakaat, aku berbual-bual dengan kawan. Rifae Syazuli. Adiknya menjadi imam terawih pada malam itu. Baru sekejap kami berbual, tiba-tiba aku mendapat panggilan daripada zaujah. Terkejut aku dibuatnya. “Awak datang ke hospital cepat,” kata zaujah sambil menahan sakit. Aku pun terus pergi ke hospital dan menunggu di luar wad bersalin. 

Elok tengah menyembang tiba-tiba dapat call

Tidak lama selepas itu, nurse menyorong zaujah ke labour room. Dia memberitahuku bukaannya sebanyak 4cm. Aku mengekori zaujah di belakang. Laju betul nurse tu berjalan. Kami naik ke tingkat atas dan sampai situ saja aku boleh ikut. Suami tidak dibenarkan untuk masuk dan diminta untuk tunggu di bawah sehingga mendapat panggilan daripada hospital. Aku pun turun semula dan menunggu. Lebih setengah jam aku menunggu tetapi tidak mendapat apa-apa panggilan. Mata pula mengantuk teramat sangat. Aku pun berbaring di bangku kayu tu. Tetapi tak dapat lena kerana cahaya lampu betul-betul di atas kepala aku. Aku pun pergi ke surau hospital dan berbaring di situ.

Di surau, walaupun mata pejam, tetapi hati berdebar-debar. Aku tak tahu apa yang akan jadi kepada zaujah. Sakit bersalin ni kedua paling sakit selepas mati. Semoga Allah permudahkan urusan zaujah untuk bersalin, doaku. Pukul 11.30 malam sedang aku berbaring, tiba-tiba aku dapat panggilan daripada walid. Walid bertanya mengenai anaknya. Aku pun memberitahu bahawa bukaannya 4 cm dan dia dah ditolak ke labour room. Sedang kami berbual, tiba-tiba aku dapat panggilan daripada nombor tak dikenali. Nasib baik aku install apps GetContact. Bolehlah aku tahu panggilan siapa itu. Rupanya daripada hospital. Aku pun mematikan panggilan dengan walid dan mengangkat panggilan telefon itu. Seorang perempuan menanyakan sama ada aku ni suami kepada zaujah. Aku pun membenarkan. Dia mengucapkan tahniah kerana zaujah selamat bersalin. Alhamdulillah. Aku pun bertanya mengenai anak dan zaujah. Dia tidak menjawab. Dia menyuruhku untuk naik ke labour room dalam masa sejam. Aku tak senang duduk. Baru saja terkeluar di WhatsApp Channel mengenai seorang suami yang kehilangan isteri disebabkan komplikasi ketika bersalin. Otakku kembali ligat berfikir. Lebih kepada perkara negatif berbanding positif.

Aku pergi ke blok ACC dan menunggu sehingga sejam. Setelah sejam, aku naik ke atas. Tetapi pintu berkunci. Aku tunggu di luar. Selepas 15 minit, aku pun ketuk pintu tu. Tiada jawapan. Aku turun semula dan bertanya kepada guard. Dia menyuruhku untuk tunggu saja. Mungkin guard pergi tandas. Aku naik semula dan tunggu di luar. Sehingga pukul 1, tiada siapa yang keluar. Aku turun lagi dan bertanya kepada guard. Rupa-rupanya, aku salah tingkat. Aku pun naik lif dan pergi ke labour room. Aku ingatkan aku terlambat. Aku ternampak ada sosok perempuan yang berbaju pink lalu di depan pintu. Aku memanggilnya tetapi dia tidak menjawab. Mungkin bukan zaujah. Aku menunggu lagi sehinggalah pukul 1.30 pagi. Barulah nurse keluar dengan membawa seorang bayi yang baru lahir. Nurse tu bertanya adakah aku suami zaujah. Aku pun menjawab ya. Dia menyuruhku untuk mengazankan anakku. Dengan perasaan gementar, aku pun mengangkat anakku dan mengazankannya di telinga kanan. Tanpa sengaja, aku menjadi sebak. Usai azan, aku mengalunkan iqamat di telinga kiri. Kemudian, aku meletakkan balik anakku di tempatnya. Nurse memberikan satu slip dan menyuruhku berdaftar untuk anakku di bahagian pendaftaran. Zaujah berada dalam keadaan baik dan aku boleh berjumpa di luar wad nanti.

Aku pun berjalan sepantas boleh ke bahagian pendaftaran dan berdaftar. Kemudian, aku pergi semula ke wad bersalin. Dari jauh, aku melihat nurse sedang menyorong seorang pesakit. Aku rasa itu zaujah. Aku berlari sehingga ke luar wad bersalin. Zaujah kelihatan kepenatan tetapi lega daripada kesakitan yang ditanggungnya sejak pagi tadi. Aku pun bertanya keadaannya. Dia menjawab okay saja. Anak kami pun bersalin normal sedangkan sejak zaujah sakit tiba-tiba dulu doktor dah memaklumkan bahawa dia akan dibedah. Alhamdulillah, Allah sebaik-baik perancang.

Maka, bertukarlah status daripada suami kepada ayah dan hilanglah nikmat tidur lena sejak zaujah pulang ke rumah. Barulah rasa pengorbanan seorang bergelar ayah dan ibu. Patutlah anak derhaka ni didoakan celaka oleh malaikat. Terlalu perit dan berat yang dilalui oleh ibu ayah untuk membesarkan kita. Kalaulah tahu anak tu besar nanti jadi manusia tak berguna, awal-awal lagi dah campak anak tu di dalam laut. Biar tak menyusahkan orang.

Satu perkara yang aku tersedar nikmat dunia ini sentiasa bersulamkan dugaan. Bila mendapat pekerjaan hebat, pasti cabarannya pun berat. Bila mendapat anak, pasti rasa penat. Tidak sama dengan nikmat syurga. Penuh dengan kenikmatan dan tiada lagi kerisauan. Tiada lagi dugaan. Yang difikirkan hanya kesenangan. Semoga Allah menggantikan segala dugaan yang kita hadapi dengan nikmat kebahagiaan yang kekal abadi. Allahumma Amin.

Sekian saja perkongsian untuk entri kali ni. Terlambat sikit untuk siapkan kerana terpaksa memberi masa untuk ‘bersilat’ dengan anak. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua. Sekali lagi, mohon kalian untuk doakan perjalanan saya untuk memakai topi burger dipermudahkan dan tercapai. Itu saja daripada saya. Maaf andai ada tersalah silap. Yang baik datangnya daripada Allah. Yang buruk pun datangnya daripada Allah tetapi disandarkan kepada saya. Sehingga berjumpa lagi di entri PhD 3.0: Road to Viva pula. Insya Allah.

Saya akhiri dengan serangkap pantun:

Daun selasih, Daun semalu;

Terima kasih, I love you.




Ulasan